Apr 19, 2011

BAJP bab_10


“Pia…” panggil Afeef lemah kepada adiknya itu.

”Abang...” balas Afia sambil mendekati Afeef dan si comel yang lena dalam pelukan papanya. Belum lagi hilang rasa hati yang masih terkejut akan kepulangan Afeef, sekali lagi dia dikejutkan dengan kewujudan si comel di dalam pelukan abangnya. Di usap pipi mulus si comel. ’SubhanaAllah, comelnya dia’. Desis hati Afia. Jatuh kasih apabila melihat wajah mulus si comel yang sedang lena itu. Satu yang jelas terlihat di wajah mulus itu adalah ada iras abangnya. Afia memandang abangnya dengan penuh tanda tanya.

”Abang, bagi Pia bawak baby ni.” pinta Afia tiba-tiba apabila abangnya hanya mendiamkan diri sahaja. Terus sahaja Afia mengambil si comel dari pelukan Afeef dan di bawa masuk ke rumah.

Afwan pula dari tadi sudah menunggu di muka pintu. Niatnya tadi ingin membantu Afeef mengangkat beg yang dibawa. Tetapi, dia terpegun apabila melihat Afia mengendong si kecil yang sedang lena tidur. Baru sahaja dia ingin bertanya, Afia menunjukkan isyarat senyap kepada Afwan dan memuncungkan mulutnya ke arah Afeef yang sedang berjalan mengekori di belakangnya sambil menarik sebuah beg dan sebuah lagi beg kecil di tangannya. Terlalu banyak tanda soal di dalam kepalanya apabila melihat kewujudan si comel yang tidak dikenalinya itu.

”Pia, anak siapa pulak Pia ambik ni?” tanya Hajah Zubaidah apabila Afia masuk ke rumah dan duduk di hadapannya sambil memangku anak kecil.

”Pia...” panggil Haji Ramlee pula apabila Afia leka mengusap rambut si kecil dipangkuannya.
Afia membalas pandangan kedua orang tuanya lalu menunjuk ke arah Afeef yang sudah berdiri di tepinya. Afwan pula sudah duduk di sebelah Afia kerana dia juga cukup teruja melihat si comel yang sedang lena itu. Sungguh memang dari dulu lagi dia inginkan cahaya mata tetapi tidak kesampaian.

”Pia, kasi akak pegang baby ni.” pinta Afwan pula apabila dia terasa ingin memeluk dan mencium si kecil itu. Terlalu menggebu naluri keibuannya apabila melihat wajah mulus itu. Hajah Zubaidah hanya memerhati kedua anak perempuannya yang begitu asyik dengan si kecil. Terganggu sedikit tidur si kecil apabila Afwan mengambilnya daripada pangkuan Afia.

”Feef, anything you want to explain?” Tanya Haji Ramlee lembut apabila melihat Afeef hanya tunduk seperti pesalah. Memang pun dia dah buat salah apabila menjalin cinta dengan Damia Hani semasa di bumi asing itu tanpa pengetahuan mama dan ayahnya. Juga kepada wanita yang telah banyak berkorban demi dirinya. Iffat Hamani.

”Yah, ma.. I can explain. But, give me chance to find my wife first ma…” lirih Afeef menuturkan kata apabila melihat ayah dan mamanya mempamer riak wajah yang jelas menunjukkan tanda tanya kepadanya.

“Feef…apa lagi yang Afeef dah buat ni..?” Tanya Hajah Zubaidah lembut. Sebenarnya dia memang terkejut dengan kehadiran si kecil itu. Tapi apa yang dia pasti, si kecil itu mesti ada pertalian darah dengannya apabila melihat kening lebat si kecil cantik terbentuk seperti Afeef dan anak-anaknya yang lain. Satu ciri yang diwarisi daripada suaminya.

Haji Ramlee hanya diam tanpa kata untuk memberi ruang kepada anak lelakinya itu menerangkan perkara yang sepatutnya diterangkan kepada semua ahli keluarga yang menantinya selama ini.

“Ayah, mama…ni sebenarnya anak Afeef dengan Damia...” Jawab Afeef lemah. Hampir menitis air matanya apabila menyebut nama Damia. Satu-satunya perempuan yang dicintai sepenuh hati sehingga dia sendiri lupa akan keluarganya dan seorang wanita yang bergelar isteri.

”Astaghfirullah...” beristighfar Hajah Zubaidah apabila mendengar nama Damia menitir di bibir Afeef. Haji Ramlee hanya diam mendengar.

”Ma, jangan salah faham ma. Kami..sebenarnya... nikah kat sana ma..” jawab Afeef lemah melihat riak terkejut mamanya apabila dia menyebut nama Damia. Kerana dia tahu, memang sejak dulu lagi Hajah Zubaidah tidak berkenan jika dia bernikah dengan Damia. Cadangannya untuk bernikah dengan Damia demi memenuhi permintaan mamanya dulu, ditolak oleh Hajah Zubaidah kerana kurang menyenangi sikap wanita itu yang dilihat sedikit liar. Ia jelas daripada cara pemakaian Damia yang seksi dan cara bercakap yang manja melampau. Sungguh Hajah Zubaidah tidak berkenan menyebabkan Afeef mengambil keputusan untuk bernikah dengan Iffat yang juga sahabat baiknya.

”Astagfirullah...Afeef..” sekali lagi terdengar mamanya beristighfar untuk menangkan hati dengan pengakuan Afeef. Dilihat ayahnya hanya menggelengkan kepala. Sungguh kecewa hati si ibu apabila anak yang amat disayanginya bernikah dengan wanita yang tidak disenanginya tanpa pengetahuan keluarga. Bergenang air jernih di tubir mata Hajah Zubaidah kerana kecewa dengan apa yang telah Afeef lakukan.

”Idah, sabarlah.. semuanya dah terjadi..takda apa lagi yang perlu dipersoalkan...” Haji Ramlee membuka mulut menenangkan isterinya yang sudah mula mengesat air mata. Sungguh terguris hati si ibu diperlakukan oleh Afeef.

”Ma.. maafkan Afeef ma..” Afeef sudah melutut di hadapan mamanya yang mula tersedu-sedu menangis. Hajah Zubaidah hanya mendiamkan diri. Memang hatinya begitu terasa dengan apa yang telah dilakukan oleh Afeef.

’Kesian Iffat’ desis hati tuanya apabila teringatkan menantu yang seorang itu. Teringatkan nasib Iffat yang membuatkan Hajah Zubaidah bertambah sedih. Hajah Zubaidah memegang kepala Afeef dan menegakkan muka yang menunduk di hadapannya itu. Dia mengucup lembut wajah Afeef lalu mendakapnya erat. Diusap bahu si anak perlahan. Sungguh dia terlalu sayang dan merindui anak itu. ”Afeef tak kesian ke dengan Iffat” bisik lembut Hajah Zubaidah ke telinga Afeef. Sengaja ingin menyedarkan Afeef akan kewujudan seorang wanita yang menunggunya saban hari.

Terasa begitu menusuk di hati Afeef apabila mamanya menyebut nama Iffat. Ya, sungguh dia memang rasa bersalah yang teramat dengan wanita itu dan melanggar janji yang telah ditabur kepada Iffat dahulu.

”Maafkan Afeef sekali lagi ma..” balas Afeef lembut seraya meleraikan pelukan. Dikucup lembut wajah mamanya itu.

”Sudahlah Feef...benda dah jadi Afeef...yang sudah tu, sudahlah..” kata Haji Ramlee pula apabila melihat dua beranak itu sudah tenang. Haji Ramlee memang bukan jenis yang suka memarahi anak-anak apatah lagi memusuhi mereka sejak dulu lagi. Sikap yang satu ini menyebabkan dia rapat dengan anak-anaknya malah ramai kenalannya juga begitu menghormatinya kerana sikap yang satu itu. Wajah itu sentiasa tenang. Afwan dan Afia hanya mendiamkan diri dari tadi dan tidak mengambil sikap campur tangan akan permasalahan yang dihadapi oleh Afeef kerana mereka tahu bahawa Afeef pasti akan menerangkan perkara sebenar apa yang telah berlaku menyebabkan dia langsung tidak mengirim khabar kepada keluarganya dalam 3 tahun itu.

