May 16, 2012

Mengharap kasih_short_part 1


“Abang..” Azila terus menyambut kepulangan suaminya tengh hari itu dengan perasaan sedikit pelik.

“Sayang masak apa hari ni?” tanya Afrizal selepas meleraikan pelukan isterinya. Sudah menjadi rutin apabila dia pulang dari kerja, pasti pelukan hangat isterinya yang akan diterima.

“Kan abang suruh Zila masak tomyam hari ni..” balas Azila seraya menyambut huluran uniform kerja suaminya.

Afrizal yang dikahwini lima tahun lalu hanyalah seorang penyelia kilang. Namun pun begitu, dia bahagia dengan apa yang dimiliki kini. Cukup lengkap serba-serbi malah makan pakainya terjaga. Sedikit pun tidak kurang walaupun hidup dalam kesederhanaan. Dihiasi pula dengan dua orang zuriat yang comel membuatkan hidup mereka sekeluarga lebih bermakna. Dia sendiri sanggup berhenti kerja semata-mata ingin memastikan segala keperluan anak dan suami lengkap segalanya.

“Abang nak makan sekarang ke? Zila boleh sediakan..” lanjut Azila apabila melihat suaminya itu sudah menyandarkan tubuh ke sofa dengan mata terpejam. Dia perasan wajah suaminya itu sedikit pucat. Dan mungkin sahaja migraine yang dialami sejak mereka mula berkahwin lagi datang menyerang. Begitulah kebiasaannya.

“Nantilah sayang… abang nak tidur kejap… sayang tolong ambikkan ubat abang dulu..” ujar Afrizal dengan mata terpejam. Hanya Allah sahaja tahu bagaimana denyutan di kepala yang ditanggung selama ini. Malah sejak akhir-akhir ini migrainenya semakin kerap menyerang. Kadang-kadang hingga dia hilang selera makan.

Azila yang sudah duduk di sisi suaminya itu terus bingkas. Sudah faham dengan keadaan suaminya apabila diserang migraine begitu. Dia hanya menurut.

“Abang, ni ubatnya… Abang masuk tidur dekat dalam biliklah. Nanti Along dengan Adik jaga, dia kacau abang pulak.” Ujar Azila yang sudah kembali dengan beberapa beg plastik kecil dan segelas air.

Afrizal hanya diam. Setelah beberapa biji kapsul ditelan, dia terus sahaja melangkahkan kaki ke bilik. Tidak mahu lagi menunggu lama kerana denyutan di kepala semakin menjadi-jadi.

……………………..

“Abang… abang…” panggil Azila lembut seraya menggoncang perlahan tubuh suaminya.

“Hmm..” terdengar suara Afrizal menjawab perlahan. Seperti terkepung di dalam tekak sahaja.

“Abang… dekat pukul 3 ni.. abang belum solat lagi..” ujar Azila dalam nada yang sama. Sepanjang berkahwin, belum pernah mereka meninggikan suara antara satu sama lain. Masing-masing pandai mengawal diri.

Afrizal memejam celik mata melihat ke wajah isterinya yang sentiasa tersenyum manis. Memang tidak salah percaturannya dahulu memilih Azila sebagai isteri walaupun mereka berkenalan secara tidak sengaja selepas dia tersesat jalan. Ketika itu Azila masih bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah syarikat swasta. Bibir mengukir senyum tanpa sedar apabila teringat kembali bagaimana dia boleh melamar wanita itu dalam tempoh perkenalan yang baru sahaja menginjak dua bulan. Dengan debar di hati lamaran dibuat melalui ibubapa wanita itu yang kini sudah pun menjadi ibubapa mertuanya.


“Zila… boleh saya tanya sikit?” tanya Afrizal dengan debar di dada. Sudah beberapa malam tidurnya tidak lena kerana terbayangkan wajah itu sahaja tiap kali memejam mata.

“Apa awak ni.. macamlah baru kenal semalam. Awak tanya ajalah apa yang awak nak tanya.” Jawab Azila mesra tanpa mengesan riak serba tidak kena di wajah lelaki di hadapannya itu.

“Erm, awak macam tak kisah aja kawan dengan saya. Awak tak takut ke kalau saya ni orang jahat ke… saja nak tipu awak ke… suami orang ke…” ujar Afrizal menduga.

“Alah..kalau orang jahat pun..suami orang ke.. orang jugak kan.. kalau awak ada niat jahat dengan saya, takkan sampai dua bulan ni awak sanggup postpone niat jahat awak tu..” jawan Azila diringi tawa kecil.

Afrizal turut ketawa. Wanita di hadapannya itu memang tulus bersahabat dengannya.

“Erm, kalau saya ni suami orang?” duganya lagi.

“Kalau suami orang? Erm.. kenapa saya nak takut. Bukan saya buat apa-apa dengan awak kan? Kalau wife awak tiba-tiba serang saya, biar saya cakap dengan wife awak yang kita ni takda apa-apa. Jumpa pun dekat kedai mamak ni. Kalau wife awak tak percaya, biar saya suruh mamak roti canai tu jadi saksi. Sekarang jugak saya boleh cakap dengan dia kalau awak nak..” Jawab Azila senang sebelum sebelah tangan dinaikkan ke atas untuk melambai seorang lelaki India muslim yang sedang menebar roti canai.

“Eh awak ni.. saya main-main ajalah..” kata Afrizal cepat. Dia sendiri turut melambai tangan kepada lelaki yang sama apabila dilihat lelaki itu tersenyum kepada mereka berdua.

Azila ketawa lagi.

“Tahu takut… awak janganlah risau okay. Niat saya berkawan dengan awak ikhlas. Kalau pun awak ada niat jahat dengan saya, apa saya boleh buat. Takdir kita di tangan Dia kan. Dia yang tentukan semuanya. Kenapa kita nak takut. Dia selalu ada.” Balas Azila dengan senyuman manis.

Afrizal tersenyum kelat. Salah percaturannya menduga wanita di hadapannya itu. Tidak menyangka Azila bijak menangkis apa yang diperkatakan. Malah kata-kata wanita itu selalu membuatkannya merenung kembali. Mencerna setiap bait kata yang keluar dari bibir wanita itu.

“Erm…Awak memang tak kisah ke kawan dengan saya?” soal Afrizal lagi sebelum masuk ke topik yang ingin dibincangkan.

“Kalau saya kisah, takdalah saya kawan dengan awak Encik Afrizal Abdul Razak.” Jawab Azila yang murah dengan senyuman.

Afrizal tersenyum kecil mendengar sebaris nama penuhnya disebut oleh Azila.

“Erm..takda siapa ke yang marah awak selalu keluar dengan saya ni?” tanya Afrizal lagi inginkan kepastian sebelum dia meluahkan hasrat hatinya yang sebenar.

“Ada.”

“Ada?” soal Afrizal mula panik. Tidak senang duduk jadinya mendengar jawapan dari bibir Azila.

“Mak dengan ayah. Dia selalu tanya saya keluar dengan siapa. Takkan saya nak tipu pulak. Saya cakap ajalah saya keluar dengan awak.” Jawab Azila selamba.

Afrizal yang sedang menyedut air milo ais di hadapannya itu hampir tersedak. Mujur cepat dikawal. Jika tidak, sudah basah wajah gadis yang mula mendapat tempat di hatinya itu dengan air milo.

Dengan senyuman pahit, dia menyambut huluran tisu dari tangan Azila untuk mengelap tepi bibirnya yang terkena sisa air milo. Tidak syak lagi yang gadis itu memang sudah berjaya memikat hatinya.

“Habis tu, kenapa awak keluar lagi dengan saya?” tanya Afrizal yang mula tidak senang hati.

“Itu yang sebab saya keluar dengan awak hari ni..” jawab Azila yang sudah mematikan senyum.

“Er..kenapa?” Afrizal semakin tidak senang duduk. Lebih-lebih lagi dengan melihat senyuman manis yang terukir di bibir gadis di hadapannya itu turut mati.

“Awak datang rumah jumpa mak ayah saya boleh?” ujar Azila tenang.

Afrizal yang mendengar kata-kata gadis di hadapannya itu tersandar. Pelik benar apabila permintaan itu keluar dari mulut gadis yang ingin dipikat. Sewajarnya dia yang memulakannya dahulu.

“Er..awak, boleh ke tak? Kalau tak boleh, saya tak paksa. Erm.. lepas ni saya pun tak boleh nak selalu keluar dengan awak lagi.” Lanjut Azila dengan senyuman nipis.

Afrizal yang mendengar sudah telan liur. Cepat dia membalas.

“Boleh..Boleh… siapa kata tak boleh..” balas Afrizal setenang mungkin. Dia cuba mengawal perasaan yang mula berlagu indah di dalam hati. Pucuk dicita, ulam mendatang… Mahu tidur, disorongkan bantal pula… Memang dia tidak akan melepaskan peluang di depan mata.

Azila mengukir senyum mendengar jawapan darinya.

“Kalau macam tu, hujung minggu ni bolehkan? Saya dah cakap dengan mak ayah saya awak nak datang.” Kata Azila terus menyebabkan Afrizal sekali lagi hampir tersedak dengan air milonya.

“Er..Hujung minggu ni?” soal Afrizal kembali seperti tidak percaya seawal itu dia perlu bertemu dengan keluarga Azila.

Azila hanya menganggukkan kepala tanda mengiyakan kata-kata Afrizal.

‘Hujung minggu ni kan lusa…’ kata Afrizal dalam hatinya.

“Kenapa? Awak ada hal lain ke?” tanya Azila pula.

“Er…tak tak… Erm, nanti awak bagi alamat rumah ya..” putus Afrizal akhirnya. Takkan pula dia mahu menolak permintaan gadis yang mula dipuja itu hanya kerana dia tidak bersedia. Melepaslah nanti!


“Abang…Abang… kenapa senyum-senyum ni?” tanya Azila sambil menyentuh perlahan pipi suaminya yang masih terbaring. Sejak tadi suaminya begitu. Hanya tersenyum manis sambil memandang ke wajahnya.

