“Ehem-ehem.. Malu bertanya sesat
jalan.”
Tegur satu suara di belakang membuatkan
kepalanya laju menoleh. “Menyibuk ajelah!” Gumamnya sendiri namun masih dapat
didengari lelaki itu.
Amirudin tersenyum nipis.
“Kau ni kenapa?! Kalau kau tak
ganggu aku tak boleh ke?!” Bentak Fathiyah geram saat Amirudin melabuhkan duduk
di sisinya. Namun masih terkawal memandangkan mereka di tempat terbuka.
“Aku cuma nak tolong aje..”
Amirudin dengan lagak macho
menyilangkan tangan ke dada. Kertas yang hampir koyak di tangan gadis itu jelas
di ruang matanya. “Hai.. Dah dekat sebulan kau dalam ni, takkan sesat lagi.”
Selamba dia menyindir kerana sedia faham akan kelemahan Fathiyah sejak dulu
lagi. Sukar mengingati jalan.
“Suka hati akulah! Aku bukan
susahkan kau pun.” Dingin Fathiyah menjawab dengan suara yang tertahan. Perasaan
benci mula meluap-luap di hatinya.
“Eleh.. Macamlah aku tak tahu kau
tu.” Amirudin masih mahu mengusik. Bukan senang dia dapat berbual dengan gadis
itu. Apabila terserempak dengan kelibatnya, pasti Fathiyah akan cuba
mengelakkan diri. Cuma hari itu, mahu atau tidak, Fathiyah kena berhadapan
dengannya.
Fathiyah menegakkan wajah. Peta
kampus dihempas ke riba. Wajah lelaki yang masih tidak lekang dengan senyuman
itu dipandang tajam. “Kau siapa nak sibuk hal aku? Aku ada ganggu hidup kau ke?
Takda kan? So, boleh tak kau pergi
dari sini. Aku menyampahlah tengok muka kau!” Dia menghamburkan rasa tidak puas
hati yang terpendam.
“Siapa kata kau tak ganggu hidup
aku? Kau sambung study dekat sini,
kau ingat hati aku boleh duduk diam? Memang taklah. Aku terganggu kau tahu
tak?” Tingkah Amirudin berterus terang. Tidak berselindung lagi apa yang
tersirat di hatinya walaupun yakin yang hubungan mereka tidak akan sebaik dulu.
Dia sendiri tidak pernah meletakkan harapan kerana sedar akan keadaan diri.
Namun disebabkan amanah yang dipikul kini, terpaksa diturutkan juga hasrat hati
kerana sememangnya gadis itu sentiasa dekat di hati.
“Huh!” Giliran Fathiyah mengukir
senyum sinis. Wajah ditalakan ke arah
lain. “Ada aku kisah kau terganggu ke tak.. Tapi sekarang ni, kau tu
yang dah ganggu aku!” Lawannya tetap dalam kedinginan.
“Makcik. Hello. Aku ni terpaksa
ganggu kau tahu tak? Jom aku hantar balik.” Balas Amirudin geram. Malas lagi
mahu bertekak dengan Fathiyah yang takkan pernah habis. Dia perasan api
kebencian yang marak menyala dalam sepasang mata bundar itu.
“Huh! Kau gila ke apa aku nak
balik dengan kau. Memang taklah!” Sengaja Fathiyah mengulangi kata-kata lelaki
itu tadi. Tetapi siap dengan mata dijulingkan ke atas lagi.
“Hey Makcik! Kau tengok jam kau sekarang pukul berapa?” Kasar
Amirudin menarik lengan gadis itu dan dibawa ke hadapan mata. “Dah dekat pukul
tujuh tahu tak? Kau ingat aku suka-suka datang sini ganggu ketenteraman kau?
Memang taklah! Kau pun bukan nak jumpa aku kan? Banyak lagi kerja yang
berfaedah aku boleh buat dari jumpa kau dekat sini.” Lanjutnya cuba bersabar.
Hanya kerana Amir dia ke situ.
Fathiyah menarik kembali
tangannya sebelum mencebikkan bibir. “Tahu pulak
sekarang kau buat kerja tak berfaedah. Habis tu kau tunggu apa lagi dekat sini.