Hajah Zubaidah mengalih pandang ke si kecil yang lena di pangkuan Afwan. ’Comelnya cucu mama ni Feef’ desis hati tuanya melihat si kecil itu. Dalam diam dia menerima kehadiran si kecil itu kerana dia tahu, memang tiada salahnya wajah mulus itu. Kenapa tidak dia menerima baik kehadirannya. Darahnya juga turut mengalir di dalam tubuh kecil itu. Malangnya, si ibu bayi itu bukan pilihan hatinya. Apa lagi yang ingin dikesalkan. Semuanya telah berlaku. Dia berjanji akan menerima baik kehadiran Damia dalam keluarganya. Cuma, masalahnya sekarang adalah Iffat. Dapatkah wanita itu menerima keadaan Afeef yang kini telah banyak berubah. Malah telah bergelar ’papa’ kepada sekecil itu tanpa pengetahuannya.

”Feef, mana Damia.” tanya Haji Ramlee apabila dari tadi persoalan akan ibu kepada si kecil itu sentiasa berlegar-legar di dalam kepalanya.

”Err..sebenarnya kami dah bercerai ayah,..bulan lepas..” terang Afeef perlahan. Dia hanya melihat si kecil yang sedang lena itu telah bertukar ke pangkuan mamanya. Dalam hatinya memanjat rasa syukur yang teramat kepada Allah apabila si kecil itu diterima baik dalam keluarganya.

”Laa..abang.. kenapa pulak?” tanya Afia yang dari tadi hanya diam, menyampuk dengan tiba-tiba. Matanya tidak lepas memandang wajah si comel itu.

”Feef, siapa nama cucu mama ni?” belum sempat Afeef menjawab soalan Afia, mamanya telah menyampuk bertanya akan nama si kecil itu.

”Muhammad Aqil Irfan ma...”jawab Afeef seraya tersenyum melihat kakaknya yang asyik mengusap rambut anaknya yang sedang lena itu.

”Ermm.. Pia, mama, ayah.. Afeef akan cerita kemudianlah hal tu. Buat masa ni, Afeef ingat, Afeef nak cari Iffat dulu. Banyak perkara yang Afeef kena bincang dengan dia.” sambung Afeef lagi.

”Hmm.. yela..ayah tak kisah Feef. Benda dah berlalu kan. Sekarang ni, hal Iffat. Hope Afeef dapat selesaikan secepat mungkin. Ayah taknak Afeef seksa Iffat terikat macam tu. Kalau Afeef memang taknak dia, lepaskan cara baik. Jangan diseksa anak orang tu.” balas Haji Ramlee sengaja ingin menguji kesungguhan Afeef kepada menantunya itu. Dia tahu yang Iffat memang sayang dan cintakan Afeef dengan ikhlas. Ianya jelas apabila kesungguhan Iffat yang sentiasa mengambil berat akan keadaan keluarganya dan sering bertanya akan perihal Afeef kepadanya. Jelas kelihatan sinar cinta yang suci di mata menantunya itu. Teringat juga dia akan wajah Iffat yang cukup berseri pada pandangannya semasa hari pernikahan 3 tahun lalu.

Tersentap hatinya apabila mendengar perkataan ’lepaskan’ dari mulut ayahnya. Sungguh langsung tiada niat untuk melepaskan Iffat. Kepulangannya ini pun ingin menunaikan semua janji-janji yang pernah ditabur kepada Iffat dulu. Dia ingin menebus semula kesalahannya yang lalu. Itu tekadnya untuk berjumpa dengan Iffat.

”Ayah, tiada niat pun Afeef nak lepaskan dia. Afeef nak dia kekal jadi isteri Afeef.” jelas Afeef lirih apabila dia sedikit terasa dengan kata-kata ayahnya itu. Hajah Zubaidah dan yang lain-lain hanya diam mendengar pengakuan Afeef itu.

”Bang, kesian Kak Hamani.” sampuk Afia pula sengaja memancing perhatian abangnya itu.

”Hmm..” hanya keluhan yang terdengar dibibir Afeef. Sungguh rasa bersalah begitu menggunung di dalam hatinya apabila teringatkan wajah wanita itu.

”Feef, biar mama call Iffat kejap bagitahu Afeef dah balik ya.” kata mamanya seraya menyerahkan si kecil itu ke pangkuan Haji Ramlee. Haji Ramlee menyambut lalu mencium pipi mulus si kecil itu. ’Cucu atuk’ desis hati lelakinya melihat si kecil dalam pangkuannya lena tidak berkutik langsung apabila Hajah Zubaidah menyerahkan kepadanya. Penat sungguh agaknya.

Hajah Zubaidah sudah melangkah ke tempat telefon dan Afeef tidak pula menghalang. Seberapa ketika, Hajah Zubaidah kembali ke tempat duduknya.

”Feef, Iffat kata lusa baru dia balik. 2 malam reunion dia orang.” terang Hajah Zubaidah memahami akan pandangan mata Afeef yang penuh berharap untuk mengetahui akan keadaan menantunya itu.

”Err..Afeef ingat Afeef nak pergi sana ajalah malam ni.” balas Afeef perkalahan. Sesungguhnya dia tidak dapat lagi menanggung rasa bersalah di dalam hati dan ingin segera diluahkan kepada Iffat. Empat pasang mata tertumpu kepadanya apabila dia menyuarakan keinginannya untuk berjumpa dengan Iffat pada malam itu juga.
”Boy ni biar betul. Dah pukul berapa ni. Tak penat ke?” tegur Afwan akan hasrat Afeef itu.

”Err.. takdalah penat sangat. Bukan jauh pun Teluk Batik tu. Afeef larat lagi nak drive.” balas Afeef bersungguh.

”Ala abang ni. Tunggu ajalah Kak Hamani balik Ahad ni. Abang bukan nak balik UK semula kan..?” kata Afia pula apabila abangnya hendak buat kerja gila malam-malam macam tu. Terkejut beruk pulak kakak ipar nya itu nanti apabila tiba-tiba melihat Afeef muncul dihadapannya.

”Ikut Afeef lah. Ayah dengan mama tak halang. Kalau Afeef rasa itu yang perlu Afeef buat, Afeef buatlah. Cuma satu aja ayah pesan, jangan nak bergaduh pulak kalau dah jumpa Iffat tu nanti. Cakap elok-elok dengan dia. Kalau dah dua-dua berangin nanti, satu pun tak jadi apa.” pesan Haji Ramlee tegas akan keputusan yang dibuat oleh Afeef. Dia tidak menghalang keputusan anak lelakinya itu kerana tahu yang Afeef takkan mengubah sebarang keputusan yang telah dibuat. Sikap yang satu itu memang tidak pernah berubah dari dulu lagi.

”Afeef, malam ni mama bawak Aqil tidur dengan mama ajalah ya. Afeef tidur sana kan nanti?” kata Hajah Zubaidah pula. Sebenarnya dia dah jatuh sayang dengan si kecil itu. Afwan dan Afia serentak memandang mamanya.

”Alaa..mama.. baru ingat nak bawak Aqil tidur dengan Afwan.” rungut Afwan apabila mama dan ayahnya sudah tersengeh-sengeh. Afeef hanya tergelak memandang Afwan dan Afia yang sudah memuncung.

”Alaa.. Pia pun..” tambah Afia pula yang turut kecewa.

”Alah.. kau orang bukan tahu jaga baby. Biar malam ni ayah dengan mama yang jaga.” gurau Haji Ramlee pula sengaja mengusik kedua wanita itu. Hajah Zubaidah hanya tersenyum mendengar kata-kata suaminya. Afia hanya mencebikkan bibirnya bila mendengar usikan dari ayahnya. Memang pun dia tak tahu menjaga budak-budak. Dia geram melihat pipi montok Aqil yang sedang lena itu.

”Pia, malam ni Pia teman abang pergi sana nak tak?” pinta Afeef apabila melihat wajah Afia yang sudah masam mencuka itu.

