AWRA_PUASA RAYA
“Kau punya fasal la ni Angah! Aku
nak drive, kau tak bagi. Sekarang
macam mana? Kalau Abang Faiq tahu, memang masak Angah kena marah dengan dia!”
Bebel Afza sejak tadi apabila kereta Viva yang dikongsi hak milik bersama
kembarnya, terlanggar tembok batu di hadapan kedai runcit Pakcik Idris.
Awra gigit bibir. Mata dihalakan
ke arah lampu dan bumper sebelah
kanan yang pecah gara-gara dia ingin membuat pusingan. Terlalu yakin dengan
tidak perlu mengundurkan kereta terlebih dahulu menyebabkan pelanggaran kecil
itu berlaku.
“Sekarang ni macam mana!” Wajah
Afza sudah berubah kelat.
“Macam mana apa? Balik ajelah.
Bukan kereta ni tak boleh jalan” jawab Awra selamba.
Afza ketap bibir.
“Angah ni memang tau! Tahu tadi,
Jaja tak bagi Angah drive! Dah la
Angah dah lama tak drive! Tak
fasal-fasal aje nak keluar duit! Dah la lagi dua hari nak raya..” Rungut Afza
lagi. Geram.
“Manalah aku tahu nak jadi semua
ni. Kalau aku tahu, aku tak drive
la.” Awra tidak mahu mengalah.
“Ni sebab, Angah tu derhaka cakap
Abang Faiq. Angah lupa eyh, apa yang
dia pesan lepas Angah miscarriage
dulu?” Afza jongket kening sebelah.
Awra melepaskan keluhan berat.
Dia sedar itu. Dan dalam kepalanya kini, sarat memikirkan bagaimana mahu
memastikan yang suaminya tidak mengetahui akan insiden tersebut. Kerana dia
yakin, Faiq pasti akan marah dan kecewa dengan apa yang dilakukan.
Memang sejak dia kemalangan
dahulu, dia tidak lagi diizinkan oleh Faiq untuk memandu. Hampir tiga tahun
berlalu dan sejak itu dia tidak lagi memandu. Ke mana sahaja dia ingin pergi,
hanya Faiq yang akan jadi pemandunya. Dan jika lelaki itu sibuk, khidmat teksi
yang digunakan. Itu pun, hanya dengan Pakcik Saad. Sahabat lama bapa mentuanya.
“Esok Abang Faiq balik, nampak
kereta ni, kita nak jawab apa ni? Dah la nak hantar bengkel, mana ada bengkel
yang buka malam-malam buta ni.” Ujar Afza lagi.
Gara-gara ingin membeli tepung
untuk membuat kek pada malam itu, menyebabkan mereka keluar juga walaupun sudah
ditegah oleh kakak ipar dan kembarnya. Dan kakaknya itu pula, jelas teruja
ingin memandu dengan ketiadaan abang iparnya yang hanya akan mula bercuti esok.
“Awra.” Isteri Pakcik Idris,
Makcik Dara keluar dari kedai memandangkan waktu begitu, Pakcik Idris masih
belum pulang dari surau, bersolat terawih.
“Makcik..” Awra menalakan mata ke
arah wanita yang hampir sebaya dengan ibunya itu.
“Makcik rasa, elok kamu bawak balik dulu. Kereta boleh gerak
kan? Cuma lampu yang sebelah bawah tu aje yang tak hidup. Lampu utama, hidup
tu.” usul Makcik Dara.
“Tapi makcik, tembok ni macam
mana? Pakcik Idris mesti marah..” balas Awra serba salah.
“Ish! Tembok yang disibukkannya.
Nasib kamu dengan Jaja tak ada apa-apa. Tembok tu, tak payah risau. Nanti
Makcik Dara cakap dengan dia. Sikit aje tu. Kereta kamu tu yang teruk sikit.”
Awra dan Afza saling berpandangan
seketika sebelum masing-masing melepaskan keluhan berat.