Pergilah buat kerja berfaedah sangat kau tu. Tak payah nak sibuk hal aku dekat
sini.” Dia menyindir.
Amirudin ketap bibir rapat. “Kau
tengok sekeliling kau sekarang. Ada tak orang lagi? Dah dekat maghrib ni. Kau
nak tunggu bas sampai bila dekat sini?” Sememangnya perhentian bas di hadapan
perpustakaan itu sedikit sunyi jika menginjak lewat petang.
“Biarlah! Aku tak susahkan kau
pun.” Fathiyah menjawab selamba walaupun hatinya mula dilambung kerisauan. Selama
dia di situ, hanya abangnya sahaja yang akan datang menjemput setiap kali tamat
kelas. Cuma hari itu dia terpaksa pulang sendiri kerana abangnya berkursus di Ipoh
selepas menghantarnya pagi tadi. Bakal kakak iparnya pula sedang bercuti di
kampung.
“Kau tak payah banyak songeh
sangatlah. Kalau jadi apa-apa pada kau, aku jugak
yang susah!” Amirudin terus sahaja menyambar beg sandang gadis itu bersama
buku-buku kulit tebal yang ada bersama.
“Shah!” Terkocoh-kocoh Fathiyah
mengekori langkah panjang Amirudin ke tempat letak kereta.
“Masuk!” Tegas Amirudin bersuara
sebaik dia membuka pintu kereta.
“Kalau aku tak nak macam mana?”
Fathiyah masih cuba menduga hati lelaki di hadapannya itu.
Amirudin mengecilkan mata sebelum
wajahnya terus sahaja dirapatkan ke wajah gadis itu hingga Fathiyah tersandar
di tepi kereta. “Kau ni memang suka cabar aku kan..”
“Ada apa ni?” Sapa satu suara menyebabkan
masing-masing menoleh. Amirudin menjarakkan dirinya. Wajah pensyarah muda itu
dipandang.
“Er.. Doctor..” Fathiyah serba salah.
“Fathiyah.. Are you okay?” Dr. Kamarulzaman prihatin.
“Er.. Okey..” Sengihan pahit
dilemparkan pada penyelia tesisnya.
“Cepat masuk! Kita dah lambat
ni.” Tegas Amirudin mengarahkan dengan suara tertahan kerana tidak senang
dengan kehadiran pensyarah muda itu dengan tiba-tiba.
Fathiyah menghadiahkan jelingan
tajam kepada Amirudin sebelum senyuman manis yang dibuat-buat pula kepada
lelaki berkemeja hijau muda itu. “Er.. Doctor,
saya balik dulu. Appointment kita
esokkan? Esok saya datang jumpa doc. Bye!” Ucapnya sebelum terus sahaja
meloloskan diri ke dalam kereta.
“Sorry doc. Assalamulaikum.” Amirudin berbahasa sebelum dia terus
mengambil tempat pemandu. Enjin kereta dihidupkan. Tanpa menghiraukan wajah
Kamarulzaman yang masih terpinga-pinga, kereta dipecut keluar dari kawasan
parkir.
“Aku cakap elok-elok kau tak nak
dengar! Kau memang suka aku paksa-paksa kau kan.” Omelnya sambil melihat bayang
pensyarah muda tadi semakin mengecil dalam cermin pandang belakangnya.
Fathiyah menjuihkan bibir dengan
pandangan mata ditalakan ke luar tingkap. Masam kelat wajahnya saat itu. Terpaksa
dia menurut kata-kata Amirudin kerana tidak mahu penyelianya tahu apa yang
sedang berlaku.
“Aku nak hantar balik pun susah!
Mengalahkan macam orang kena paksa kahwin!” Amirudin masih lagi tidak henti
membebel.
Fathiyah menoleh. “Kau jangan
sebut pasal kahwin or segala tok nenek kahwin! Aku tak nak
dengar! Nak sangat hantar aku balik kan? Drive
ajelah elok-elok! Tak payah nak membebel mak nenek!” Hamburnya geram. Sakit
hati mendengar perkataan yang bersangkut paut dengan kisah lalu.