Afrizal yang kembali semula ke alam realiti menegakkan badan. Wajah isterinya itu dielus lembut.

“Terima kasih sebab sudi jadi isteri abang.” Ucapnya lembut sambil menghadiahkan kucupan di pipi Azila.

Azila yang mula memerah wajah hanya tersenyum manis. Walaupun agak pelik dengan kata-kata suaminya itu, dia tetap juga membalas.

“Terima kasih sebab abang sudi jadi suami Ila.” Jawabnya lembut dan turut melakukan perkara yang sama kepada suaminya.

“Terima kasih sebab sudi lahirkan anak-anak abang…” ucap Afrizal lagi seraya menghadiahkan ciuman sayang ke sebelah lagi pipi isterinya.

“Terima kasih sebab abang sudi bagi anak-anak abang membesar dalam rahim Ila..” balas Azila yang mula bergenang airmata kerana perasaan tidak enak dengan apa yang diperkatakan oleh suaminya. Kemudian dia turut membalas ciuman sayang ke sebelah lagi pipi suaminya dan ditambah pula sekilas ke bibir. Dia mahu suaminya itu tahu yang dia terlalu menyayangi dan menyintai sepenuh hatinya. Redha menerima baik buruk suaminya itu selama ini walaupun mereka tidak dilimpahi kemewahan.

Kemudian Afrizal terus meraih tubuh kecil isterinya itu ke dalam pelukan. Erat sekali.

“Abang… nanti terlewat abang solat..” ujar Azila yang cuba menahan airmatanya dari menitis. Dia tidak mahu suaminya itu melihat dia berairmata kerana tahu yang Afrizal tidak suka melihatnya menangis.

“Iyalah sayang.. sampai terlupa pulak kalau dapat main peluk-peluk ni.” Balas Afrizal mengusik seraya meleraikan pelukan. Hilang denyutan di kepalanya tadi.

Azila menepuk perlahan lengan suaminya yang memang suka bergurau.

“Abang solat dulu, Ila sediakan makan abang ya..” ujar Azila yang sudah bangun.

Afrizal hanya tersenyum dan menganggukkan kepala. Tidak tergambar betapa bertuahnya diri kerana mempunyai seorang isteri yang begitu bersabar melayan segala kerenahnya. Malah tidak pernah pula mendengar sebarang rungutan kerana terpaksa melakukan semua kerja-kerja rumah dan menguruskan anak-anak sendiri. Dia terlalu bersyukur dengan amanah yang diberikan.

**********

“Abang, Ila ada hal nak cakap dengan abang…” Ujar Azila ketika mereka duduk santai di tepi padang permainan di hadapan rumah mereka petang Isnin itu. Anak-anaknya dibiarkan bermain sendiri dengan tidak melepas pandang.

“Apa dia..” soal Afrizal yang membuang pandang ke tengah padang.

“Erm..tadi masa abang tidur Kak Long ada datang…” jawab Azila memulakan kata. Kakak iparnya datang ketika suaminya itu tidur tengah hari tadi.

“Kenapa? Dia nak pinjam duit lagi ke?” tebak Afrizal terus yang cukup faham apabila setiap kali kedatangan kakak sulungnya ke rumah pasti hanya kerana ingin meminjam duit.

“Er..ha’ah..” jawab Azila serba salah.

“Berapa kali ni dia nak pinjam?”

“500.”

“500?” Afrizal sedikit terkejut mendengar jumlah yang diminta oleh kakaknya. Dia mengeluh perlahan. Memang ada ada duit sebanyak itu. Namun apabila memikirkan hutang lalu yang masih belum dibayar, dia berat hati untuk memberi pinjam walaupun itu adalah kakak kandungnya sendiri.

“Abang…kalau ada, abang bagi ajalah pinjam. Kesian dia Ila tengok. Katanya nak buat belanja dapur.” Kata Azila yang tidak sampai hati melihat wajah murung kakak iparnya tadi.

“Abang bukan tak nak bagi sayang.. Hutang lama pun dia tak bayar lagi. Bukan dia takda suami. Suami dia tu lagi gaji besar dari abang. Gaji abang ni banyak manalah sangat. Cukup untuk sayang dengan anak-anak aja.. Kalau abang takda nanti, duit tu la yang untuk sayang guna dengan anak-anak..” balas Afrizal yang sememangnya suka menyimpan sejak di bangku sekolah lagi. Dia memang mempunyai simpanan untuk masa depan buat keluarganya. Dengan duit itu jugalah nanti jika ada perkara-perkara kecemasan berlaku.

“Agaknya Abang Said tak cukup duit bulan ni bang…” kata Azila lagi cuba memujuk. Pada masa yang sama, ada sebaris ayat yang dia kurang senangi meniti bibir suaminya.

Afrizal menoleh ke sisi memandang ke wajah isterinya. Azila yang dikenali memang seorang mudah berlembut hati dan cepat mengasihani orang lain. Kalau boleh semua orang mahu ditolongnya walaupun tidak mempunyai sebarang pertalian darah.

“Tengoklah macam mana nanti.” Putus Afrizal akhirnya.

Azila hanya mampu mengukir senyum. Dia tahu suaminya itu bukanlah seorang yang kedekut. Dalam marah-marahnya, tetap juga akan dibantu ahli keluarga yang memohon bantuan. Dia sendiri pada mulanya agak pelik kenapa adik-beradik suaminya itu kerap meminjam wang dari mereka. Sedangkan masing-masing sudah mempunyai keluarga dan tanggungjawab sendiri. Tetapi kalau bab duit, pasti suaminya yang dicari walaupun suaminya itu bukanlah bergaji besar. Anak bongsu pula. Dia sedar yang hubungan antara adik-beradik suaminya amat erat menyebabkan suaminya sendiri tidak mahu berkira lebih jika tentang duit. Katanya, duit boleh dicari. Kasih sayang keluarga tiada yang dapat mengganti. Itulah kata-kata yang selalu diingatkan oleh suaminya menyebabkan mereka akan sentiasa menghargai satu sama lain dalam menjalani kehidupan seharian walaupun tidak hidup dalam keadaan yang mewah. Tetapi semuanya lengkap.

*********

“Ummi… Bila ayah balik ummi..?” soal anak sulung mereka Aniq Danial yang berusia 4 tahun.

“Kejap lagi ayah baliklah sayang..” balas Azila sambil mengucup lembut kepala anak sulungnya yang duduk di sisinya. Dia sedia menanti suaminya pulang yang mahu membawa mereka anak-beranak makan di luar sempena ulangtahun kelahiran Aniq.

“Lamanya ummi.” Rungut si kecil itu lagi.

“Kejap lagi ayah baliklah tu. Jalan jem agaknya.” Jawab Azila yang sabar melayan kerenah anak-anaknya. Anak bongsunya yang duduk di sebelah kirinya sedang leka dengan botol susu sambil menonton tv. Tidak banyak ragamnya.

“Kita nak pergi mana ummi?” soal Aniq lagi yang memang banyak bercakap.

“Kita nak makan dekat luar. Kan tadi ayah cakap nak bawak kita keluar makan..” jawab Azila lembut. Memang mereka sudah bersiap dan hanya menanti suaminya pulang. Sebelum suaminya pergi kerja pagi tadi yang berpesan akan membawa dia dan anak-anak makan di luar.

Dia memandang ke arah jam yang terlekat di dinding hadapannya. Hampir sembilan malam. Namun kelibat suaminya masih tidak kelihatan. Suaminya itu berjanji akan pulang jam tujuh tadi. Tapi hingga kini masih belum pulang.

Sebentar kemudian, Aniq tidak lagi bertanya. Kepalanya direbahkan ke riba Azila untuk turut sama menonton tv.

Azila yang mula tidak sedap hati, terus mencapai telefon bimbit di meja kopi di hadapannya untuk menghubungi suaminya. Risau hatinya. Beberapa ketika menanti,  panggilan tetap juga tidak bersambut. Dia terus mematikan talian. Mungkin sahaja suaminya sedang memandu dan tidak boleh menjawab panggilannya. Dia berdoa agar suaminya sentiasa dalam keadaan yang baik-baik sahaja.

Sudah satu jam berlalu, namun kelibat suaminya masih tidak juga kelihatan. Anak-anaknya yang menonton tv tadi keduanya sudah tidur. Azila membetulkan letak kepala kedua anaknya sebelum bangun. Dia mencapai semula telefon bimbit dan cuba menghubungi suaminya. Namun tetap juga hampa. Langsung tidak bersambung. Hati mula diamuk resah kerana belum pernah suaminya pulang lewat begitu.

Dia menyelak langsir cermin lungsur untuk melihat kalau-kalau kelibat kereta suaminya akan tiba. Tetapi tetap juga tiada. Azila sudah berkira-kira jika setengah jam lagi suaminya belum pulang, dia mahu menghubungi rakan-rakan suaminya yang dikenali.

Baru sahaja Azila ingin masuk ke bilik menukar baju, dia terdengar deru enjin masuk ke perkarangan rumah. Dia yakin itu suaminya, buru-buru dia membuka pintu utama.

“Sayang… nak pergi mana ni cantik-cantik?” tegur Afrizal sebaik ternampak kelibat isterinya berdiri di muka pintu. Dia terus mendapatkan Azila selepas mengunci kereta.

“Abang pergi mana? Lama Ila dengan anak-anak tunggu abang..” kata Azila seraya memeluk erat suaminya.

“Eh, abang pergi kerjalah.. Cuma tadi ada excident dekat kilang. Tu yang abang terlambat hari ni..” jawab Afrizal seraya meleraikan pelukan isterinya.

“Ni sayang cantik-cantik malam ni nak pergi mana pulak?” soal Afrizal lagi apabila soalannya tadi masih belum dijawab oleh isterinya.

Azila sudah mengerutkan dahi.

“Abang tak ingat hari ni hari apa?” Azila menyoalnya kembali.

“Hari ni hari Rabu kan? Ada apa-apa ke hari ni?” Afrizal yang sudah melabuhkan duduk di sisi anak-anaknya yang sedang tidur di ruang tamu mengerutkan dahi sama. Cuba mengingat tentang tarikh-tarikh istimewa dalam keluarganya.