………….
Faiq menggeleng beberapa kali
bersama renungan tajam dilemparkan sebaik tubuh isterinya keluar dari perut
kereta. Melihat keadaan kereta yang sedikit pelik di ruang matanya, hati
dilanda debar. Debar yang ditanggung sepanjang hari itu menyebabkan dia tekad
untuk terus pulang ke kampung malam itu juga sebaik habis bekerja. Dan dia
tidak menyangka, sebaik tiba tadi bayang isterinya tidak kelihatan. Kini, dia
baru faham kenapa hatinya tidak begitu tenang satu hari itu. Rupa-rupanya ada
sesuatu yang akan berlaku tanpa pengetahuannya.
“Er.. abang.” Wajah Awra sedikit
pucat. Dia benar-benar terkejut dengan kehadiran lelaki itu. Setahunya, Faiq
hanya akan tiba esok.
“Pergi mana?” Tidak bernada
soalan yang terlepas di bibir Faiq. Sungguh hatinya terusik saat itu apabila si
isteri ingkar dengan perintahnya sebelum ini.
“Er.. Awra pergi beli tepung nak
buat..” Belum pun habis Awra membalas, Faiq sudah memusingkan tubuh dan terus
berlalu masuk ke dalam rumah.
Afza yang menjadi pemerhati sejak
tadi, tidak berani mencelah. Dia dapat membaca akan riak wajah abang iparnya itu sebentar tadi.
“Jaja..” Awra memandang wajah
adiknya.
“Sorry kak. Jaja tak nak masuk campur. Tadi pun, Jaja dah cakap.
Tapi Angah yang degil.” balas Afza serba salah. Tidak berani ikut campur jika
abang iparnya marah.
Awra melepaskan nafas berat
sebelum melangkah perlahan ke dalam rumah. Tiba di ruang tamu, anak tunggalnya
sudah pun lena di sisi kakak iparnya. Faham akan isyarat yang diberi oleh Athirah,
dia berlalu ke dalam bilik.
“Dah lama buat kerja macam ni?”
Soal Faiq sebaik dia merapatkan daun pintu. Terkebil-kebil dia di situ
memandang wajah tegang suaminya bercampur keletihan. Dia tahu lelaki itu
penat-penat memandu dari tempat kerja dan terus pulang ke kampungnya.
“Er.. tak.”
“Tak? Boleh percaya ke?” Ada
senyuman sinis terukir di bibir Faiq. Kecewa benar hatinya kala itu apabila
Awra ingkar dengan larangannya hampir tiga tahun lalu.
“Er.. awak..” Awra memberanikan
diri untuk mendekati Faiq di birai katil. Namun baru sahaja tangan ingin
mencapai lengan lelaki itu, Faiq menjarakkan diri.
“Awak lupa agaknya apa yang dah
jadi pada awak dulu..” Cukup perlahan Faiq meluahkannya. Walaupun hampir tiga
tahun kemalangan itu berlaku, ia masih segar di ingatan. Seperti baru sahaja
baru berlaku semalam. Walaupun mereka kehilangan zuriat keduanya, namun dia
tetap bersyukur kerana Allah masih memberi peluang lagi agar dia dapat hidup
bersama dengan suri hatinya itu. Cuma, hingga kini.. Rezeki belum lagi berpihak
kepada mereka untuk memiliki pengganti.
Awra mengeluh perlahan. Sisi
wajah suaminya dipandang. Dia tidak lupa itu dan tidak akan pernah lupa apa
yang berlaku dulu.
“Awak..” Didekati tubuh Faiq.
Lengan lelaki itu dipaut lembut dan diusap perlahan apabila tiada penolakan.
Cuba meredakan kemarahan lelaki itu.
“Awak suka agaknya, kalau saya
selalu risaukan awak, sampai saya tak boleh nak buat kerja..” Luah Faiq kecewa.