Giliran Amirudin pula menjuihkan
bibir. Sengaja dia menambah kelajuan kereta Toyota Vios miliknya walaupun jalan
yang dilalui sedikit sesak. Banyak kereta pada lewat petang begitu. “Macam
manalah aku boleh suka dengan perempuan macam kau ni.” Ucapnya perlahan namun
masih sampai di pendengaran Fathiyah.
“Excuse me? Kau suka aku lagi? Hahaha.. Kelakar.” Fathiyah pura-pura
gelak walaupun ada getaran halus muncul dari celah hatinya.
“Suka akulah nak suka kau ke tak.
Bukan aku usik kau pun.” Selamba Amirudin menjawab akan hakikat hatinya selama
ini.
“Erk? Whatever! Ada aku kisah! Tapi kau jangan haraplah aku nak suka kau.
Memang taklah!” Jawab Fathiyah pura-pura yakin. Padahal hatinya kian bergetar
hebat.
“Ada aku suruh kau suka aku ke?
Takda kan? So, janganlah perasan.”
Amirudin tidak mahu mengalah.
Fathiyah mencebikkan bibir.
“Macamlah aku terhegeh-hegeh nakkan kau. Tak hingin aku budak repeat macam kau.” Perlahan sahaja
bibirnya menjawab. Namun cukup jelas pula di pendengaran lelaki itu.
Amirudin menarik senyum tepi.
Hakikat yang terpaksa ditelan walaupun terasa pahit. “Kau jangan risaulah
Tiya.. Aku suka kau, takkan sampai aku nak nikah dengan kau. Aku tahu aku tak
layak untuk kau. Ada ramai lagi lelaki baik dekat luar tu untuk kau.” Balasnya
lebih mengendur berbanding tadi.
Fathiyah tidak membalas. Dia pura-pura
tidak dengar walaupun hatinya mula keliru dengan apa yang terucap. Tidak faham
kenapa perlu adanya cinta di hati lelaki itu memandangkan tiada penyatuan di
penghujungnya.
“Seminggu ni aku yang akan ambik jemput kau dari rumah. Apa-apa hal
call aje aku.” Suara garau Amirudin
memecah sepi antara mereka membuatkan Fathiyah laju menoleh ke sisi.
“Apasal pulak? Kau ingat aku dah takda kaki nak pergi balik sendiri
ke?” Fathiyah kembali tidak senang hati.
“Kau ni kalau tak menjawab tak
boleh ya? Aku cakap tu ikut ajelah!” Amirudin kembali meninggi suara.
Kesabarannya tercalar dek mulut Fathiya yang memang kuat menjawab.
Fathiyah mencebik. Wajah
dipalingkan ke sisi. Sakit hati! Tidak menyangka hidupnya masih berkaitan
dengan lelaki itu walaupun hubungan mereka sudah lama berakhir. “Kau nak bawak aku ke mana pulak ni? Kata nak hantar aku balik?” Dingin dia bersuara apabila
Amirudin memperlahankan kereta saat tiba di satu persimpangan.
“Kau tak nampak tu apa?” Balas
Amirudin sinis.
Fathiyah memandang ke arah yang dimaksudkan.
Matanya membulat. Terasa seperti ada orang mengetuk kepalanya saat mata
terpandang akan sebuah masjid yang tersergam indah. Terlupa yang waktu itu
sudah pun masuk waktu maghrib.
“Lain kali jangan nak fikir jahat
aku aje.” Selamba Amirudin menyindir sebelum memakirkan kereta di tempat yang
disediakan.
Fathiyah tetap berlagak tidak
bersalah.
“Kau boleh solat ke tak? Kalau
tak, aku tak matikan enjin ni.” Ujar Amirudin lagi sebaik menolak daun pintu.
“Tak.” Ringkas Fathiyah menjawab
dengan wajah yang mula terasa kebas. Tidak terpandang wajah Amirudin saat itu.
“Jaga kereta aku baik-baik. Kunci
pintu. Risau pulak ada hantu masuk
usik kau nanti.” Sempat Amirudin mahu mengusik sebelum keluar. Sengaja mahu
menambah sakit hati gadis itu dan ingin meraikan kemenangan di pihaknya.