”Hah! Kenapa pula Pia kena teman. Tadi bukan ke abang kata abang larat lagi nak drive?” sindir adiknya. Sengaja ingin mengusik abangnya itu.

”Alaa.. boleh la.. manalah tahu kalau abang tertidur ke masa drive nanti. Dah Aqil jadi anak yatim pulak..esok kan hari Sabtu. Tak kerja kan..” kata Afeef lemah sengaja ingin menagih kesian dari adiknya itu. Dia tahu kelemahan Afia yang satu itu. Dia tak boleh kalau ada orang buat suara dan muka kesian depannya. Pasti akan diturutkan juga. ’Hehe..gelak Afeef dalam hatinya apabila Afia bersetuju menemaninya ke Teluk Batik.
..............................

Di dalam kereta, Afeef hanya mendiamkan diri. Dia duduk di sebelah Afia yang tenang memandu. Tadi bukan dia tidak mahu memandu, tetapi Afia yang berkeras ingin memandu. Katanya risau kalau Afeef yang memandu, pasti seperti nyawa dihujung tanduk. Bukan dia tak tahu yang abangnya itu memang ’terlebih’ berhemah kalau memandu. Sebelum bertolak tadi, Afeef telah menghubungi Luqman sahabat lamanya yang turut menyertai reunion itu. Telah dikhabarkan kepada Luqman yang dia akan datang ke situ. Cuma tidak diberitahu akan datang pada malam itu juga.

Setelah satu jam perjalanan, Afeef di sisi bersuara. ”Pia, pinjam phone jap. Abang nak call Kak Hamani lah.” Afia tanpa banyak soal menyerahkan telefon bimbitnya kepada Afeef kerana dia tahu abangnya itu memang tidak sabar-sabar lagi ingin berjumpa dengan kakak iparnya.

Beberapa ketika menunggu panggilan berjawab, Afeef memandang wajah Afia yang tenang memandu. ”Pia, kenapa kakak kesayangan Pia ni letak telefon dengar suara abang?” tanya Afeef pelik apabila mendengar suara halus Iffat menjawab salamnya kemudian tiba-tiba terputus.

”hahaha..mana dia tak letak. Mestilah dia cam tu bukan suara Pia.” balas Afia dalam gelaknya.

Afeef hanya menjeling geram melihat Afia menggelakkannya. Dia tahu yang Iffat pasti terkejut mendengar suaranya. Hatinya berdetak kuat apabila mendengar suara lembut itu menjawab salamnya tadi. Tanpa membuang masa, dia mencuba pula dengan menghantar SMS kepada Iffat. Malangnya, langsung tidak berbalas. Hatinya terlebih pasti yang Iffat memang memarahinya. ’Maafkan aku Fat’ bisiknya kepada diri sendiri.
Afeef memperlahankan bunyi radio yang hanya berkumandang di sepanjang perjalanannya. Afia menoleh sekilas Afeef di sisi. ”Laa.. kenapa abang slow kan radio tu?” tanya Afia melihat tingkalaku abangnya itu.

”Ni, abang nak tanya sikit dengan Pia ni pasal Kak Iffat tu” balas Afeef ringkas.

”Apa dia?” jawab Afia pendek beri peluang abangnya meneruskan kata.

”Kenapa Kak Iffat tak guna kereta abang ni?” tanya Afeef perihal kereta Toyota Vios yang dinaikinya itu. Memang kereta itu kepunyaannya tetapi telah menyuruh Iffat menggunakannya sepanjang dia di sana. Sengaja tadi dia berkeras juga ingin menaiki kereta kesayangannya itu walaupun dibantah oleh Afia yang ingin menaiki kereta myVnya sahaja. Dia terpandangkan keretanya ini terletak elok di bawah garaj di hadapan rumahnya. Jika dilihat, memang tiada siapa yang menggunakan keretanya itu.

”Entah. Pia pun tak tahu. Dulu lepas hantar abang kat airport, Kak Hamani terus pulangkan kereta ni. Dia kata dia tak selesa nak guna barang yang bukan miliknya.” terang Afia.

Afeef sedikit terasa dengan penerangan Afia akan perihal kereta itu. ”Pia, ceritalah ka abang apa yang dah berlaku sepanjang abang takda kat sini.” pinta Afeef seterusnya kerana di hatinya begitu membuak perasaan ingin tahu akan perihal Iffat wanita yang telah dilukainya. Sungguh getaran halus sentiasa hadir di hatinya apabila tiap kali bibir itu menyebut nama wanita itu. Tetapi langsung tidak diambil peduli. Apa yang dia tahu, Iffat adalah sahabat yang paling baik dia ada. Sanggup berkorban demi masa depannya.

Afeef hanya menjadi pendengar setia di sepanjang perjalanan. Sesekali hati lelakinya merintih pedih apabila mendengar semua perihal Iffat yang setia menunggu kepulangannya dan keperihatinan wanita itu menziarahi kedua orang tuanya saban minggu. ’Arghh... kau memang lelaki tak guna Afeef!’ jerit hatinya mengutuk akan kebodohan diri.

Apr 17, 2011

BAJP bab_9


“Kenapa pulak ni Fat?” tanya Hayati seraya memegang tangan Iffat. Sedikit menggigil tangan itu dirasakan.

“Err..Yat, Rafaal nak datang sini. Dia dah on the way..” jawab Iffat lemah.

“Hah! Pulak dah..” Lagi sekali Hayati terkejut. Mana tak terkejut, baru aja terima berita tentang Afeef, ditambah pulak dengan Rafaal.

“Hmm.. macam mana ni Yat. Aku dengan Afeef tak settle lagi, Rafaal pulak nak datang. Bukan kau tak tahu Afeef memang tak suka aku rapat dengan Rafaal. Macam mana ni Yat..” balas Iffat dalam resah memikirkan masalah yang bakal dihadapi. Dua lelaki itu bakal berjumpa di sini. Risau bukan kepalang di hatinya.

“Fat.. aku pun tak tahu la nak buat macam mana ni. Rafaal pun satu hal jugak. Kenapa pulak dia tiba-tiba nak datang sini. Kau ajak dia ke?” tanya Hayati lagi.

“Gila kau! Bila masa pulak aku ajak dia. Dia bukan satu sekolah dengan kita. Apa kes pulak aku nak jemput. Entah apa mimpi entah dia kata saja nak bercuti kat sini. Macamlah dah takda tempat lain dalam Malaysia ni dia nak pergi.” Rungut Iffat dengan perangai Rafaal yang sukar diramal.

“Aku pun tak tahu nak fikir macam mana masalah kau ni Fat. Yang satu tak selesai lagi, dah datang pulak masalah baru. Aku nak tolong pun aku tak tahu.” Balas Hayati lemah bila dia sendiri tidak tahu bagaimana ingin membantu menyelesaikan masalah Iffat.

Hmm..” terkeluar keluhan panjang dari mulut Iffat.

Fat, jom kita balik bilik dululah. Esok kita fikir macam mana. Dah lewat dah ni. Yang lain pun dah beransur dah tu. Pinggang aku pun dah tegang semacam aja ni. Jom Fat.” Ajak Hayati apabila melihat cafe itu semakin lengang. Hanya tinggal rakan-rakan yang bertindak sebagai jawatankuasa program reunion itu sahaja sedang duduk berbincang.

Hmm.. yela.” Balas Iffat lemah. Confirm malam ni dia tak dapat nak tidur nyenyak memikirkan masalah yang dihadapi. Sempat lagi Iffat dan Hayati membalas lambaian rakan-rakan lain yang turut sama ingin balik ke bilik masing-masing sebelum bangun.

Dalam perjalanan balik ke bilik, Hayati dan Iffat hanya mendiamkan diri. Masing-masing melayan perasaan. Hayati menoleh Iffat yang berjalan di sebelahnya. Sengaja Hayati mengikut rentak langkah Iffat yang perlahan. Dilihat wajah Iffat tenang bersahaja walaupun pelbagai masalah yang ditanggung oleh wanita itu. Kesian kawan aku sorang ni.’ Omel Hayati dalam hatinya. Mana taknya, macam-macam masalah datang menimpa sahabatnya itu tetapi Iffat masih dalam keadaan tenang dan dia tahu juga yang Iffat seorang wanita yang cukup kuat. Jika tidak, masakan dia dapat bertahan sehingga hari ini sepanjang Afeef melupakan kewujudannya di bumi Allah ini. Masih sah isterinya. ‘Kenapalah kau buat kawan aku macam ni Feef’ Keluh Hayati lagi apabila melihat kekuatan dan kesetiaan Iffat menanti kepulangan Afeef.