Azila yang turut sama melabuhkan duduk sudah mengeluh perlahan sambil melurut tudung kepalanya. Sah! Suaminya itu tidak mengingati tentang janjinya awal pagi tadi.

“Abang betul tak ingat abang dah janji apa pada saya dengan anak-anak?” Tanya Azila lembut. Dia masih mampu bersabar. Dia tahu suaminya itu terlalu penat bekerja.

“Abang ada janji apa-apa ke dengan sayang hari ni?” Afrizal sudah menggenggam lembut jemari isterinya. Dia masih gagal mengingati apa-apa pun yang dimaksudkan oleh isterinya itu.

“Abang kan janji nak bawak Ila dengan anak-anak makan dekat luar hari ni…” jawab Azila dengan keluhan halus. Dia masih pelik dengan keadaan suaminya. Belum pernah suaminya itu terlupa dengan tarikh-tarikh penting dalam keluarganya. Malah tarikh lahir kedua bapanya sendiri suaminya itu ingat.

“Bila abang janji?” soal Afrizal tanpa rasa bersalah. Dia benar-benar tidak ingat akan janjinya yang diperkatakan oleh isterinya.

“Kan abang janji sebelum abang pergi kerja pagi tadi.. Abang tak ingat ke?” tutur Azila lembut.

“Ada ke abang janji? Kenapa abang tak ingat langsung..” balas Afrizal sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Hm..takpalah.. tapi esok, abang kenalah jawab dengan Along. Tadi dia sibuk tunggu abang..” ujar Azila sambil memandang ke arah anak sulungnya yang sudah lena.

Afrizal masih mengerutkan dahi. Tidak dapat memahami apa sebenarnya janji yang telah dibuat awal pagi tadi.

Azila yang memahami kerutan di wajah suaminya itu terus menjawab.

“Hari ni kan hari jadi Along… Abang tak ingat ke?”

“Astaghfirullahal’azim.. Ya Allah.. kenapa sayang tak ingatkan abang..?” balas Afrizal dengan perasaan serba salah yang mula bertapak di hati.

Azila tersenyum kelat.

“Takpalah bang… kan abang selalu bawak Ila dengan anak-anak keluar makan… tak semestinya tunggu ada hari tertentu baru kita keluar makan kan..” jawab Azila untuk mententeramkan hati sendiri yang mula risau dengan keadaan pelik suaminya itu. Belum pernah suaminya begitu.

“Sayang.. sorrylah.. Abang betul tak ingat…” ucap Afrizal yang perasan riak tidak ceria isterinya itu.

“Takpa… Dah la tu bang.. Abang pergilah masuk mandi.. Dari pagi tadi kan… Mesti abang penat.” Balas Azila yang tidak mahu mengambil hati pun akan suaminya yang terlupa. Dia tidak mahu hal sekecil itu menjadi pergaduhan pula di antara mereka. Tambahan lagi, baru pertama kali suaminya itu terlupa.

“Sayang… abang betul tak ingat… sorry..” kata Afrizal lagi yang tidak senang hati kerana menghampakan harapan isteri dan anak-anaknya.

Azila cuba memaniskan wajah.

“Kan Ila kata takpa.. abang jangan risau okay..” ujar Azila seraya menyentuh lembut pipi suaminya. Tidak mahu ada perasaan bersalah di hati suaminya itu.

“Sayang.. hujung minggu ni ya.. Hujung minggu ni kita bawak anak-anak keluar makan.. boleh tak sayang..” Afrizal cuba membuat janji yang baru demi tidak mahu menghampakan perasaan isteri dan anak-anak.

“Ila ikut aja… jangan abang lupa lagi, sudahlah..” Azila cuba mengusik ingin mengubah suasana.

“Kalau abang lupa, sayang ingatkanlah.. boleh kan?” ujar Afrizal lembut. Senang hatinya mendapat isteri yang tidak pernah membuatkannya berasa terbeban dengan apa yang dilakukan. Semua yang dilakukan oleh isterinya mententeramkan hati dan kepala setelah seharian penat bekerja.

Azila hanya tersenyum dan menganggukkan kepala. Lebih mudah begitu untuk menangani sebarang masalah yang mereka alami. Perlu ada sifat maaf bermaafan di antara mereka. Jika suaminya berkeras, takkan pula dia juga mahu berkeras. Lebih baik dia mengalah dari terus mengangkat kekerasan juga yang mana akhirnya boleh mencetuskan pergolakan dalam rumahtangganya. Hal sekecil tadi tidak mungkin dia mahu perbesarkan. Tidak rugi kalaupun dia lebih banyak mengalah selama ini demi keharmonian dan kebahagiaan yang dikecapi hingga kini. Cuma keadaan suaminya sejak akhir-akhir ini sahaja yang agak membimbangkan. Semakin kerap pening kepala hingga kadang-kadang menyebabkan hilang selera makan.

May 11, 2012

Ingin BERTANYA, tolonglah ANSWER...

Assalamualaikum kawan-kawanan yang kesudian selalu singgah ke mari. :)

Erm, dengan berat hati ingin bertanya dan dengan rasa ingin tahu yang membuak-buak tentang hasil penulisan saya 'TIRAI DOSA KELMARIN'. 

Soalannya:

Adakah kawan-kawan sekalian ada terbaca mahupun sengaja baca mana-mana kisah e-novel yang tak bercetak ataupun sedia bercetak di abad ini yang mempunyai kesamaan dengan alkisah yang cuba saya bawakan dalam TIRAI DOSA KELMARIN?

~sebelum saya menghabiskan masa di hadapan laptop yang sia2 sambil dimarahi mymum yang langsung tak tahu apa yang saya buat selama saya berfoya-foya di hadapan laptop berjam2 lamanya, sebelum saya menyambung semula bab yang tertangguh dan meneruskannya hingga ke penamat dengan senyuman. 

Silalah bagitahu. Silalah ANSWER. Silalah jawab. Saya tidak mahu dikatakan cuba meminjam idea orang lain oleh kerana sejak akhir2 ini saya jarang membaca karya orang lain kerana terlebih syok melayan kamu2 yang suka melayan saya. :P hingga saya terlupa dengan karya orang lain. Hanya penulis tertentu sahaja yang menjadi pilihan hati tetap saya ikuti. 

PLEASE ANSWER supaya saya dapat meneruskan TDK tanpa rasa curiga dan boleh terlebih confident. PLEASE SAHABAT KALIAN. Please.... :(


May 10, 2012

Kau! yang Menghantui Aku!_bab 4

“Dik, kau kenapa muka macam tu?” tanya Firdaus ketika mereka dalam perjalan pulang. Dari tadi dia perasan adiknya yang bermulut becok itu mendiamkan diri sejak masuk ke dalam kereta. Entah apa yang tidak kena.

Awra hanya mendiamkan diri. Matanya ralit memandang ke luar tingkap yang gelap gelita. Hanya sesekali disinari lampu jalan.

“Awra, okay ke tak ni?” tanya Athirah pula yang menoleh ke belakang mencari wajah adik iparnya itu.

“Fir takda apalah kak…” balas Awra lambat. Tiada hati untuk bercakap dengan pasangan di hadapannya itu.

“Iyalah takda apa-apa.. bijak sangat kau menipu dik..” sahut Firdaus pula. Dia lebih memahami perangai adiknya itu.

“Takda apalah…” jawab Awra malas.

“Kau ni mesti pasal si Faiq tadi kan…” serkap Firdaus yang sesekali mengerling cermin pandang belakang.

“Kau tak payahlah sebut nama dia bang… Buat sakit hati aku ajalah. Dialah lelaki paling gila yang aku jumpa lepas kau bang… Dahlah muka bajet hensem. Padahal tak hensem pun. Berlagak! Suka hati nak kutuk-kutuk aku punya handphone. Aku tahulah dia kaya. Tapi tak payahlah nak kutuk-kutuk aku kan. Kau tengok bang apa yang jadi dengan handphone aku ni?” jawab Awra sambil menunjukkan telefon bimbitnya yang sudah tidak serupa telefon. Habis terburai semuanya. Hanya baterinya sahaja yang tiada. Semua gara-gara Faiq Faisal.

Firdaus sudah menahan tawa melihat komponen telefon bimbit yang bercerai itu.

“Lepas tu ikut kepala dia aja nak buang bateri aku. Macamlah aku beli telefon ni dengan duit dia! Entah apa yang dia sakit pun aku tak tahulah!” hambur Awra lagi dengan rengusan kasar. Sakit benar hatinya dengan lelaki yang baru dikenali itu.

“Alah.. memang patutlah pun dia kutuk handphone kau tu. Sekarang aku rasa dekat kedai dah takda jual lagi handphone kau tu. Nak repair pun dah tak boleh agaknya. Nak jual pun aku rasa dah takda nilai dik. Boleh buang dah. Orang sekarang semua pakai yang touch screen punya. Kau punya dah ketinggalan zaman sangat dik oi…” balas Firdaus diiringi tawa. Sengaja dia mengusik. Dia tahu adiknya itu bukanlah seorang yang pemboros. Malah, segala barang-barang yang digunakan oleh gadis itu, semua akan tahan lama.Termasuklah gajet yang baru sahaja rosak itu. Hampir enam tahun digunakan.

“Kau pun sama ajalah dengan dia bang. Tak payahlah nak kutuk-kutuk aku. Kau ingat aku suka-suka aja nak jadi ketinggalan zaman ke? Aku pun tahulah semua orang dah pakai handphone canggih-manggih sekarang. Aku aja yang tak tukar-tukar handphone buruk aku tu kan.” Bidas Awra geram.

“Lainlah kau bang. Kau tu ada kerja, ada gaji.. aku? Aku ada apa? Kalau aku bergaji macam kau, tak payah cakaplah. Memang aku dah tukar lama.. tak payahlah kena kutuk dengan kau selalu..” jawab Awra yang mula bergenang airmata. Nada suaranya juga sudah berubah. Sedikit terasa dengan sindiran abangnya walaupun ianya hanyalah usikan.