******
Puas dia memusingkan tubuh untuk
melelapkan mata. Namun tetap juga gagal. Kini mata yang layu terasa segar.
Kipas siling yang berputar ligat di siling dipandang kosong. “Kenapalah aku
jumpa kau..” Keluhan terlepas dari bibirnya apabila mengingati apa yang berlaku
tadi. Mata dipejamkan untuk cuba lena. Namun hasratnya terganggu apabila telinga
dapat menangkap bunyi getaran.
Bersama rengusan, dia terus menyambar
telefon bimbitnya dari atas meja sisi katil. “Siapa pulak yang call aku
malam-malam buta ni.” Bebelnya sebaik melihat sebaris nombor tidak bertuan di
skrin iPhone 4s miliknya. Tiada hati mahu menjawab, dibiarkan panggilan itu
terputus sendiri. Dan apabila sekali lagi telefon bimbitnya kembali
mengeluarkan getaran, dia merengus geram. Gajet itu terus dilekapkan ke
telinga.
“Siapa ni?” Kasar dia menyoal
kerana tidak suka orang yang tidak dikenali menghubunginya lewat malam begitu.
“Aku dah agak dah kau tak boleh
tidur punya.” Suara garau menyapa diiringi tawa menyebabkan hatinya mula
mendidih. Darah panas mencanak ke kepala. Talian terus diputuskan. Walaupun nombor
tidak bertuan, dia cukup kenal dengan suara garau menyakitkan hati itu.
Terkumat-kamit mulutnya memarahi. Tidak
sampai seminit, gajet yang masih dipegang mengeluarkan bunyi semula. Tetapi
kali ini SMS diterima.
+ Sorry la kacau kau
malam-malam ni. Aku tak boleh tidur la..
Bibir diketap. Serentak itu laju
dia membalas.
+
Ada aku kisah kau tak boleh tidur?
Ayat menyakitkan hati.
+ Eleh.. Tak kisah konon. Kalau
tak kisah yang kau balas mesej aku kenapa? :P
Sekali lagi bibirnya diketap
rapat. Nafas keras dilepaskan sebelum tubuhnya direbahkan kasar. Mengambil
keputusan untuk tidak lagi membalas. Hatinya benar-benar geram dengan Amirudin
yang sengaja menduga kesabarannya. Mata dipejamkan rapat. Cuba untuk melelapkan
mata. Namun ketenangannya tidak berlanjutan kerana dia telefon bimbitnya masih
lagi berbunyi dan dia sudah dapat meneka siapa yang mengganggunya lagi saat
itu.
+ Takkan sentap kut.. Relax
la.. Nak gurau pun tak boleh. Kita pun dah lama tak berbualkan.. Kau tak rindu
dekat aku ke? :P
Rengusan dilepaskan lagi selepas
membaca SMS yang dihantar oleh Amirudin.
+
Kau memang tak faham bahasakan?! Kau lupa apa aku cakap dulu. Kita dah takda
apa-apa la. Aku tak nak ada apa-apa hubungan dengan kau lagi! Kau tak faham ke?
Dia membalas geram.
+ Aku faham, aku ingat. Aku
takkan lupa sampai aku mati. Tapi tak boleh ke kalau kita jadi kawan macam
dulu-dulu? Aku tahu kau tak pernah nak maafkan apa yang aku dah buat pada kau
sebelum ni. Aku faham tu. Tapi boleh tak kalau kau lupakan hal tu.. Aku janji
aku nak kawan aje dengan kau. Dekat dua tahun aku hidup dalam dendam kau Tiya..
Aku dah penat.. Please Tiya.. Aku janji takkan ada rasa cinta lagi dalam hati
kau untuk aku.. Aku cuma mintak kita boleh jadi kawan.
Ada air hangat mula bertakung di
tubir mata saat membaca ayat panjang yang terpapar di skrin. Dalam kekeliruan
akan susunan ayat yang dibaca, hatinya tetap digamit rasa sedih. Sesungguhnya
dia tidak dapat menafikan apa yang tersirat di hatinya. Masih ada sisa kasih
yang sukar disingkirkan buat lelaki itu. Cuma dia sahaja yang sedaya upaya menafikannya.