Tiba-tiba bunyi deringan telefon bimbit Iffat menyentakkan lamunan. Iffat menoleh sekilas Hayati yang setia di sisinya. “Yat…” panggil Iffat perlahan.

“Kenapa Fat? Siapa pulak yang call?” tanya Hayati apabila melihat Iffat mula mengerutkan dahinya.

“Pia…” jawab Iffat pendek.

“Laa…Jawab ajalah..apa masalahnya pulak…” balas Hayati. Pada waktu, mereka sudahpun sampai di hadapan bilik chalet masing-masing.

“Err.. agaknya, apa lagi yang jadi kat rumah mertua aku tu..” tanya Iffat sendiri bila dia teragak-agak untuk mengangkat panggilan tersebut.

“Ala.. kau angkat ajalah dulu.. manalah tahu ada hal penting ke..” jawab Hayati seraya mengetuk pintu bilik chaletnya yang bersebelahan dengan bilik Iffat itu. Terjegul wajah Luqman yang membuka pintu buat isterinya itu. ‘Siapa lagi yang call Iffat dah malam-malam ni.’ Monolog Luqman dalam hatinya apabila terdengar bunyi telefon itu buat kali kedua.

“Fat, angkat ajalah. Hmm.. aku masuk dulu ya. Selamat malam.” Ucap Hayati meminta diri untuk masuk tidur memandangkan si terunanya itu pun sudah lama lena ditidurkan oleh suaminya.
Iffat hanya menganggukkan kepalanya seraya menekan butang hijau.

“Assalamualaikum…” terdengar suara garau menyapa gegendang telinganya.

“Waalaikumussalam., Pia?” jawab Iffat pelik seraya membaringkan badannya di atas katil. ‘Eh, sakit tekak ke.. apa budak ni’ Omel Iffat dalam hati apabila sekali lagi melihat nama si pemanggil di skrin kecil itu untuk memastikan yang dia tidak salah orang. Memang nama Pia. Tapi kenapa suara garau pulak ni?’ rungutnya lagi.

“Iffat..” terdengar pula suara garau itu memanggil namanya. Terbit rasa getar di dadanya. Seakan-akan biasa mendengar suara itu. Sepantas itu Iffat terbangun dari pembaringan apabila teringat akan seseorang. Terus dia menekan butang merah dan meletakkan silent mode di telefon bimbitnya.

“Afeef…” tuturnya perlahan. Baru sahaja dia meletakkan telefonnya di meja sisi katil, berkelip-kelip lambut telefonnya tanda ada panggilan masuk. Dilihat, nama Pia lagi yang tertera. Dia pasti, yang menghubunginya itu adalah Afeef. Dibiarkan lampu telefon itu mati sendiri. Sengaja dia tidak mahu menyambut panggilan itu kerana masih tidak bersedia lagi untuk bercakap dengan Afeef apatah lagi berjumpa. Memang dia belum lagi punyai kekuatan untuk bersua dengan Afeef. Runsing hatinya apabila memikirkan yang Afeef ingin datang berjumpanya di situ. Sekali lagi lampu telefonnya bernyala. Tapi kali ini, tanda ada mesej masuk. Lantas Iffat membaca mesej tersebut.

++ Assalamualaikum Iffat, aku tahu kau tak nak cakap dengan aku. aku datang sana malam ni.

Terbeliak mata Iffat membaca mesej yang diterimanya itu. Iffat memandang sekilas jam tangannya. Hampir pukul 2 pagi. Iffat beristighfar untuk mengurangkan getar di dadanya yang kian tak sekata. “Ya Allah, Kau kuatkanlah hati hambamu ini untuk menghadapi ujianMu Ya Allah.” Doa Iffat sendiri. Dia hanya membiarkan mesej itu tanpa membalasnya. Baru sahaja dia ingin meletakkan semula telefon bimbitnya, sekali lagi telefon itu berkelip-kelip tanda mesej lain pula masuk. Iffat membaca dengan getar hati yang belum reda.

++ Iffat, I dah sampai. Sekarang ada kat bilik. Good night! Jumpa esok! :p

Satu lagi masalah yang bakal dihadapai esok. Rafaal! Berkali-kali dia beristighfar.
..........................

Mama! Ayah! Kakak!” jerit Afia berulang kali apabila melihat susuk tubuh lelaki yang berdiri di luar pintu itu.

Apa yang kecoh sangat ni Pia? Akak baru nak tidur. Terperanjat tau!” Marah Afwan apabila mendengar adiknya memekik dengan tiba-tiba. Haji Ramlee dan Hajah Zubaidah juga turut keluar meliha apa yang dikecohkan oleh Afia malam-malam itu.

Selepas makan tadi, semua telah masuk ke bilik masing-masing dan hanya tinggal Afia seorang sahaja menonton televisyen di ruang tamu. Tiba-tiba dia terdengar ada orang beri salam dan sepantas itu juga Afia bergegas untuk membuka pintu. Dilihat Afeef sedang tercegat di depan pintu. Terperajat bukan sedikit Afia apabila dia seakan tidak percaya melihat abangnya pulang pada malam itu. Gembira bukan kepalang apabila melihat wajah yang dirindui seisi keluarga itu.

Pia, kenapa jerit macam tu? Dah malam-malam ni kan. Malu jiran dengar.” Tegur Haji Ramlee lembut dan tegas akan tingkahlaku Afia.

Abang...” kata Hajah Zubaidah perlahan lantas memaut lengan Haji Ramlee kuat. Belum sempat Haji Ramlee melihat siapa yang datang, dia menoleh ke arah isterinya di sisi yang pucat dengan tiba-tiba.

Laa...kenapa pulak ni Idah?” tanya Haji Ramlee sambil mengusap pipi Hajah Zubaidah.

Afeef...” jawab Hajah Zubaidah lemah. Dia hampir terjelepuk melihat susuk tubuh yang berdiri di hadapan pintu itu. Melihat wajah yang dirindui saban malam dan waktu. Haji Ramlee menoleh ke arah pintu itu dan tiada kata-kata yang terzahir dari mulutnya apabila mata tua itu bertentang mata dengan Afeef.

Afia dan Afwan pula sudah tersedu-sedu menahan tangis kegembiraan melihat kepulangan Afeef yang memang dinanti-nantikan. Cukuplah mereka menangis pada setiap pagi raya lepas yang disambut tanpa kehadiran Afeef. Amat tidak bermakna hari raya mereka tanpa Afeef Adwan satu-satunya anak lelaki tunggal keluarga itu.

SubhanaAllah...” Hanya itu yang mampu diucapkan oleh Haji Ramlee. Afeef yang dari tadi berdiri terus berjalan masuk mendapatkan kedua orang tuanya. Jelas dia melihat wajah sedih kedua orang tuanya itu yang semakin dimamah usia. Menambah lagi rasa bersalah dalam dirinya di atas apa yang telah dilakukam. Afeef memeluk erat keduanya. Tiada kata yang terucap selain hanya tangisan halus yang keluar daripada sekeluarga itu menyambut kepulangan Afeef.

Haji Ramlee meleraikan pelukannya untuk melihat wajah anak lelaki tunggalnya itu. Banyak yang sudah berubah pada wajah itu. Jika dahulu sebelum berlepas ke bumi asing itu, anaknya itu tidak berkaca mata dan tiada langsung kumis nipis dan janggut di dagunya. Anaknya yang kini, kelihatan lebih matang dan berkeyakinan tetapi jelas juga wajah itu sedikit cengkung. Keletihan barangkali dengan perjalanan jauhnya. ‘Makin hensome rupanya anak ayah ni.’ Puji Haji Ramlee dalam hatinya.