“Abang… dah la tu…” celah Athirah yang perasan perubahan dalam nada suara adik iparnya yang seorang itu. Dia kasihan dengan Awra yang masih tidak bekerja walaupun punya kelulusan. Dia tahu hati gadis itu cukup sensitif jika menyentuh soal kerja dan perkara-perkara yang berkaitan. Bukan dia tidak pernah membantu adiknya itu untuk mendapatkan tempat, namun gadis itu yang memilih untuk berdikari sendiri. Katanya jika dia mendapat tempat dalam pasaran kerja hanya semata-mata pertalian darah yang dimiliki, kebersihan pendapatan tidaklah sebaik mana. Sebab bukan atas keupayaan dan kelayakan yang dimiliki. Hanya bergantung kepada kelebihan orang yang membantu.

“Betullah apa abang cakap… dah memang telefon tu patut ditukar.” Jawab Firdaus yang masih tidak perasan akan perubahan pada wajah adiknya. “Dik, kau cepat-cepatlah cari kerja.. boleh tukar handphone canggih sikit..” lanjut Firdaus yang sudah ketawa kecil.
Awra tidak membalas. Hanya mendiamkan diri.

Athirah yang duduk di sisi pula sudah berasa tidak sedap hati. Suaminya itu memang suka mengusik adiknya tidak kira masa.

“Abang.. sudah la tu…” tegur Athirah perlahan. Firdaus pun terus berhenti ketawa dan memandang cermin pandang belakang.

“Dik, takkan touching kot… kau macamlah tak biasa dengan aku kan…” kata Firdaus yang baru perasan wajah adiknya yang keruh benar. “Nanti kau pakailah handphone lama aku dulu. Sementara cari handphone baru.” Lanjutnya lagi untuk memujuk. Lupa pula yang adiknya itu agak sensitif jika bercakap soal kerja.

“Tak payahlah. Biar aku tak payah pakai handphone. Bukan ada orang yang nak call aku pun..” balas Awra seperti berjauh hati.

“He’eleh.. merajuk pulak..” giat Firdaus lagi.

Awra mendiamkan diri lagi. Tidak menjawab kata-kata abangnya. Hanya jarinya sahaja sudah naik ke wajah untuk menyeka air jernih yang bertakung di hujung mata.

Firdaus pun terus mendiamkan diri. Tahu usikannya tadi membuatkan Awra muram begitu.

“Erm.. Awra pun boleh pakai handphone akak kalau Awra tak nak pakai handphone abang. Akak pun tak pakai sangat yang lagi satu tu.” Celah Athirah pula setelah kedua beradik itu senyap. Dia mahu menceriakan suasana semula.

“Takpalah kak. Handphone Fir ni boleh pakai lagi. Nanti Fir cari bateri lain.” Jawab Awra perlahan. Sungguh dia berjauh hati dengan apa yang sudah berlaku. “Kak, boleh pinjam handphone kejap.. Fir nak call ayah.” Lanjut Awra yang terasa ingin pulang ke kampung. Tidak mahu lagi duduk di rumah abangnya itu.

“Takkan merajuk sampai nak balik kampung kot dik.. Aku main-main ajalah..” ujar Firdaus yang mula tidak senang hati. Pada masa yang sama dia perasan jelingan tajam isterinya di sisi.

“Er..Awra dah nak balik ke? Tunggulah seminggu lagi.. nanti kita orang hantar balik..” sahut Athirah pula sambil menghulurkan telefon bimbitnya kepada Awra.

“Takpalah kak. Awra nak balik esok. Nak suruh ayah ambik dekat komuter aja.” Tolak Awra. Entah kenapa dia tiada hati lagi untuk duduk bersama dengan pasangan itu. Dia masih lagi terasa dengan apa yang diucapkan oleh abangnya tadi. Entah kenapa dia rasakan tiada siapa pun yang memahami dirinya saat itu melainkan yang Maha Esa serta kedua ibubapanya.

“Ala… kau kenapa sentap sangat malam ni dik? Relax la. Handphone tu nanti aku belikanlah baru. Kau dah boleh buang yang tu..” sahut Firdaus yang masih tenang dalam pemanduan.

“Tak payahlah. Aku ni mana ada duit nak bayar.. Nanti aku boleh pakai handphone lama ayah.” Jawab Awra yang masih di dalam moodnya tadi.

Sebentar kemudian Awra sudah bercakap dengan Mejar Abdul Shukor dan pasangan di hadapannya itu terus mendiamkan diri. Dia memang lebih rapat dengan ayahnya berbanding adik-beradik yang lain.

“Kau boleh ke balik sendiri esok?” tanya Firdaus selepas adiknya itu berbual dengan ayahnya.

“Boleh.” Jawab Awra perlahan seraya menyerahkan semula telefon bimbit kepada Athirah. Dan kemudian masing-masing terus mendiamkan diri.

*************

“Bro, kau tadi apa hal dengan budak comel tu?” soal Amir saat melangkah masuk ke dalam kereta Inspira merah milik Faiq.

“Budak comel mana pulak?” soal Faiq kembali sambil menghidupkan enjin kereta. Rasanya tiada lagi budak comel yang ditemui melainkan si gadis garang yang menjatuhkan iphonenya minggu lepas.

“Yang duduk belakang kita tadi la.. yang mulut dia bukan main lancang lagi kutuk pasukan kita tu..” sampuk Naqib pula yang duduk di belakang.

“Oh..” balas Faiq pendek sebelum mengundurkan kereta untuk keluar dari tempat parkir. Dia perasan wajah gadis yang diusik tadi masam mencuka ketika melangkah ke tempat letak kereta.

“Ni bateri handphone baru kau ke bro?” soal Amir seraya mencapai bateri telefon bimbit yang baru diletak di atas dashboard kereta.

“Taklah. Tu bateri awak comel yang kau kata tu la..” jawab Faiq dengan senyuman penuh makna di bibir apabila teringat peristiwa yang baru berlaku tadi.

“Kau jangan cakap dengan kita orang yang dia mengamuk tadi sebab kau ambik bateri dia ni..” tebak Naqib yang mula mengesyaki sesuatu telah berlaku pada sahabatnya itu. Jika tidak, lelaki itu sukar untuk mendekati mana-mana gadis pun selepas pengalaman lalu.

Saat itu jugalah tawa Faiq terhambur. Tepat tekaan teman serumahnya itu.

“Kau biar betul bro?” tanya Amir pula seperti tidak mempercayai tindakan berani sahabatnya itu.

“Dah dia yang buat hal dulu.. aku balas la balik.” Jawab Faiq dalam sisa tawanya.

“Takkanlah sebab dia kutuk pasukan kita tadi kau sampai nak ambik bateri budak tu. Bukannya kau boleh pakai pun bateri ni.” Balas Amir.

“Tu satu hal jugak. Siapa suruh mulut dia tak pakai insurans kan. Ikut suka mulut dia aja nak bercakap. Geram betul aku.” Jawab Faiq yang sudah mematikan senyumnya. “Tapi tu bukanlah sebab utama. Sebab utamanya dia memang ada hutang dengan aku.” Jelas Faiq dengan mata masih terbayang-bayang wajah tegang gadis comel tadi. Awra… hanya sebaris nama itu sahaja yang diketahui dari mulut kakak ipar gadis itu minggu lalu.

“Hutang? Kau memang dah kenal dengan dia ke?” tanya Naqib selanjutnya yang mula berminat mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Dilihat dari perwatakan gadis itu tadi, dia yakin sahabatnya itu sudah bertemu dengan ruasnya. Tidak pernah ada mana-mana gadis yang berani bertekak dengan sahabatnya itu selain gadis yang hanya cuba mengambil kesempatan di atas kesenangan dan kedudukan Faiq kini.

“Kau ingat tak yang aku cerita pasal iphone aku jatuh minggu lepas?” ujar Faiq yang tetap fokus dalam pemanduan. Amir yang duduk di sisinya itu pula hanya diam dan mendengar.

“Kenapa? Dia yang langgar?” tanya Naqib.

“Dialah..” jawab Faiq pendek.

“Habis tu? Apsal kau tak mintak aja ganti rugi. Ni yang kau ambik bateri dia buat apa..” celah Amir yang tidak faham dengan tindakan sahabatnya yang seorang itu.

“Aku ambik sebab handphone dia terhempas masa aku sergah depan toilet tadi..” jawab Faiq yang sudah tersengih sendiri. Lucu apabila mengingati kembali apa yang pernah berlaku di restorennya minggu lalu. Mudah benar gadis itu terkejut walaupun hanya sekadar bisikan. “Kelakar gila aku tengok muka dia tadi. Aku rasa kalau kau tengok model bateri tu pun korang tahu kan model apa. Habis terburai handphone dia tadi aku tengok.” Sambung Faiq yang sudah ketawa.

“Macam budak-budaklah kau ni.. Kesian dia weh. Tadi aku tengok muka dia bukan main ketat lagi. Pandang kau pun macam dia nak telan hidup-hidup.” Sahut Naqib yang sudah ketawa kecil mendengar cerita sahabatnya itu.

“Entah kau ni.. budak perempuan la pun.. ada pulak kau sergah. Kan kau boleh aja mintak dengan dia baik-baik ganti rugi. Tak payah main sergah-sergah..” celah Amir pula yang turut sama ketawa. Namun, tetap simpati dengan gadis comel yang diperlakukan oleh sahabatnya itu. “Atau.. melainkan kau ada agenda lain ke bro..” lanjut Amir dengan senyuman penuh makna sambil melirik ke wajah sahabatnya di sisi.

Naqib pula sudah menepuk bahu kiri Faiq yang masih tersenyum-senyum sendiri. Tindakan sahabatnya itu memang sukar dijangka.

“Bro, make sure jangan terlepas kali ni..” pesan Naqib penuh makna tersirat.