+
Semua ni takkan jadi kalau kau tak batalkan pertunangan kita dulu..
Itu sahaja yang mampu dibalas
sekali gus meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada lelaki itu. Hingga ke hari
ini dia tidak mampu menerima alasan yang diberi oleh Amirudin demi membatalkan
majlis pertunangan mereka dahulu.
+ Aku tahu aku salah Tiya. Tapi
aku nak kau tahu, aku buat semua tu bersebab. Dan mungkin kita memang takda
jodoh.
+
Kalau kau dah tahu kita takda jodoh, apa lagi yang kau nak dari aku?! Kenapa
kau cuba lagi nak berkawan dengan aku?! Kau tahu tak, hati aku sakit bila
nampak muka kau.. Pleaselah Shah. Aku
dah tak nak ada kena mengena dengan kau lagi..
Dia membalas dalam esakan yang
mula kedengaran sebelum telefon bimbitnya terus dimatikan. Tidak lagi aktif.
Dia tidak mahu membaca ayat-ayat yang mampu menggoyahkan tembok kebencian yang
telah kukuh ditanamkan di dalam hatinya selama ini.
………………
“Kau ni biar betul bro. Dah tengah malam ni tahu tak? Kalau
jiran-jiran dia nampak macam mana? Tak pasal-pasal
kita ke dalam nanti. Kau nak muka kita keluar front page semua paper
esok?” Anuar ragu-ragu dengan apa yang ingin dilakukan oleh Amirudin.
“Biarlah.. Bukan luak pun. Paling
teruk pun jadi glemer sekejap. Dua
pemain hoki kebangsaan ditangkap kerana mengendap bekas kekasih.” Amirudin
tersengih nakal dengan mata meliar ke sekeliling memerhati kawasan perumahan
yang sudah pun sunyi dari keriuhan. Yakin semuanya sudah lena diulit mimpi
memandangkan jam menginjak dua pagi.
“Hotak kau! Kau nak kita kena singkir dari team ke apa?” Anuar meluahkan kerisauan. Lebih setengah jam mereka
berdiri di hadapan pintu pagar itu.
“Alah! Dari elok-elok orang tak
tahu kita dekat sini, silap-silap wartawan pun datang kalau dengar kau membebel
dari tadi.” Tingkah Amirudin dengan suara yang tertahan.
“Takdalah.. Dah tentu-tentu kau
nak hantar dia pergi kelas esok, yang kau susah-susah nak skodeng malam-malam buta ni kenapa?” Anuar merendahkan sedikit nada
suaranya. Risau akan kata-kata sahabatnya itu tadi.
“Aku ni pegang amanah orang Nuar..
Kalau jadi apa-apa pada dia, aku jugak
yang kena marah dengan si Amir tu nanti. Tu belum lagi kalau si Amri tu..
Mahunya dia kurung aku dalam sangkar si Gina tu..” Amirudin masih tetap dengan
rancangannya dia. Dia mahu melihat sendiri keadaan Fathiyah kerana sudah
berkali-kali dia menghubungi gadis itu, talian langsung tidak dapat
disambungkan.
Anuar tergelak. “Lantak kaulah.
Aku nak tunggu dalam kereta. Aku tak nak masuk campur. Apa-apa jadi, kau
tanggung sendiri. Aku tak nak terlibat.” Dia beredar dari pintu pagar rumah
teres dua tingkat itu untuk kembali ke kereta di seberang jalan.
“Nuar!” Amirudin ketap bibir.
Geram melihat sahabatnya hanya melambaikan tangan sebelum meloloskan diri dalam
kereta. “Hampeh! Aku suruh tunggu
sini, dia blah pulak!” Gerutunya sendiri kerana mula ragu-ragu apa yang ingin
dilakukan. Sememangnya dia punya kunci pendua rumah teres itu kerana dia pernah
menyewa salah sebuah bilik di situ sebelum ini.