Ayah, mama. Maafkan Afeef dari hujung rambut, sampai hujung kaki Afeef. Maafkan Afeef ma, ayah. Afeef banyak dosa dengan mama, dengan ayah, dengan Iffat. Maafkan Afeef.” Kata Afeef berulang kali kepada kedua orang tua itu. Teresak-esak dia menuturkan kata-kata maaf dan pada waktu itu juga dia tidak lagi mempedulikan air mata lelakinya dengan murah tumpah kerana kesalahan yang dilakukan. Dia sanggup berbuat apa saja untuk mendapatkan keampunan dari keduanya. Sungguh dia rasa bersalah dengan apa yang telah dilakukan sepanjang dia berada di negara orang. Tangan Haji Ramlee dan Hajah Zubaidah digenggam erat dan dikucup berulang-kali kerana rasa bersalah yang ditanggung. Sungguh dia tidak tenteram sepanjang berada di sana. Keadaan yang memaksa untuk dia tidak menghubungi kedua orang tuanya.

Syhh.. dah dah sayang. Mama dengan ayah dah lama maafkan Afeef.” kata Hajah Zubaidah dalam sisa tangisnya. Hatinya sudah cukup gembira melihat anak lelaki tunggalnya itu dalam keadaan sihat balik kepangkuan keluarganya. Dicium bertalu-talu wajah Afeef kerana terlalu rindu untuk melihat wajah itu. Haji Ramlee hanya melihat dua beranak itu melepas rindu. Bukan dia tidak rindukan Afeef, tetapi dia tahu isterinya lebih menanggung rindu akan anak kesayangannya itu.

Feef, ayah syukur sangat Afeef dah balik semula ke rumah ni. Itu dah cukup Feef. Cukup buat semua gembira. Afeef jangan risau, kami semua tak pernah marahkan Afeef. Yang sudah tu, sudahlah. Kita lupakan. Kita mulakan yang baru Feef.” tutur Haji Ramlee tenang seraya menepuk perlahan bahu si anak. Memang selayaknya dia dijadikan contoh oleh anak-anaknya. Haji Ramlee seorang yang tenang dan tidak pernah meninggi suara apatah lagi mengangkat tangan memberi hukuman sekiranya anak-anak melakukan kesalahan. Tetapi setiap pesanan dan teguran yang keluar dari mulut Haji Ramlee, sentiasa mempunyai ketegasan yang menjadikan anak-anak mudah mengikut kata dan amat menghormati akan dirinya.

Boy! Sampai hati Boy buat kami semua macam ni. Boy tak sayangkan kita orang semua ke..” giliran Afwan pula menghamburkan kesedihannya kepada Afeef.

Kak, Boy mintak maaf kak. Boy sayang semua kak. Maafkan Boy kak sebab semua orang sedih.” balas Afeef lantas memeluk erat satu-satunya kakak yang dia ada.

Pia...” panggil Afeef perlahan selepas meleraikan pelukan Afwan. Dia perasan yang adiknya yang seorang itu menangis teresak-esak lebih dari yang lain. Sebab dia tahu, pasti Afia paling terasa dengan apa yang telah dilakukan. Afia yang paling rapat dengannya berbanding Akma dan Afwan. Afia hanya diam membisu. Hanya terdengar sedu tangisnya. Afeef lantas mendapatkan Afia yang masih tercegat di tepi pintu dari tadi. Dipeluk erat gadis yang amat disayangi itu. ’Agaknya, dengan siapalah budak ni mengadu kalau dia ada masalah.’ Desis Afeef dalam hatinya apabila mengenangkan Afia semasa ketiadaanya. Jika dulu, dialah tempat mengadu sekiranya mempunyai masalah. Memang tidak pernah ada rahsia antara mereka.

“Abang…” balas Afia perlahan dalam esak tangisnya. Membalas erat pelukan Afeef. Sungguh dia amat merindui lelaki itu.

“Sayang, abang mintak maaf. I really sorry Pia..” jawab Afeef tak tertahan bila melihat wajah sendu adik kesayangannya berair mata. Afia sekadar menganggukkan kepalanya tanda dia memang sedia memaafkan apa jua kesalahan yang telah abangnya lakukan. Afeef meleraikan pelukan seraya menyapu wajah basah di hadapannya itu dengan jari kasarnya.

“Cengeng sangat adik abang ni” Afeef mencuit hidung Afia apabila melihat adiknya itu tidak berhenti lagi menangis. “Akma kat mana sekarang Pia?” Afeef tanya pula akan perihal adik bongsunya. Afia tidak menjawab kerana sibuk mengelap cecair yang keluar dari hidungnya kerana terlalu banyak menangis.

“Akma dah study kat USM Feef. Last week dia baru balik. Maybe, cuti semester nanti baru dia balik lagi. Nak mama call dia ke? ” Jawab Hajah Zubaidah seraya menawar diri untuk menghubungi anak bongsunya.

“Oh..hmm.. takpa, nanti Afeef sendiri call adik.” Balas Afeef ringkas.

“Err…Ma, Iffat mana ma?” tanya Afeef tergagap tentang seorang wanita yang masih sah menjadi isterinya. Sememangnya, dia tidak pernah melupakan Iffat sepanjang dia di sana. Seorang sahabat dan juga isteri yang ditinggalkan demi mengejar impiannya. Iffat Hamani. Satu-satunya wanita yang telah banyak berkorban demi dirinya.

“Iffat sekarang kat Perak. Katanya ada reunion sekolah. Lusa dia baru balik.” Beritahu mama tentang satu-satunya menantu perempuan kesayangannya yang dia ada.

Afeef sudah duduk di sebelah mamanya. Semua diam dan hanya mata sahaja berfokus kepada Afeef yang sedang meliar matanya melihat keadaan dalam rumah yang telah tiga tahun ditinggalkan. Tiada banyak perubahan. Susun atur barang-barang masih sama sebelum dia meninggalkan rumah itu.

“Feef, mana beg baju semua. Takkan lenggang kangkung aja balik?” tegur Haji Ramlee apabila melihat anaknya itu langsung tidak membawa apa-apa ketika melangkah masuk ke rumah itu.

“Err.. lupa..ada dalam teksi kat luar. Sekejap Afeef ambik.” Jawab Afeef apabila baru teringat akan barang-barangnya yang masih di dalam teksi di luar rumah. Afeef terus menapak ke luar rumah dengan getar di dada yang masih lagi belum reda selepas berhadapan dengan keluarga yang dilupakan selama tiga tahun itu. Ada satu lagi perkara penting yang harus dikhabarkan kepada keluarganya. Afia yang sememangnya berdiri di tepi pintu dari tadi terus mengekori langkah Afeef ke arah teksi yang dimaksudkan.

“Kesian anak papa tidur..penat ya sayang..” bisik Afeef kepada anak comel yang sedang lena tidur dalam teksi itu. Terlupa sebentar akan kewujudan si comel yang baru berusia setahun setengah itu. Selesai sahaja Afeef mengeluarkan barang dan membayar tambang teksi itu, cepat dia mengendong si comel yang sedang nyenyak tidur. Dia tidak perasan akan Afia yang dari tadi sudah lama berdiri tidak jauh darinya. Dia nampak adiknya itu menutup mulut dengan kedua tapak tangannya. Jelas benar riak terkejut di wajah itu. Cuma gadis itu tidak pula menjerit seperti mula-mula dia nampak Afeef berdiri di muka pintu.

“Pia..” Itu sahaja yang terkeluar dari mulut Afeef apabila terpandangkan Afia yang berdiri tegak memandangnya. ‘Ya Allah Ya Tuhanku, Kau bantulah hambaMu yang lemah ini berhadapan dengan ahli keluargaku Ya Allah.’ Doa Afeef di dalam hati.

Apr 16, 2011

BAJP bab_8

Buk! “Adoi!” Terduduk Iffat ke pasir dengan tak semena-mena apabila terasa ada objek melantun ke kepalanya tadi.