Faiq hanya tersenyum. Masih terlalu awal untuk dia menjangkakan sesuatu yang baik menantinya. Apa pun, gadis bernama Awra itu memang benar berjaya mencuit hatinya walaupun gadis itu sekeras batu. Hanya cubaan sahaja yang mampu dilakukan tambahan pula keupayaan gadis itu merasa setiap masakan memang menarik perhatiannya dari cerita Firdaus dan Athirah. Rasa simpati tiba-tiba muncul di celah hati saat melihat roti canai yang dipesan gadis itu belum sempat dimakan. Semua kerana kehadirannya di meja itu tadi.

*************

Seawal jam 7.30 pagi lagi Awra sudah keluar dari rumah semata-mata ingin cepat sampai ke kampung. Dia tidak mahu lagi berlamaan di rumah abangnya walaupun kakak iparnya puas memujuk. Dan kini dia sedia menanti ketibaan komuter. Berulangkali dia menoleh ke arah jam. Sudah lewat lima belas minit dari waktu yang sepatutnya komuter itu tiba. Kiri kanannya sudah dipenuhi dengan penumpang lain yang mungkin sama-sama sibuk ingin ke tempat kerja masing-masing memandangkan waktu baru 8.30 pagi. Masih ada lagi masa untuk masuk ke pejabat jam 9 pagi.

Baru sahaja dia menoleh ke arah jam sekali lagi, dari jauh dia sudah nampak kelibat komuter yang dinanti dan cepat dia bingkas berdiri kerana tidak mahu ketinggalan memandangkan perhentian itu agak sesak pada waktu begitu.

Sempat dia mengucap syukur apabila pintu salah satu gerabak kamuter berhenti betul-betul di hadapannya dan juga merupakan salah satu gerabak yang disediakan khas buat penumpang wanita. Kaki terus sahaja melangkah masuk memandangkan tiada penumpang yang keluar dari gerabak berlabel merah jambu itu. Disebabkan agak ramai penumpang wanita, dia cepat mencari tempat duduk kosong oleh kerana perjalanannya perlu melalui lebih dari tujuh perhentian.

Tanpa menunggu lama dia terus mempercepatkan langkah apabila terlihat tempat duduk kosong yang paling hujung. Sebaik sahaja dia melabuhkan duduk di tempat duduk sebelah tingkap, ada seorang lagi yang turut duduk di sisinya. Membulat matanya apabila pandangannya singgah ke wajah yang dikenali duduk di sisi tanpa rasa bersalahnya. Dia sudah mengerutkan dahi sebelum merengus kasar. 

‘Sah buta dia ni. Tak nampak ke ni coach wanita.’ Pagi-pagi lagi hatinya dah mengumpat. Tidak pula dia perasan kewujudan lelaki itu ketika melangkah masuk tadi. Dia tidak lagi menoleh ke sisi sebaliknya hanya membuang pandang ke luar tingkap. Hatinya yang tenang tadi kini seperti berombak. Geram dengan tindakan lelaki itu malam tadi. Dan kini dilihat lelaki itu seperti tidak mengenali dirinya. Hanya beriak selamba. Ringan sahaja mulutnya saat itu untuk memarahi Faiq akan tindakan membuang bateri telefon bimbitnya semalam. Tapi keadaan komuter yang agak ramai dengan penumpang, membataskan segalanya. Lelaki itu beriak selamba dan sedikit pun tidak menghiraukan kehadirannya di sisi.

Kini dia pula yang sibuk mengerling ke wajah lelaki yang segak dalam persalinan pejabat itu. Memang kebanyakan penumpang ketika itu antaranya pekerja-pekerja pejabat jika dilihat dari cara pemakaiannya. Kemudian dia membaranikan diri pula untuk menoleh ke arah penumpang-penumpang lain yang turut sama masuk ke gerabak yang dinaiki itu. Rupanya ada lagi tiga hingga empat orang lelaki yang menaiki gerabak yang sama. Termasuklah yang duduk tanpa rasa bersalah di sisinya itu.

Are you okay?” tegur lelaki yang duduk di sisinya itu tanpa memandang ke wajah. Lelaki itu sejak tadi sibuk dengan iphone di tangan.

Awra mengerutkan dahi. ‘Boleh pulak dia tanya aku okay ke tak..’ desisnya geram dalam hati.

“Awak memang takda rasa bersalah langsung pasal semalam kan. Dah lah naik coach wanita. Lepas tu tanya okay ke tak..” jawab Awra sinis yang sudah berpeluk tubuh dengan suara yang tertahan. Risau pula mereka menjadi tumpuan walaupun sejak tadi tempat yang dia duduk sudah menjadi tumpuan penumpang lain. Penampilan lelaki di sisinya itu memang memikat pandangan mata yang memandang.

Sorry..?” giliran lelaki itu pula mengerutkan dahi tanda tidak faham.

“Dah buat salah, boleh pulak awak buat-buat tak tahu kan. Mesti kepala awak ni dah terhantuk dekat kedai makan semalam. Tu yang sampai tak boleh ingat apa yang dah jadi. Dah buat salah tak nak mengaku pulak.” Awra terusan menyindir. Rasa marah dengan hal semalam memang tidak hilang sebaik sahaja melihat wajah tenang itu.

Sorry cik. Saya memang tak faham langsung apa yang awak cakap. Bila masa saya pergi kedai makan? Awak salah orang kot..” balas lelaki itu yang sudah memang ke wajah Awra dengan penuh tanda tanya. Gadis comel yang merah padam di sisinya itu menarik perhatiannya. Tadi dia tidak perasan langsung wajah comel itu.

“Salah orang? Awak ingat saya buta ke? Awak tu yang patut bukak mata awak luas-luas pandang muka saya ni. Takkan awak langsung tak ingat rupa perempuan yang awak kutuk malam tadi? Mentang-mentanglah orang kaya. Tapi tak payahlah nak kutuk handphone orang.” Marah Awra dalam nada yang sama. Dan saat itulah mereka sudah tiba di perhentian  yang pertama selepas perhentian tadi.

Faisal semakin tidak faham apa yang dibebelkan oleh gadis comel itu. Disebabkan destinasinya sudah tiba, dia pantas mengeluarkan sekeping kad nama dari dalam beg duitnya untuk diserahkan kepada gadis itu.

“Cik, saya rasa awak dah salah faham. Erm, sorry saya tak dapat nak berbual panjang dengan awak. Awak ambik kad saya ni, kalau awak nak sambung marah ke, awak call aja saya okay. Assalamualaikum.” Ucap lelaki itu cepat sebelum bingkas berdiri dan berlalu ke arah pintu keluar.

Awra yang masih terpinga-pinga dengan lelaki itu, terus sahaja menyambut kad kecil itu tanpa banyak soal. Sempat matanya menangkap wajah lelaki yang tersenyum manis itu sedang melambaikan tangan kepadanya di luar komuter. Dia kertap bibir geram. Panas benar hatinya kerana tidak sempat untuk meminta ganti rugi telefonnya yang rosak teruk semalam.

Kad nama yang masih berada di tangan terus digengam kuat hingga menjadi bulat sebelum dicampak ke dalam beg sandang yang dibawa tadi. Geram benar hatinya saat itu.

May 4, 2012

Anugerah istimewa_short_final part


“Woi! Sudah-sudah la tu nak berdiri depan cermin. Dah elok semua yang dekat muka kau tu. Hidung kau tu pun ada lagi. Cepatlah turun. Mummy dengan paksu kau dah bising dekat bawah tu..” kata Ihsan yang terjegul di muka pintu bilik hotel Aflah. Semua yang mengikuti rombongan pernikahan sahabatnya itu sudah tiba semalam. Lebih mudah jika mereka bertolak dari hotel itu untuk ke rumah pengantin perempuan. Tidaklah perlu tergesa-gesa bertolak dari Kuala Lumpur memandangkan majlis nikah berlangsung sebelum Zohor.

“Amacam wei? Hensem tak?” soal Aflah dengan sengihan yang melebar. Berdebar-debar hatinya saat itu untuk melalui majlis pernikahan yang bakal berlangsung. Tadi sempat dia menghubungi tunangnya. Namun, gadis itu dirasakan amat tenang. Langsung tiada nada gentar dengan majlis yang bakal berlangsung dalam masa 2 jam lagi.

“Alah. Kalau aku cakap tak hensem pun, kau sibuk jugak kata kau hensem.” Balas Ihsan malas. Dia sebenarnya sedikit kegum dengan penampilan Aflah saat itu. Walaupun cukup ringkas dengan baju melayu putih bersamping songket hitam, begitu terserlah penampilannya. Memang lelaki itu sudah dilahirkan dengan indah paras rupa. Tapi wajah itu cukup berseri-seri. Kata orang, sering pengantin. Jelas terpancar di wajah itu menggambarkan rasa bahagia di hati.

“Memanglah…” jawab Aflah sengaja mengusik.

“Wei, kau rasa nanti kau berapa take?” soal Ihsan sengaja berseloroh mengenai majlis pernikahan yang akan berlangsung.

Hello bro. Kalau kau one take, takkanlah aku nak two take pulak.” Jawab Aflah sedikit tercabar dengan kata-kata sahabatnya.

“Jangan confident sangat sahabat.” Balas Ihsan seraya menepuk bahu sahabatnya itu. Mereka sudah beriringan untuk masuk ke perut lif.

“Alah. Kau dengki la tu kan.. saja aja tak nak aku one take.” Jawab Aflah menjeling wajah sahabatnya yang sudah ketawa.

“Memanglah…” jawab Ihsan selamba sengaja ingin mengusik. “Bukan apa.. aku takut kau pengsan aja depan tok kadi tu nanti. Tak pasal-pasal two take pulak..” sambung Ihsan yang sudah mengekek ketawa. Teringat kembali apa yang berlaku sewaktu majlis pertunangan lalu.

“Ahh.. diamlah kau. Buat aku nervous aja..” bentak Aflah yang geram dengan sahabatnya itu. Ihsan suka benar mengusiknya tentang peristiwa majlis pertunangan lalu.

Relaxlah bro. Kata power. Takkan aku baru usik sikit dah nervous..” giat Ihsan lagi seraya masing-masing melangkah keluar dari perut lif.

“Sudahlah kau.” Balas Aflah geram. Mereka sudah mendapatkan kaum keluarga yang menunggu di lobi hotel.