Sungguh hatinya tidak tenang sepanjang hari itu.
“Awak, bukan macam tu..” Dielus
lagi lengan Faiq.
“Habis tu?” Tingkah Faiq
tertahan. Tidak mahu suaranya didengari oleh ahli keluarga yang lain.
“Awak.. Sorry.. saya tahu, saya salah. Berdosa dengan awak. Tapi saya tak
ada apa-apa kan?”
“Tak ada apa-apa? Kalau ada
apa-apa jadi, macam mana tadi? Tu, kereta Jaja tu. Kenapa pecah depan kereta tu?”
Bidas Faiq geram.
Awra menghela nafas perlahan. Kelu
lidah untuk mengakui kesalahan sendiri.
Faiq menoleh sebelum rengusan
terlepas. Dia terus bingkas. Bergerak ke tempat penyidai untuk mengambil tuala.
“Lepas ni, ikut suka awaklah nak
buat apa Awra. Saya dah tak nak larang. Tapi lepas ni, tolong jaga diri
baik-baik. Saya risau, kalau saya jauh, saya tak boleh nak tolong awak nanti..”
Terluah kekesalan di bibirnya sebelum berlalu keluar.
Awra yang mendiamkan diri pula,
terkedu sendiri. Bayang suaminya dipandang tanpa berkelip. “Kalau jauh..”
Sedikit bergetar bibirnya mengucapkan dua perkataan yang meniti bibir suaminya sebentar tadi.
…………….
“Awra, kamu tak kejutkan Faiq ke?
Dah pukul lima ni..” Tegur Faridah apabila anak keduanya itu terus sahaja
melabuhkan duduk di meja makan sebaik membantu menghidangkan makanan sahur
mereka.
Awra serba salah. Melihat akan
renungan kakak ipar dan adik-beradiknya yang lain, dia kembali angkat punggung.
Terus sahaja bilik beradu di tuju. Bibir menguntum senyum sebaik melihat
panorama di atas katil. Enak suaminya tidur sambil memeluk Aqiff yang berusia
empat tahun.
Apabila terkenang kembali apa yang
berlaku sebelum mereka tidur tadi, senyumannya mengendur. Faiq tidak semesra
mana. Jika sebelum tidur sewajarnya dia mendapat habuan di dahi dan kedua-dua
belah pipi, dia kempunan ciuman kasih sayang itu malam tadi menyebabkan
tidurnya tidak begitu lena. Sungguh dia susah hati melihat kedinginan lelaki
itu.
Perlahan-lahan dia melabuhkan
duduk di birai katil. Bahu Faiq disentuh perlahan.
“Awak..” Panggilnya lembut demi
tidak mahu mengejutkan si kecilnya.
Faiq tidak berkutik.
“Awak..” Panggil Awra lagi.
Perlahan-lahan Faiq bergerak
sebelum dia menoleh. Matanya digosok beberapa kali.
“Ada apa?” Soalnya dalam serak.
“Makan sahur.” Awra cuba
memaniskan senyum.
“Kan saya dah pesan tadi tak
payah kejutkan? Kenapa degil sangat ni, sampai arahan mudah tu pun susah nak
ikut?” Rengus Faiq sedikit sinis sebelum dia kembali memejamkan mata. Sengaja
dibatukan hati walaupun yakin akan ada hati yang tergores.
Awra terdiam. Hatinya terusik
kala itu hingga mengundang air hangat di pelupuk mata. Tanpa sebarang kata
lagi, dia terus meninggalkan ruang bilik. Hujung mata diseka.
******
“Awak nak pergi mana? Kan awak
mula cuti hari ni?” Awra bertanya apabila melihat lelaki itu bersiap-siap
seperti ingin pergi ke tempat kerja. Setahunya, suaminya itu sudah memohon cuti
awal memandangkan lusa mereka akan menyambut hari raya.