“Aunty Fat!” Terdengar suara kanak-kanak lelaki yang berlari ke arahnya lantas mengusap-usap kepala Iffat tanda perihatin akan kesalahan yang telah dilakukan. “Sakit ke Aunty? Sorry, sorry. A’an ingat Aunty sempat elak. Aunty okey ke tak ni?” Kata kanak-kanak itu lagi bila melihat Iffat masih memegang kepalanya.

“Fat! Kau okey ke tak ni? Kau ni biar betul sampai tak perasan bola tu tadi. Jauh sangat kau menung sampai tak sempat nak elak. Haha..” Gelak satu suara pula.

“Hah, gelak! Gelaklah banyak-banyak biar baby dalam perut kau tu pun gelak sama!” Marah Iffat apabila melihat dua beranak tu sama-sama gelakkannya kerana tak sempat nak elak dari terkena bola yang dibaling oleh Farhan.

Farhan Ikmal anak sulong Hayati dan Luqman yang berkahwin selepas Afeef berangkat ke UK pada 3 tahun lalu. Kini Hayati bakal menambah seorang lagi cahaya mata kedua yang baru berusia 5 bulan. Bahagia sungguh pasangan itu sekarang. Seringkali juga dia cemburu melihat kebahagian anak-beranak itu.

“Okey okey. Tak gelak dah.” Balas Hayati seraya memegang perutnya yang mula senak itu kerana terlebih gelak melihat Iffat yang terduduk itu.

“Fat, apa yang kau fikir sampai macam tu sekali aku tengok kau termenung?” tanya Hayati sambil membantu Iffat berdiri semula.

“Hah? Err.. takda apalah. Saja imbas memori lama.” Balas Iffat pendek untuk mengelak daripada Hayati bertanya lanjut.

“Eleh. Yela tu. Macamlah aku tak tahu. Kau memang sibuk fikir pasal Afeef kan? Mengaku ajalah Fat.” Serkap jarang Hayati apabila Iffat tergagap menjawab pertanyaannya tadi.

“Erk? Fikir pasal dia? Buat apa? Buang masa aku ajalah.” Iffat duduk di kerusi rehat yang disediakan di tepi pantai itu. Hayati hanya mengekori. Farhan pula terus mendapatkan Luqman yang berdiri tak jauh dari mereka.

“Yela kau. Macamlah aku tak tahu kau tu. Manalah tahu kalau tiba-tiba dia dah ada kat KL masa ni. Mesti kau tak sabar-sabar nak jumpa dia lepas kita balik KL nanti. Hehe..” Balas Hayati pula sengaja memancing Iffat supaya bercerita lebih lanjut.

“Erk? Sikit pun tak. Entah-entah dia dah lupa nak balik Malaysia dah. Syok sangat duduk sana. Kan minah saleh banyak. Lagi cantik, lagi seksi dari aku. Agaknya dia dah lupa kat aku ni..” Jawab Iffat lirih apabila memikirkan soal Afeef yang langsung tidak menghubunginya selepas berangkat dahulu. Hanya sekali sahaja Afeef menghubunginya. Itupun hanya sekadar memberitahu sampainya dia di sana. Lepas tu, langsung tak dengar khabar berita. ‘Kejam kau Afeef! Penipu!’ Marah Iffat dalam hati. Jangan kata dia, ahli keluarganya yang lain pun sering tertanya-tanya kenapa Afeef berbuat demikian. Mana janji-janjinya dulu sebelum meninggalkan bumi Malaysia ini, Iffat sendiri tidak tahu. Jika dia tidak dihubungi, Iffat boleh bersabar lagi. Tetapi ibuayahnya sendiri turut dilupakan. Itu yang menambah kekecewaan Iffat kepada Afeef. Jauh berubah Afeef yang dikenali dulu berbanding sekarang. Dia tidak menyangka sungguh tega Afeef berbuat demikian kepada orang tuanya yang begitu menyayanginya. ‘Sampai hati kau Afeef!’  

Sungguhpun Iffat tidak tinggal bersama keluarga mertuanya itu, dia tidak lupa untuk menjenguk keadaan mereka. Setiap hujung minggu pasti Iffat akan datang menziarahi dan sesekali akan tidur semalam dua. Selain itu, Iffat juga tidak lupa menghulurkan wang kepada mertuanya itu walaupun seringkali Hajah Zubaidah menolak. Iffat juga tahu yang keluarga mereka lebih dari mampu dan tidak perlu menerima sebarang wang tambahan daripada Iffat. Alasannya hanya satu iaitu dengan menyatakan wang itu daripada kiriman Afeef setiap bulan kepadanya. Jika tidak, Hajah Zubaidah dan Haji Ramlee pasti akan menolak. Padahal, wang itu daripada titik peluhnya sendiri. Walaupun ianya bukanlah dalam jumlah yang besar tetapi sama-rata dengan jumlah yang diberikan kepada Puan Hasmidah dan Encik Abdul Rahim. Telah dianggap keluarga mertuanya itu seperti keluarganya sendiri. Lagi pula, keluarga mertuanya itu terlalu baik dengannya sepanjang ketiadaan Afeef. Hubungan mereka terlalu baik. Mak dan abahnya juga tidak pernah menghalang Iffat berbuat demikian. Cuma, kebenaran tentang wang itu tidak pernah diceritakan kepada sesiapa. Biarlah menjadi rahsia peribadinya.

“Hmm..” terzahir keluhan di bibir comel itu apabila teringat kembali semua peristiwa yang menyebabkan dia terikat dalam keadaan macam ni. Kalau berdasarkan undang-undang, Iffat sudah boleh menuntut cerai daripada Afeef. Tapi, dia sendiri tidak tahu kenapa dia tidak berbuat demikian. Cinta. Ya, sebab cintanya terhadap Afeef tidak pernah luntur walaupun bibirnya sentiasa menyatakan benci di atas perlakuan Afeef terhadapnya.

Ada satu perkara yang Afeef tidak lupa lakukan hingga sekarang selepas bergelar suami kepada Iffat Hamani. Nafkah. Setiap bulan akaun Iffat akan terisi dengan sejumlah wang dan pastinya memang dari Afeef. Itu satu-satunya janji yang ditunaikan oleh Afeef sebelum dia berangkat. Tetapi, belum pernah satu sen pun yang Iffat gunakan untuk perbelanjaan hariannya sepanjang bergelar isteri. Sebelum bekerja dulu pun, abahnya yang sering memberikan wang perbelanjaan walaupun Iffat tidak pernah meminta kerana dia masih mempunyai wang simpanannya sendiri. Abah juga melarang menggunakan duit pemberian Afeef. Katanya biar sebagai simpanan untuk perbelanjaan dia dan selepas Afeef balik nanti. Begitu besar harapan keluarga Iffat kepada Afeef kerana sanggup menanggung makan pakai Iffat walaupun dia telah berkahwin. Tetapi tidak selepas Iffat bekerja. Dia sendiri tidak mahu membebani Encik Abdul Rahim dan Puan Hasmidah menanggung perbelanjaan keperluannya. Kerana dia tahu, manalah banyak hasil kebun kelapa sawit yang diusahakan oleh abahnya selepas bersara itu.  

Hayati turut bersimpati dengan nasib yang menimpa sahabatnya itu. Segala masalah yang dihadapi antara Iffat dan Afeef, dia dan Luqman tahu. Luqman memang berkawan baik dengan Afeef. Begitu juga dengan dirinya yang begitu akrab dengan Iffat. Cuma sejak pemergian Afeef, sahabatnya itu sentiasa memendam rasa mengenangkan apa yang berlaku dalam hidupnya kini tidak seperti pasangan lain.

“Hmm.. Tak baik kau cakap macam tu Fat. Dia still husband kau kan. Sabarlah Fat. Apa lagi yang aku boleh kata. Itu aja yang kita mampu buat. Berdoa kepadaNya supaya dipermudahkan segala urusan kau dengan Afeef. Aku dengan Luqman pun selalu doakan kebahagiaan kau orang berdua. InsyaAllah.” Pujuk Hayati apabila melihat Iffat hanya tertunduk memandang pasir. Dia jelas melihat ada air jernih yang bertakung di kedua mata itu.

“Thanks Yat. Kau selalu bagi aku semangat.” Balas Iffat seraya memeluk erat sahabatnya yang sedang berbadan dua itu.