“Bro, kau drive kereta aku.” Ujar Aflah apabila masing-masing sudah bersedia ingin bertolak ke rumah pengantin perempuan.

“Amboi! Habis anak bini aku nak letak mana oi..” jawab Ihsan pula.

“Takpun macam ni. Kereta kau bagi cousin aku drive. Kau dengan wife and si kembar naik sekali kereta aku. Nanti balik cousin aku boleh naik dengan family dia.” Cadang Aflah pula. Dia tidak akan bermalam di rumah Sara Madiha selepas majlis nanti. Habis majlis itu nanti dia akan terus pulang ke Kuala Lumpur. Dia mahu memberi peluang kepada bakal isterinya menghabiskan masa bersama keluarga sebelum berpindah tinggal bersamanya selepas majlis di sebelah keluarganya minggu hadapan.

“Erm.. Alright la kalau macam tu.” Jawab Ihsan bersetuju.

“Kalau macam tu, jomlah. Semua dah siapkan? Hantaran pun semua dah letak dalam kereta. Eloklah kita gerak sekarang. Takdalah pengantin perempuan pulak yang tunggu kamu tu nanti.” Celah Zahim pula yang sama-sama ada di ruang menunggu itu.

“Yalah paksu.” Jawab Aflah pendek. Pada masa yang sama dia menoleh ke wajah mummynya yang hanya mendiamkan diri sejak semalam. Tidak banyak perkataan yang keluar dari bibir itu.

“Mummy.. Kenapa senyap aja ni?” soal Aflah seraya menyangkutkan lengannya ke bahu Puan Azlina.

“Erm.. takda apa… Cuma mummy tak sangka yang anak mummy ni dah nak kahwin…” balas Puan Zalina yang sudah bergenang airmata sejak melihat kelibat anaknya yang sudah berpakaian baju melayu serba putih itu.

Aflah tersenyum nipis mendengar kata-kata mummynya.

“Kan mummy yang tak sabar-sabar nak dapat cucu… Kalau Aqil tak kahwin, macam mana nak dapat cucu..” Aflah cuba menceriakan suasana. Tidak mahu mummynya kelihatan murung begitu.

Puan Azlina mengukir senyum kecil. Terpujuk dengan kata-kata anak tunggalnya itu.

“Taknaklah sedih-sedih macam ni mummy. Mummy doakan majlis nikah Aqil nanti berjalan dengan baik ya?” lanjut Aflah seraya memeluk erat tubuh mummynya. Terasa sebak pula hatinya melihat mummynya begitu. Kalaulah arwah papanya masih ada untuk berkongsi hari bahagianya, pasti mummynya tidak semurung begitu.

“Sudahlah tu… kita dah lambat ni..” Celah Zahim yang sudah pun membuka pintu kereta buat kakaknya.

“Okay paksu.. Mummy, kita jumpa dekat sana nanti. Mummy jangan sedih-sedih macam ni lagi.” Ujar Aflah lalu mengucup lembut kedua pipi mummynya sebelum bergerak ke keretanya. Perjalanan mereka mengambil masa hingga satu jam.

……………………..

“Muhammad Aqil Aflah bin Muhammad Afzan?” kata lelaki bersongkok di hadapan Aqil.

“Saya.” Jawab Aqil tenang.

“Aku nikah akan dikau Sara Madiha binti Sulaiman berwali wakilkan aku dengan mas kahwinnya lima belas ribu ringgit tunai.” Lafaz lelaki di hadapan Aqil tenang.

“Aku terima nikah Sara Madiha binti Sulaiman dengan mas kahwinnya lima belas ribu ringgit tunai.” Lafaz Aqil jelas dan lancar.

Saat itu juga Aqil memandang tepat ke dalam mata lelaki di hadapannya sebelum terdengar suara-suara di sekeliling menyatakan perkataan sah. Saat itu jugalah dia mula mengukir senyum apabila lelaki di hadapannya itu mengucap Alhamdulillah. Dan dia terus meraup perlahan wajahnya sekali serta menarik nafas lega. Tepukan perlahan di bahu kanan daripada bapa saudaranya yang turut sama mengukir senyum. Sempat juga matanya mengerling ke sebelah kiri di mana sahabatnya duduk. Lelaki itu turut mengukir senyum buatnya.

Dan kemudiannya dia menadah tangan untuk bacaan doa. Tenang hatinya saat itu walaupun dapat merasakan sesuatu yang lain. Namun tidak dapat dipastikan. Apa yang pasti, rasa tenang dan sejuk hatinya saat itu tidak pernah dirasakan selama ini. Usai bacaan doa, dia terus memeluk erat tubuh bapa saudaranya dengan ucapan terima kasih yang tidak terhingga. Begitu juga kepada sahabatnya yang selama ini memberi sokongan. Kemudian beralih pula kepada mummynya yang sudah berairmata. Tersentuh hatinya saat itu melihat wajah mummynya yang keruh. Dipeluk erat tubuh itu sebelum dileraikan untuk menunaikan solat syukur di atas kurniaanNya.

Selesai sahaja bersolat, upacara pembatalan wuduk dilakukan. Dia mengambil tempat di hadapan seorang gadis yang duduk bersimpuh dan hanya menunduk dari tadi. Selepas sah menjadi suami, dia sempat mengerling sekilas ke wajah isterinya itu. Amat tenang sekali.

“Aqil..” Puan Azlina menghulurkan set barang kemas kemas kepada anak tunggalnya itu.

Madiha yang melihat huluran itu telan liur. Seperti tidak percaya apa yang dilihat. Dua kali dia terkejut hari itu. Pertama kalinya apabila melihat tiga puluh dulang hantaran yang dibawa oleh pihak suaminya itu. Yang kedua apabila mendengar jumlah mas kahwin yang dilafaz oleh suaminya. Tidak menyangka sebanyak itu pemberian Aqil kepadanya. Tidak seperti yang dirancangkan sebelum ini. Dan kini satu set barang kemas yang tidak pernah dibayangkan seumur hidupnya. Dua minggu lalu dia hanya dibawa untuk membeli cincin yang akan digunakan untuk upacara membatalkan wuduk. Tidak pula lelaki itu menyatakan ada set barang kemas yang tersedia.

Tangan yang sudah terasa sejuk sejak tadi, dihulur perlahan kepada suaminya untuk menyarungkan cincin sekaligus gelang tangan. Selesai itu, kini dipakaikan pula kalung di leher. Memerah wajahnya saat itu apabila mendengar bisikan lembut rapat di telinganya.

I love you so much sayang…” itu yang diucap si suami membuatkan semakin kebas wajahnya. Tidak berani untuk menegakkan wajah langsung. Bergetar hatinya saat itu. Belum pernah dia mendengar ucapan tulus itu dari mana-mana lelaki pun. Hanya dari bibir lelaki itu. Aqil Aflah suaminya.

“Sara… Aqil hulur tangan tu..” tegur ibunya di sisi membuatkan Sara Madiha sedikit tersentak. Kalut saat itu. Dengan tangan sedikit terketar dia menyambut huluran tangan suaminya. Dan dikucup lembut tanda hormat dan selayaknya sebagai seorang suami.

Aflah tersenyum lebar saat gadis yang sudah halal baginya itu mengucup lembut tangannya. Dan dia pula tanpa menunggu lama cepat sahaja menghadiahkan kucupan hangat di dahi isterinya itu. Dengan perasaan indah yang membelit hati, tangan cepat sahaja merangkul tubuh itu ke dalam pelukan.

“Mummy, Aqil dah dapat peluk Diha…!” kata Aflah membuatkan kaum keluarga di kedua-dua belah pihak hampir sahaja bersorak. Tetapi masih dalam kawalan memandangkan mereka di dalam masjid.

Puan Azlina pula terus sahaja menepuk bahu anak tunggalnya itu kerana beraksi berani terhadap gadis yang baru dinikahi. Sempat matanya singgah ke wajah manantunya yang merah padam setelah Aflah meleraikan pelukan.

“Bro, agak-agaklah..” tegur satu suara di belakangnya juga. Dia tahu itu suara mengusik dari sahabatnya sendiri. Ihsan.

“Sudahlah tu. Nanti makin lama dekat sini, macam-macam pulak yang kamu buat pada bini kamu tu.. Bawak bersabar sikit Aqil.” celah Zahim pula. Turut sama mengusik.

Bahagia dia melihat pasangan di hadapannya itu. Sama cantik, sama padan. Wajah gadis di sisi anak saudaranya itu dilihat hanya menunduk sejak tadi. Mungkin malu dengan keadaannya yang masih menjadi tumpuan lensa kamera dan baru sahaja dipeluk oleh Aflah di hadapan semua mata ahli keluarga.

Aflah pula tidak menjawab sebaliknya hanya mampu menayang barisan giginya yang tersusun cantik. Kembang mekar di hatinya melihat wajah mulus di hatinya kini sudah menjadi hak miliknya yang sah. Apa sahaja perbuatannya terhadap tubuh itu tidak lagi dikira dosa. Malah, mendapat pahala pada setiap sentuhan yang dilakukan. Jika dahulu dia mengucap cinta pada orang salah. Tapi kini dia lebih yakin menutur kata cinta itu kepada yang selayaknya.

*************



“Ehem…” Sara Madiha memberanikan diri menegur. Dalam rasa gentar di hati dia melangkah juga masuk ke dalam bilik. Baru malam itu mereka akan bermalam bersama selepas majlis pernikahan seminggu lalu. Suaminya itu sendiri yang memintanya begitu biar majlis kedua-duanya selesai kemudian mereka akan terus tinggal bersama. Dan siang tadi majlis di rumah keluarga Aflah. Menitis airmatanya saat ibu dan adik-adiknya ingin pulang ke kampung semula petang tadi.