“Siapa kata saya cuti?” Tidak
bernada Faiq membalas. Sengaja tidak dihiraukan renungan isterinya dari
pantulan cermin. Bukan dia tidak perasan wajah itu tidak semanis biasa dengan
kedinginannya.
“Awak..” Awra meraih lengan Faiq yang
berdiri di hadapan cermin. Rasa bersalah menggunung melihat lelaki itu
berterusan dingin begitu. Susah hatinya. Sepanjang bersama, belum pernah Faiq
merajuk hingga begitu.
“Ada apa? Saya nak cepat ni?”
Sengaja Faiq menggesa.
Bukan dia ingin ke tempat kerja.
Sebaliknya ingin keluar bersama abang iparnya mencari buluh lemang. Mereka
sudah sepakat ingin memasak lemang tahun itu kerana sejak ketiadaan bapa
mentuanya, mereka hanya membeli yang sudah siap dimasak sahaja.
“Awak.. saya mintak maaf fasal semalam. Saya tahu, saya salah..” lirih Awra
mengucapkannya. Penuh mengharap lelaki itu memaafkan kesalahannya.
“Awak nak sangat drive kereta kan.. Drive la.
Saya dah tak kisah. Saya tahu awak pandai jaga diri kan? Awak buatlah apa yang
awak suka lepas ni..” Balas Faiq selamba. Sengaja mahu mendera perasaan Awra
kerana dia mahu wanita itu tahu, dia benar-benar risau apa yang pernah berlaku
dahulu.
“Awak..” Awra terus sahaja
mendakap tubuh Faiq menyebabkan lelaki itu sedikit terpempan. Tangan yang
sedang melurut rambut, terhenti.
“Awak, saya mintak maaf. Jangan buat saya macam ni.” ucap Awra bersama kehangatan
pelupuk mata. Dia amat risau dengan apa yang terluah di bibir lelaki itu.
Seperti Faiq tidak lagi mahu mengambil berat akan dirinya.
“Saya buat apa? Saya tak buat
apa-apa pun?” Faiq masih mampu mengawal suara. Mahu melihat sejauh mana
kesungguhan wanita itu memujuk kekecewaan hatinya.
Awra mendongak. Mencari sepasang
anak mata suaminya itu.
“Saya tahu, awak marah saya.
Jangan buat saya macam ni awak. Saya janji, lepas ni saya ikut kata awak. Saya
janji.” Penuh yakin dia mengucapkannya dengan rembesan air mata.
“Dekat tiga tahun awak berjanji.
Tapi akhirnya.. awak langgar jugak
janji awak tu kan? Entah-entah, dah lama awak buat macam ni bila saya tak ada.
Siapa tahu kan?” Luah Faiq sinis.
“Tak! Tak! Saya tak pernah buat
awak! Demi Allah saya tak pernah buat! Semalam aje..” Tingkah Awra cepat seraya
mengeratkan pelukan.
“Jangan main dengan nama Allah
Awra.” Faiq bersuara tegas.
“Tak awak.. tak.. percayalah..
saya tak pernah buat sebelum ni..” Awra sudah teresak-esak menangis. “Awak..
saya mintak maaf. Awak jangan buat
saya macam ni.. saya takut awak.. please
awak..” Sayu dia memujuk.
“Kenapa nak takut pulak? Kan best, saya dah bagi kebebasan apa yang awak nak buat?” jawab Faiq
masih mahu menduga kesungguhan hati wanita itu walaupun hatinya sendiri luluh
melihat wajah yang disayangi lencun begitu.
“Tak nak! Saya tak nak!”
Cepat-cepat Awra menggeleng. Muka disembamkan ke dada lelaki itu. Lima tahun
mereka bersama, dia senang dengan kehidupannya. Tidak pernah pun dia merungut
hanya kerana perlu tinggal di rumah menjadi suri rumah sepenuh masa. Makan
pakai sudah cukup terjaga. Lengkap serba-serbi. Tiada yang kurang pun.