“Most welcome beb. InsyaAllah. Aku dengan Luqman akan tolong kau mana yang mampu. Sabarlah..” Kata Hayati membalas pelukan Iffat. Pada waktu itu, Luqman datang menghampiri dengan Farhan yang dalam dukungan ayahnya itu.

“Sayang, dah la tu. Dekat maghrib ni. Jom kita mandi, solat dulu. Then, nanti boleh sambung sesi peluk-peluk ni. Majliskan mula lepas maghrib. Nanti terlambat pulak. Dah la kau orang berdua ni kalau bersiap, boleh sempat masak lemang.” Gurau Luqman sekadar untuk meredakan keadaan Iffat yang kelihatan sedih sejak tiba di Teluk Batik tengah hari tadi. Farhan sudah mengekek ketawa apabila pantas saja tangan Hayati mencubit perut suaminya itu.

“Amboi abang. Bukan main lagi nak mengutuk orang ya” balas Hayati geram. Iffat sudah tersenyum melihat gelagat keluarga bahagia itu. Farhan pula juga turut mendapat habuan cubitan manja dari ibunya di kedua pipi gebu tu.  

“Ibu ni. Sikit-sikit cubit pipi A’an. Sakitlah bu!”Celoteh mulut anak kecil itu memarahi ibunya. Sungguhpun usianya baru nak masuk 3 tahun, tapi tiap patah perkataanya tidak lagi pelat seperti kanak-kanak seusia dengannya.

“Sayang ni. Tangan tu kalau tak jalan tak boleh ke. Habis lebam-lebam badan abang sayang cubit.” Adu Luqman pula akan perangai isterinya yang satu itu.

“Lain kali buatlah lagi!” Balas Hayati pula sambil mencubit lagi pipi anak terunanya itu.

“Dah la Yat. Merah pipi budak tu. Dah dah. Jomlah balik bilik. Nanti lambat pulak.” Kata Iffat seraya memulakan langkah pulang ke bilik chalet masing-masing yang telah ditempah oleh pengarah program reunion mereka. Kebetulan pula pada waktu cuti sekolah, 3 hari 2 malam mereka menginap di situ.
  
Ini kali kedua mereka mengadakan reunion bersama rakan-rakan sekolah dan yang seronoknya, ia dilakukan di tempat yang sama. Kali pertama selepas mereka tamat di tingkatan 5 dan masing-masing masih belum berkeluarga. Afeef juga pada waktu itu turut serta. Sekarang masing-masing datang dengan keluarga. Riuh-rendah jadinya dengan hilai ketawa dan tangisan kanak-kanak. Hanya Iffat sahaja yang datang bersendirian tanpa ditemani sesiapa. Kalau dulu mereka hanya bercamping sahaja. Tapi kali ini, pantai tersebut telah banyak berubah. Banyak kemudahan lain yang telah disediakan untuk pelancong yang datang. Termasuklah beberapa chalet yang baru dibuka.

Pada awalnya, Iffat menolak untuk menyertai reunion tersebut. Tetapi didesak oleh Luqman dan Hayati supaya turut serta. Katanya bukan selalu program macam itu diadakan. Lagi pula, dia pun sudah lama tidak bercuti dan peluang ini diambil untuk merehatkan kepala dan hatinya yang sentiasa tidak tenang apabila teringat akan peristiwa lalu.

Program mereka pada malam itu hanya sebagai sesi pertemuan semula rakan-rakan sekelas yang sudah lama tidak berjumpa. Sedikit briefing tentang tentatif program sepanjang mereka di situ juga disampaikan. Iffat hanya melihat telatah anak-anak kecil yang berlari ke sana-sini apabila ibubapa masing-masing sibuk bercerita itu ini dengan rakan yang telah lama tidak berjumpa. Iffat bukan tidak berminat untuk menyertai mereka, tetapi telatah anak-anak kecil yang lebih menarik perhatiannya.

Menerawang lagi Iffat apabila membayangkan dirinya yang mempunyai anak-anak kecil seperti itu. Kalau dikirakan usianya, dia bukan muda lagi. Kata orang, sedang elok untuk mempunyai anak. Dari usia perkahwinannya juga, kalau diikutkan sudah boleh mempunyai anak sekurang-kurangnya seorang seperti Hayati dan Luqman. Tetapi, apa yang boleh dia katakan. Perkahwinannya bukan seperti orang pasangan lain.

Hatinya semakin kerap rasa tidak tenang apabila teringatkan Afeef. Berkali-kali juga dia beristighfar di dalam hati bagi meredakan keresahan hati itu. Dia tahu yang lelaki itu akan pulang ke Malaysia dalam waktu terdekat ini. Itupun Afia yang memberitahunya selepas abang kesayangannya itu menghantar email beberapa minggu lalu.
Bercerita tentang email. Bukan sekali dua Iffat menghantar email kepada Afeef untuk bertanya khabar. Boleh dikatakan setiap hari dia menghantar email kepada Afeef. Cuma Iffat menghentikan kerja tak berfaedah itu selepas setahun Afeef berada di sana dan tiada satu pun yang berbalas. Sejak itu, Iffat belajar untuk melupakan kewujudan Afeef dalam hidupnya. Dia tahu yang dia hanya bertepuk sebelah tangan dan hampir berputus asa meletak harapan dan menjadi penunggu setia Afeef. Tapi apa yang dia dapat. Harapan tinggal harapan, janji tinggal janji. Segalanya bercampur-aduk dalam fikiran Iffat. Perkara itu yang selalu menyesakkan kepalanya. Nasib baik juga dia telah bekerja. Masalahnya itu dapat dilupakan seketika dengan menyibukkan diri melakukan tugasan harian  yang menuntut untuk Iffat bergerak ke sana ke mari berurusan dengan orang.

“Fat! telefon kau bunyi tu. Kau tak dengar ke? Berangan aja kau ni dari tadi. Tak habis lagi ke oi.” Sergah Hayati seraya menepuk sedikit bahu Iffat yang duduk bersebelahan dengannya sekaligus menyedarkannya kembali ke alam realiti. ‘Huh! Malampau sungguh betul kau ni Fat asyik nak berangan aja!’ Marah Iffat pada dirinya sendiri bila ditegur Hayati. 

Iffat melihat nama pemanggil di skrin kecil itu. “Mama?” Kata Iffat sendiri. Dia buat muka pelik apabila melihat nama si pemanggil. Setahunya, mama jarang menelefonnya pada waktu malam. Kalau ada hal pun, Afia yang selalu menghubunginya. Dengan pantas dia menekan juga butang hijau.

“Waalaikumussalam mama” jawab Iffat mesra membalas salam mamanya. “Mama okey ke?” tanya Iffat segera apabila merasakan seperti ada suatu perkara yang berlaku dalam keluarga mertuanya itu. “Alhamdulillah. Ingat ada apahal tadi sampai mama call Iffat” balas Iffat lega bila mengetahui keadaan mak mertuanya itu. Tiba-tiba wajah Iffat pucat tak berdarah dan spontan tanggan kirinya menggenggam tangan kanan Hayati di sebelah. Hayati memandangnya pelik. “InsyaAllah ma. Assalamualaikum.” Kata Iffat lemah seraya memutuskan panggilan. Hayati yang melihat, sudah merasa ada yang tidak kena pada sahabatnya itu.

“Fat, kau okey ke?” tanya Hayati perihatin apabila dia nampak mata Iffat mula berair.

“Yat..Afeef” jawab Iffat pendek.

“Kenapa dengan Afeef pulak? Tadi bukan ke mama kau yang call?” tanya Afeef lagi.

“Hmm..Afeef dah balik..” jawab Iffat dalam suara antara dengar tak dengar. Razi yang sedang menyampaikan briefing untuk aktiviti program mereka esok di atas pentas kecil di café resort itu sudah tidak dihiraukan lagi.

“Hah! Kau biar betul Fat?” balas Hayati terkejut kerana tidak menyangka yang Afeef akan balik pada malam itu. Tak sangka gurauannya pada petang tadi menjadi kenyataan. Iffat hanya menganggukkan kepalanya mengiyakan pertanyaan Hayati.