Kebenaran untuk bekerja demi membantu keluarga selepas berkahwin telah pun ditarik semula oleh suaminya beberapa hari lepas. Katanya tidak mahu mereka tinggal berasingan. Suaminya itu ingin dia menyambung semula pengajian yang tertangguh. Mahu atau tidak, dia wajib menurut segala arahan suaminya itu tanpa ada bantahan. Memang itu juga harapannya selama ini dapat menghabiskan pengajiannya yang tertangguh. Cuma dia sedikit berasa tidak selesa apabila suaminya yang akan menanggung semua perbelanjaan termasuk wang perbelanjaan keluarganya.

Satu persatu kebaikan lelaki itu terserlah di matanya. Dia memang tidak mampu menolak dan membalas segala kebaikan lelaki itu. Hanya satu yang dapat dilakukan. Dia perlu menjadi isteri yang terbaik buat Aqil Aflah. Dia akan cuba yang terdaya untuk membahagiakan suaminya itu walaupun mereka baru sahaja berkenalan. Dan alasan baru berkenalan itu bukanlah sebab utama untuk dia tidak menjadi isteri yang terbaik buat Aqil Aflah.

Seminggu mereka berhubungan, dia mula dapat memahami satu persatu perangai suaminya. Sikap manja begitu jelas pada diri suaminya itu. Ketika lelaki itu ingin pulang ke Kuala Lumpur selepas majlis pernikahan mereka minggu lalu, pelbagai yang diminta hingga wajahnya merah padam menahan malu melayan segala permintaan Aqil Aflah. Minta dia memeluk erat tubuh itu, dia turutkan. Minta dikucup setiap inci wajah itu juga dilakukan dengan rela hati walaupun wajahnya saat itu sudah dirasakan tebal berinci-inci. Dia tidak mampu membantah segala permintaan lelaki itu setelah dia diberi peluang untuk tinggal lagi bersama keluarga selama seminggu walaupun mereka sudah sah menjadi suami isteri. Dia amat menghargai atas kesudian Aqil Aflah memahami dirinya yang terlalu berat hati ingin meninggalkan ibu dan adik-adik. Sebak hatinya apabila teringat wajah sugul ibu ketika ingin bertolak balik tadi. Tanpa sedar juga ada air jernih yang mula bertakung di hujung mata.

“Sayang…” panggil Aflah berkali-kali seraya menghampiri Sara Madiha yang hanya menunduk bersandar di pintu bilik. Dia tahu fikiran isterinya itu jauh melayang entah ke mana. Baru malam itu mereka akan bermalam bersama. Hari selepas pernikahannya minggu lalu, dia sendiri yang sengaja meninggalkan isterinya itu tinggal bersama keluarga sebelum mereka tinggal bersama. Sepanjang itu juga dia sering memberi ingatan kepada isterinya itu agar bersedia untuk tinggal bersamanya.

Aqil Aflah menyentuh perlahan bahu isterinya.

“Err… Maaf..” kata Sara Madiha dengan suara sedikit bergetar. Terkejut menerima sentuhan suaminya. Matanya menatap wajah Aflah yang begitu hampir di hadapan wajahnya itu. Tidak sampai sepuluh saat dia sudah melarikan matanya semula. Debar di hati terasa semakin menggoncang dada. Nafas hangat Aqil Aflah yang menyapa wajahnya saat itu menambah kekalutan di hati. Untuk bergerak menjauh, dia tidak mampu. Dia betul-betul sudah tersandar rapat di daun pintu. Entah bagaimana dia boleh tidak sedar suaminya yang tadi duduk berteleku di sejadah, kini sudah berdiri di hadapannya.

“Kenapa ni?” soal Aqil Aflah lembut yang tidak senang melihat mata isterinya yang sudah berkaca-kaca. Hujung dagu Sara Madiha disentuh agar wanita itu memandang ke wajahnya. Ibu jarinya pula sudah menyeka lembut airmata yang ingin menuruni pipi. Risau seandainya isterinya itu takut akan malam yang akan dilalui bersama buat pertama kalinya. Dia sendiri terasa sedikit gentar apabila berduaan begitu. Kali pertama juga bagi dirinya akan bermalam bersama seorang wanita yang kini sudah halal menjadi miliknya. Dan dia berhak melakukan apa sahaja semahunya. Tetapi, tanggungjawabnya yang satu itu bukanlah menjadi keutamaan. Dia tidak mahu hanya akan ada usaha dari pihaknya sahaja. Dia mahu kerjasama itu dari pihak isterinya juga agar segalanya dapat berlangsung dibawah restu dan perlindungan yang Maha Esa. Dia tidak akan sesekali memaksa.

Sara Madiha menggelengkan kepala perlahan. Mata terus sahaja menatap wajah suaminya yang bersih dan manis tersenyum. Tangan kasar yang melekap di wajahnya saat itu terasa sejuk. Mungkin kerana suhu penghawa dingin di dalam bilik itu yang agak sejuk atau juga lelaki itu sama-sama dapat merasakan apa yang tersirat di hatinya. Mungkin tanggungjawabnya sebagai isteri telah pun tiba. Dan dia mahu mengikhlaskan apa juga yang akan dilakukan oleh Aqil Aflah ke atas dirinya. Selayaknya layanan yang terbaik harus diberikan kepada insan bernama suami daripada seorang isteri.

“Sayang janganlah takut.. Abang tak makan orang..” bisik Aqil Aflah cuba berseloroh. Tidak mahu isterinya itu terusan dalam keadaan begitu.

Sara Madiha menggeleng kepala perlahan seraya cuba memaniskan wajah. Pandangan redup di hadapannya itu memang membuatkan detak jantungnya tidak lagi mengikut tempo. Dia memberanikan diri menyentuh tangan suaminya yang melekap di wajah. Ditarik lembut tangan itu sebelum dikucup sekilas. Lalu tanpa dipaksa pula dia terus memeluk tubuh tinggi lampai itu seeratnya. Biarlah dia yang memulakan langkah agar suaminya itu yakin yang dia redha menerima segala ketentuan dariNya.

Aqil Aflah yang sedikit terkejut dengan tindakan isterinya itu hanya kaku berdiri. Tidak tahu apa yang harus dilakukan.

“Assalamualaikum…” terdengar bisikan halus dari bibir isterinya yang melekap di dada.

Dengan debar di dada itu jugalah dia baru membalas pelukan. Bertambah erat. Dia pula yang terasa sedikit kalut apabila dalam keadaan begitu. Otaknya gagal memikirkan apa-apa saat itu selain hanya tertumpu pada tubuh si isteri yang sudah tenggelam dalam pelukannya. Ubun-ubun si isteri dikucup sekilas sebelum berpindah ke bahu. Dapat dirasakan detak di dadanya seakan-akan bersatu dengan isterinya. Dia tidak dapat menolak keinginannya yang satu itu apabila berduaan begitu. Walaupun Sara Madiha tidak menyatakan sebarang perkataan persetujuan, namun dia tahu yang isterinya itu sudah bersedia untuk melakukannya. Tangan yang masih erat melingkar di pinggangnya itu sudah cukup menunjukkan yang mereka saling memerlukan. Tiada lagi kata yang mampu terungkap andai itulah fitrah yang sudah ditetapkan dalam sesebuah perhubungan suami isteri.

‘Restuilah kami ya Allah..’ ucapnya dalam hati sebelum masing-masing redha dengan keinginan sendiri.

*************

“Sayang… lambat lagi ke?” tanya Aqil Aflah lemah. Hampir tiga jam dia menanti isterinya itu menyiapkan tugasan. Semenjak isterinya itu menyambung pengajian, hanya sekali mereka baru dapat bertemu dalam seminggu. Itupun jika dia tidak bekerja di luar kawasan. Disebabkan kampus si isteri di utara tanah air, mereka tidak dapat untuk tinggal bersama. Terpaksa berpisah dalam masa dua tahun itu.

“Sikit lagi… kejap aja..” jawab Sara Madiha yang masih tekun mengadap komputer riba di meja kerja suaminya. Aqil Aflah saat itu dari tadi setia duduk di sisinya.

“Alah… dari tadi sikit-skit. Tapi tak siap pun…” rungut Aqil Aflah yang semakin tidak senang duduk menanti. Sudah tiga minggu tidak bertemu dengan isterinya itu memang menyeksakan hati. Dia terlalu rindu untuk bermesra dengan isterinya itu.

“Yalah… macam mana nak siap. Abang dari tadi pegang sana, pegang sini.. cium sana, cium sini.. Cuba abang duduk diam-diam. Cepatlah Diha siapkan assignment Diha ni..” balas Sara Madiha sambil mengerling sekilas ke wajah cemberut suaminya. Memang sejak awal lagi suaminya itu tidak reti duduk diam. Ada sahaja bahagian tubuhnya yang ingin disentuh hingga dia tidak senang duduk. Pipinya itu sahaja sudah berkali-kali menjadi sasaran bibir suaminya dari tadi. Dia tahu akan keinginan suaminya itu sejak dia tiba malam semalam. Peluang dapat pulang bercuti seminggu itu memang dia ingin manfaatkan sebaiknya. Namun, oleh kerana tuntutan tugasan yang masih berbaki, dia terpaksa menolak tepi hasrat hatinya juga. Dia mahu sepanjang bersama suaminya nanti tidak perlu dia memikirkan hal tugasan. Maka segala tugasan harus disiapkan terlebih awal.

“Alah.. dari siang tadi sayang dah buat. Tak siap lagi ke? Ni tengok sekarang dah pukul berapa. Penat abang tunggu tau..” rungut Aqil Aflah lagi sengaja ingin bermanja. Melihat wajah isterinya itu sahaja sudah mampu menjentik naluri lelakinya. Apatah lagi setelah tiga minggu tidak berjumpa. Dia tidak menyangka yang isterinya itu akan sesibuk begitu jika melanjutkan pelajaran. Begitu banyak tugasan yang harus disiapkan saban minggu.

“Abang kalau mengantuk, pergilah tidur dulu… Kejap lagi dah siap, Diha tidur okay..” pujuk Sara Madiha lembut. Dia memang sengaja ingin mengusik. Bukan dia tidak faham apa yang dinanti oleh suaminya itu. Tugasannya pun sudah lebih satu jam siap. Dia sengaja ingin menguji kesabaran suaminya itu.