Telefon bimbit dikeluarkan. Dia mahu
cuba sekali lagi menghubungi Fathiyah sebelum bertindak. Beberapa saat menanti,
talian masih tetap sama. Rumah yang gelap-gelita itu dipandang lagi. “Berani
betul perempuan ni tidur dalam gelap.” Omelnya sendiri apabila perasan memang
tiada satu lampu pun yang terpasang. Perasaan risau terhadap gadis itu kembali
menjentik hati.
Telefon bimbit yang masih
dipegang tiba-tiba mengeluarkan getaran. Nama Anuar terpampang membuatkan dia
menoleh ke arah kereta. Talian disambungkan. “Kenapa?” Dia mendahului.
“Jomlah kita balik. Aku tak sedap
hati la. Kalau tiba-tiba pencengah maksiat datang macam mana?”
“Mulut kau memang mintak kayu hoki aku kan.” Dia memandang
wajah sahabatnya yang sedang tersengih-sengih.
“Kau jangan cakap aku tak
ingatkan.”
“Kau ni bukan nak support aku. Lagi nak doakan aku yang
bukan-bukan.” Balasnya dengan suara tertahan.
“Iyalah-iyalah. Aku support kau la ni. Kalau tak support, takdanya aku nak datang buang
masa dekat sini. Cepat sikit buat kerja gila kau tu. Aku dah mengantuk ni.
Kalau aku tertidur, pandai-pandailah kau.” Balas suara garau sahabatnya sebelum
talian diputuskan. Ibu jari dinaikkan menunjuk ke arah sahabatnya di seberang
jalan. Bibir mengoyak senyum yakin. Segugus kunci dikeluarkan.
Sebaik sahaja pintu utama
terbuka, dia terus sahaja melangkah masuk. Tanpa mahu menghidupkan suis lampu, kakinya
terus menginjak tangga. Dengan bantuan samar cahaya lampu jalan, dia masih
dapat melihat tiga buah pintu yang bertutup rapat. Cuba meneka di mana Fathiyah
berada. Kaki diatur ke pintu yang paling hujung kerana teringat akan bilik yang
pernah didiami lebih setahun itu.
Pintu yang tidak berkunci ditolak.
Suis lampu dicari. Gerakannya kaku saat terlihat sekujur tubuh yang senang
lena. Liur ditelan. Aurat yang tidak sewajarnya menjadi tatapan, kini terlihat.
Lambat-lambat kakinya melangkah merapati katil. Tidak senang melihat panorama
itu. Dengan hati-hati, kain selimut di hujung kaki ditarik untuk menutupi tubuh
yang agak terdedah. Wajah Fathiyah yang sedang lena dipandang dalam-dalam.
Terusik sedikit hatinya melihat ada sisa air jernih di hujung mata gadis itu. Tanpa
dipaksa, hujung jarinya menyapu lembut wajah mulus itu.
Bunyi ketukan tiba-tiba di pintu
utama membuatkan dia terkejut. Tubuh segera dijarakkan apabila Fathiyah mula
bergerak. Bunyi ketukan kembali kedengaran malah kini bertambah kuat menyebabkan
terus sahaja dia melangkah keluar dari bilik kerana yakin Anuar yang
memanggilnya. Dan di saat pintu utama dibuka, wajah Anuar terpampang bersama
beberapa orang lelaki yang tidak dikenali.
“Nuar..”
Terdengar keluhan berat terlepas
di bibir sahabatnya itu.
Manakala Fathiyah yang terpisat-pisat
bangun terus sahaja turun dari katil apabila terdengar suara orang sedang
berbual-bual. Namun langkahnya mati di muka pintu yang terbuka apabila mula
terasa pelik. Keningnya hampir bertaut. Cuba mengingati kembali apa yang
berlaku sebelum dia terlena tadi. Biliknya terang benderang dengan pintu bilik
luas terbuka. “Bila masa aku…” Ayatnya mati di situ apabila suara asing semakin
jelas di pendengarannya. Mata terus terhala ke arah tangga yang terang. “Angah
dah balik ke?” Omelnya sendiri sebelum dia menyambung langkah.
“Angah…” Langkahnya mati di
tengah tangga saat mata terpandang akan wajah-wajah yang tidak dikenali sebelum
akhir sekali terhenti pada seorang lelaki yang cukup dikenali sedang duduk menunduk di sofa.