“Sayang, Iffat!” panggil Luqman pula yang muncul entah dari mana dengan anak terunanya sambil memegang sebatang aiskrim. Kedua mereka berpaling ke arah Luqman yang sedikit termengah kerana laju berjalan balik daripada membelikan Farhan aiskrim dari kedai berhampiran.

You alls okey ke tak ni? Apsal pucat semacam aja ni?” tanya Luqman bila melihat kedua wajah dihadapannya. Farhan pula dibiarkan menyertai kanak-kanak lain berkejaran sana sini.

“Err..abang, Afeef dah balik” jawab Hayati apabila Iffat hanya mendiamkan diri.

“Hah! Abang baru nak cakap benda yang sama” balas Luqman yang sama-sama dah tayang muka pelik.

“Hah!” spontan Iffat memandang muka Luqman. “Mana kau tau Man?” tanya Iffat pula kerana pelik bagaimana Luqman juga tahu akan perkara yang sama.

“Hmm.. Afeef baru aja call aku. Tu yang aku cepat-cepat datang sini nak bagitahu kau” terang Luqman.

“Hah!” kali ni, kedua-dua wanita dihadapannya bereaksi hampir serentak. Luqman hanya menganggukkan kepalanya.

“Fat, lagi satu hal aku nak cakap ni. Afeef kata dia nak datang sini” Kata Luqman perlahan kerana dia tahu Iffat pasti terkejut dengan perkhabaran yang satu itu.

“Hah!” Kali ini hampir terjerit Iffat dengan kata-kata Luqman. Nasib baik rakan-rakan lain tidak perasan akan suaranya kerana suasana café itu bising dengan gelak ketawa dan berpadu pula dengan suara anak-anak kecil yang bermain dan menangis. Memang sungguh meriah gamaknya.

“Macam mana dia tahu kita ada reunion kat sini?” Tanya Hayati kepada suaminya itu.

“Dia kata dia dapat surat jemputan dari email siapa entah.” Jelas Luqman apabila melihat wajah Iffat yang sudah berkerut tu.

“Err..Yat, Man… aku rasa aku tak sedia nak jumpa dia..” balas Iffat lemah.

“Erk..Fat, bukan ke kau memang tunggu dia balik selama ni? Kenapa pulak kau tak nak jumpa dia?” tanya Hayati pula apabila melihat wajah Iffat yang keruh itu.

“Err..aku..aku..” Iffat tak tahu alasan apa yang harus diberikan. Cuma apa yang dia rasakan saat itu, dia memang tidak mahu berjumpa dengan Afeef. Lebih-lebih lagi di hadapan rakan-rakan sekolah lama mereka.

“Fat, aku rasa, ada baiknya kau jumpa dia Fat. Sampai bila kau tak nak jumpa dia. Kan dia dah ada kat sini. Aku rasa memang eloknya kau bincang pasal hubungan kau orang berdua ni. Sampai bila nak macam ni aja. Manalah tahu kalau dia pun sebenarnya tunggu kau. Kau jumpalah dengan dia dulu.” Pujuk Hayati lagi.

Luqman hanya diam membisu kerana tidak tahu apa yang harus dikatakan untuk menenangkan Iffat. Dia hanya membiarkan Hayati sahaja yang mententeramkan Iffat. Farhan yang penat bermain dengan kanak-kanak lain pun telah kembali ke dalam dukungan ayahnya. Letih benar lihatnya.

“Sayang, abang masuk bilik dulu ya. Tukar baju A’an ni lepas tu tidurkan dia dulu. Sayang nanti balik dengan Iffat aja ya.” Luqman meminta diri untuk memberi ruang kepada kedua wanita itu berbual. Mungkin Iffat lebih selesa dan tenang bersama Hayati. Sempat juga Luqman menghadiahkan kucupan ke kepala Hayati. Sungguh bahagia keluarga itu. Iffat yang tersipu dengan perlakuan mesra pasangan dihadannya itu. Manis dilihatnya. Dalam hatinya, timbul sedikit rasa cemburu kerana dia juga inginkan kemesraan yang sebegitu.

“Okey abang. Kejap lagi sayang balik.” Balas Hayati ringkas dengan menghadiahkan ciuman sayang ke pipi Farhan pula.

“A’an, say good night kat Aunty Fat.” suruh Luqman kepada anaknya.

“Aunty Fat, Good night” comel mulut itu berkata-kata seraya menghadiahkan ciuman kedua belah pipi Iffat dan mamanya.

“Good night sayang!” balas Iffat mesra. ‘Bahagianya jadi kanak-kanak macam Farhan. Tak faham akan masalah yang berlaku.’ Desis hati Iffat bila memikirkan masalah yang sedang dihadapinya. Sempat juga Iffat dan Hayati berbalas lambaian kepada Farhan dan Luqman yang mula menjauh.

“Fat, kau fikirlah betul-betul dulu. Jangan buat keputusan melulu.” Sambung Hayati.

“Hmm.. aku tak tahu la Yat..aku takut nak jumpa dia Yat. Masa dia kat sana, kenapa tak sekali pun dia cari aku? Langsung takda khabar berita. Ni tiba-tiba balik macam ni. Aku tak sedia langsung nak jumpa dia dalam keadaan macam ni Yat.” Balas Iffat perlahan. Dia rungsing memikirkan Afeef yang ingin datang berjumpa dengannya di situ.

“Habis tu, kau nak lari ke mana Fat?” tanya Hayati lagi yang kurang bersetuju dengan keputusan Iffat.
Sekali lagi telefon bimbitnya menyanyi riang minta diangkat. Jantung Iffat berdenyut laju apabila memikirkan yang pemanggil itu mungkin Afeef. Dia masih tidak melihat nama si pemanggil kerana membayangkan mesti Afeef yang menghubunginya.

“Fat, angkatlah phone tu.” Tegur Hayati apabila Iffat teragak-agak untuk melihat nama yang muncul di skrin kecil itu. Dilihat tiada tanda-tanda Iffat ingin mengangkat, lantas tangan Hayati mencapai telefon bimbit di dalam beg tangan Iffat. Terus dia menayangkan telefon itu dihadapan mata Iffat. Iffat menarik nafas lega apabila melihat nama si pemanggil. Terus dia menekan butang hijau. Hayati member sedikit ruang kepada Iffat untuk berbual dengan si pemanggil. Rafaal Haziq!

“Waalaikumussalam.” Jawab Iffat tenang.

“Hmm.. program mula esok. Dah lewat ni, lambat you tidur Rafaal?” tanya Iffat pula sengaja berbasi-basi. Tangannya turut melirik ke jam tangan yang dipakainya. Hampir 12 malam.

Hubungan dia dan Rafaal semakin akrab sejak Afeef ke luar negara. Dia juga pernah terserempak dengan Rafaal masa menghantar Afeef dulu di lapangan terbang. Rafaal yang melanggarnya masa di dalam kedai coklat. Sejak itu, mereka terus berhubung atas nama kawan. Iffat yahu di mana batasnya. Kebetulan juga Rafaal dan Iffat bekerja di dalam satu bangunan yang sama. Tetapi mereka masih lagi menjaga batas-batas perhubungan memandangkan Iffat masih bergelar isteri Afeef. Rafaal pula amat menghormati Iffat akan status yang disandangnya kini. Tiada salahnya di situ. Cuma, Rafaal memang kerap menghubungi Iffat sejak akhir-akhir ini dan Iffat tidak pula mengesyaki apa-apa walaupun Hayati selalu mengingatkannya yang Rafaal mungkin ada hati lagi dengannya. Kalau tidak, masakan lelaki itu masih belum berkahwin sehingga kini.

“Hah!” Iffat buat muka pelik dan terus membalas pandang dengan Hayati yang duduk selang beberapa kerusi dengannya.

“Err.. up to you la Raff” kata Iffat lagi. Matanya masih tidak terlepas memandang Hayati yang mula duduk semula di sebelahnya.

“Assalamualaikum” balas Iffat lagi seraya memutuskan panggilan. Hayati yang melihat sudah mengerutkan dahinya.