“Hm.. sampai hati sayang seksa abang sampai macam ni kan.. Dah la tiga minggu tak jumpa. Bila dah jumpa sayang buat tak tahu aja dengan abang..” jawab Aqil Aflah berbaur rajuk. “Sayang bercintalah dengan assignment sayang tu.. abang nak tidur dululah..” lanjut Aqil Aflah seraya bangun dan berjalan ke katil. Malas mahu memaksa isterinya yang masih sibuk dengan tugasan. Mujur isterinya bercuti seminggu. Dia masih mampu lagi bersabar untuk melepas rindu.

Sara Madiha ketawa kecil apabila melihat suaminya yang sudah bebaring di katil. Comforter ditarik hingga menutupi seluruh tubuh. Suaminya itu memang manja. Sengaja minta dipujuk dan dimanja jika mereka bersama. Dia terus menutup komputer riba dan mendapatkan suaminya di katil. Tidak sampai hati pula melihat suaminya itu tidur dalam keadaan berjauh hati begitu.

“Ala.. Diha usik sikit pun tak boleh..” kata Sara Madiha sambil menarik comforter yang menutupi wajah suaminya.

“Kan assignment Diha tak siap lagi. Pergilah siapkan.. Abang tak kisah..” jawab Aqil Aflah masih dalam nada yang sama. Sengaja ingin membuat isterinya berasa serba salah. Mata sedikit pun tidak memandang ke wajah isterinya.

“Dah lama siap dah..” jawab Sara Madiha seraya merebahkan tubuhnya di sisi Aqil Aflah. Senyuman manis terhias di bibirnya melihat rajuk si suami masih belum terpujuk.

Aqil Aflah yang mendengar kata-kata isterinya serentak menukar posisi tubuh. Terus mendakap tubuh Sara Madiha yang sudah berbaring di sisinya.

“Sayang tipu abang dari tadi ya? Habis tu buat apa lama-lama depan laptop tu?” soal Aqil Aflah yang sudah tersenyum penuh makna kepada isterinya.

“Abang jangan nak senyum macam tu boleh tak? Takut Diha tengok..” balas Sara Madiha dengan suara yang hampir berbisik. Tidak mahu mempersoalkan lagi hal tadi. Fokusnya kini hanya pada Aqil Aflah. Dia sendiri menanggung rindu terhadap suaminya itu. Tapi, masih lagi mampu dikawal agar tidak terlihat begitu ketara.

“Ni hukuman sebab sayang tipu abang hari ni…” ujar Aqil Aflah separa berbisik seraya mendaratkan bibirnya ke tempat sasaran. Sungguh keinginan hatinya tidak mampu lagi ditanggung.

***********

“Sayang.. kenapa menangis ni?” tanya Aqil Aflah apabila melihat wajah keruh Sara Madiha yang duduk di birai katil. Sudah seminggu isterinya menamatkan pengajian. Dia yang sedang membuka butang baju kemejanya berasa tidak senang hati sebaik tiba dari pejabat tadi. Mummynya juga ada menyatakan yang isterinya itu kurang sihat hari ini.

Aqil Aflah terus mendapatkan Sara Madiha yang hanya duduk menunduk dari tadi. Hanya esakan halus yang didengari dari bibir wanita itu.

“Sayang… cuba cakap dengan abang. Kenapa sayang menangis ni?” soal Aqil Aflah lembut seraya menarik hujung dagu isterinya itu agar mereka bertatapan. “Kenapa sayang abang menangis sampai macam ni sekali?” lanjutnya lagi lalu menyapu lembut airmata yang sudah memabasahi wajah si isteri.

“Abang…” Sara Madiha lantas memeluk tubuh suaminya erat.

“Kenapa ni sayang…” soal Aqil Aflah yang semakin tidak senang melihat isterinya begitu.

“Abang.. Diha tak boleh kerja..” tutur Sara Madiha dalam esak tangis.

Aqil Aflah yang mendengar jawapan dari bibir itu terus mengerutkan dahi. Setahunya dia tidak melarang untuk isterinya itu bekerja setelah tamat belajar. Malas dia sendiri ada menawarkan kerja di syarikatnya namun ditolak pula oleh Sara Madiha dengan alasan dia mahu berdikari sendiri.

“Kan abang izinkan sayang kerja…” ujar Aqil Aflah seraya mengusap lembut rambut isterinya untuk memujuk.

“Er..Diha..Diha..” tergagap pula Sara Madiha untuk menuturkannya.

Aqil Aflah meleraikan pelukan.

“Tell me why sayang..” kata Aqil Aflah lambut. Sekali lagi wajah yang berairmata itu disapu lembut.

“Diha…” Sara Madiha gigit bibir. Malu pula untuk menuturkan satu berita yang membuatkannya bersedih hati tidak dapat melaksanakan janji untuk membantu keluarganya. Aqil Aflah sudah menjadi keutamaannya kini. Dia tidak mampu membantah.

Aqil Aflah mengukir senyum. Sabar menanti butiran selanjutnya.

“Ni semua sebab abang…!” hambur Sara Madiha tiba-tiba beserta airmata.

Mati senyum di bibir Aqil Aflah.

“Sebab abang? Apa yang abang dah buat?” tanya Aqil Aflah sengan kerutan di dahi.

“Ni… perut Diha ni.. dah gemuk..” jawab Sara Madiha dengan linangan airmata.

Aqil Aflah tersenyum kembali. Dia akui yang tubuh isterinya itu semakin berisi sejak akhir-akhir ini.

“Biarlah sayang gemuk. Abang suka kalau sayang berisi sikit. Sedap peluk..” jawab Aqil Aflah seraya memeluk erat tubuh isterinya itu.

“Tapi kalau perut Diha dah jadi macam ni? Sedap ke nak peluk?” soal Sara Madiha seraya meleraikan pelukan seraya menunjukkan keadaan perutnya yang besar.

“Wait! Wait! What are you talking a about sayang?” tanya Aqil Aflah seraya memegang kedua bahu isterinya. Dia cuba mencari kebenaran yang bermain di benaknya di wajah isterinya itu. Masakan badan gemuk akan lebih jelas kelihatan di bahagian perut sahaja melainkan isterinya itu…?

“Sayang tak bergurau kan??”

Sara Madiha hanya diam menunduk. Malu pula saat itu untuk menerangkan duduk perkara yang sebenar. Rasa sedihnya tadi dirasakan tidak berasas.

Aqil Aflah yang mula rasa teruja terus sahaja melekapkan tapak tangannya ke perut yang sudah membukit kecil itu. Fahamlah kini kenapa tubuh isterinya itu semakin berisi sejak akhir-akhir ini. Rupa-rupanya ada benih yang sedang membesar di dalam rahim. Kehadiran yang amat dinantikan sepanjang dua tahun selepas bergelar suami.

“Syukur Alhamdulillah.. lama abang tunggu saat macam ni..” ujar Aqil Aflah seraya mengucup lembut perut isterinya sebelum memeluk erat tubuh yang diam membisu itu.

“Ab..abang…” seru Sara Madiha perlahan. Aqil Aflah pula sudah meleraikan pelukan. Fahamlah kini kenapa isterinya itu berairmata. Mereka pernah mengikat janji andai isterinya itu hamil, dia tidak akan membenarkan isterinya itu bekerja.

“Sayang menangis sebab tak dapat pergi kerja dengan baby kita ya?” ujar Aqil Aflah dengan senyuman bahagianya.

Sara Madiha hanya menganggukkan kepala perlahan. Bukan dia tidak gembira dengan kehadiran zuriat itu. Tetapi dia terpaksa menangguhkan hasratnya untuk membantu keluarganya di kampung dengan hasil titik peluhnya sendiri walaupun setiap bulan Aqil Aflah akan mengirimkan wang perbelanjaan.

Aqil Aflah terus memeluk erat tubuh isterinya itu erat. Sara Madiha merupakan anugerah paling istimewa yang diterima daripada yang Maha Pencipta dalam dia memaknakan kehidupan. Dia tahu isterinya itu sedikit kecewa kerana tidak dapat membantu ibu dan adik-adik dengan hasil titik peluhnya sendiri. Dia tahu isterinya itu tidak mahu membebankannya untuk menampung perbelanjaan keluarganya selama ini. Dia sendiri tidak pernah rasa terbeban dengan apa yang dilakukan. Sudah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan hidup isteri dan keluarga mertuanya lebih terjamin. Dia rela hati melakukan semua itu dengan kemampuan yang dia miliki.

“Lepas aja sayang bersalin, abang izinkan sayang bekerja. Hal mak dengan adik-adik dekat kampung, sayang jangan risau okay. Abang akan tanggung semuanya. Sayang tak payah susah-susah lagi. Cuma… Abang nak mintak maaf sebab sayang kena susah-susah lepas ni jaga baby kita baik-baik..” ucap Aqil Aflah tulus.

Sara Madiha pula sudah mengalirkan airmata semula. Sebak dengan ucapan tulus suaminya. Memang selama ini suaminya itu tidak pernah mengeluh akan segala perbelanjaan yang dikeluarkan buat ibu dan adiknya di kampung. Malah, keadaan keluarganya semua bertambah baik. Tidak lagi sesukar sebelum dia bernikah dengan lelaki itu.

“Terima kasih abang… terima kasih atas semuanya yang abang buat untuk Diha.. Diha tidak terdaya nak balas abang..” ucapnya pula dalam esak tangis.

“Ni… sayang dah bagi abang ni…” balas Aqil Aflah seraya meleraikan pelukan dan menyentuh perut isterinya.

“Ni lebih dari cukup yang sayang dah balas pada abang..” lanjutnya lagi seraya mengucup lembut dahi Sara Madiha sebelum tubuh itu dibawa lagi dalam pelukannya.

“Semoga Allah berkati hidup hingga akhir hayat kita sayang…” ucapnya lagi yang turut berkongsi rasa yang sama saat itu.

Semoga bahagia sentiasa menyelimuti kehidupan mereka hingga ke akhirnya dibawah keizinanNya. 


**************
~macam ada yang tak kena, tapi buat tak nampak eh.. hee :P