“Habis tu, sekarang ni awak nak
apa?”
“Saya nak awak! Saya tak nak yang
lain dah.. Please awak.. tolong
jangan buat saya macam ni.” Sudah berkali-kali bibirnya singgah ke dada lelaki
itu.
Faiq mula menarik senyum segaris.
Lambat-lambat dia membalas pelukan wanita itu. Seerat mungkin.
“Susah hati kan, bila saya buat
tak tahu aje dengan awak?” ucapnya lembut.
Awra yang mulai tenang dalam
pelukan, mengangguk. Akui.
“Macam tu la yang saya rasa bila
setiap kali saya risaukan awak. Kenapa awak susah sangat nak faham yang saya sayangkan
awak sangat hm? Awak ingat, saya suka-suka tak bagi awak drive kereta selama ni? Cukuplah sayang, dengan apa yang pernah
jadi dulu. Nyawa awak, tak ada galang ganti.” Luah Faiq sambil mengelus
belakang tubuh wanita itu. Dia mahu Awra tahu apa yang dilakukan selama ini,
semuanya bersebab.
“Sorry..” Kembali kedengaran esakan halus di dadanya.
“Tolong jangan buat lagi macam tu
sayang. Hati saya tak senang. Nak buat kerja pun tak boleh.” Faiq melekapkan
dua tapak tangannya ke pipi wanita itu. Diseka air mata yang membasahi wajah.
“Tolong jangan buat macam ni
lagi..” ulangnya penuh mengharap.
Awra mengangguk. Ditarik tangan
Faiq dan dibawa ke bibirnya sekilas.
“Ampunkan semua dosa saya..”
ucapnya sayu.
“Semuanya. Dunia akhirat,
insya-Allah sayang.” balas Faiq sebelum kembali menarik tubuh wanita itu dalam
pelukan.
*****
“Pandai ke tu?” usik Awra sebaik
dia meletakkan beras pulut yang sudah direndam dengan air santan di atas
pangkin. Sejak tadi, dia perasan Faiq terkial-kial memasukkan daun pisang ke
dalam batang buluh. Sejam tadi, baru dua batang buluh siap berlapik daun
pisang.
“Tengok tanganlah. Saya dah menuntut
dengan arwah abah dulu.” jawab Faiq tidak mengalah.
“Abah ajar, buat sebatang dalam
setengah jam eyh?” Kening Awra sudah
terangkat-angkat.
“Biar lambat, asal siap.” jawab
Faiq selamba.
Firdaus yang menjadi tukang
menyalakan api kayu untuk membakar sudah tersengih-sengih. Ada kekesalan
terdetik di hati kerana tidak menuntut ilmu membuat lemang dengan abahnya dulu.
“Kalau macam ni, bila nak siap
awak? Tak sempat berbukalah nanti.” Awra terus mencapai buluh lemang dari
tangan suaminya. “Awak tolong isikan beras pulut tu dalam buluh. Biar saya yang
sambung.” ujarnya lagi.
“Ish! Bagilah saya buat sayang.
Kan saya yang dah janji nak buat tahun ni. Siap punya nanti..” Faiq cuba
merebut kembali.
“Tak payahlah. Awak lambat sangat..”
Awra terus sahaja menyambung kerja suaminya tadi.
Faiq tarik muka tidak puas hati.
Rasa tercabar kerana isterinya itu lebih cekap melakukan kerja-kerja tersebut
sedangkan hampir ke semua peniaga lemang adalah lelaki. Dan lelaki juga yang
melakukan semuanya hingga lemang masak.
Awra menguntum senyum melihat
wajah cemberut Faiq.
“Janganlah buat muka macam tu.
Saya bukan tak bagi awak buat. Saya cuma nak semua cepat siap. Kan proses masak
lemang berjam-jam. Sekarang dah pukul berapa awak. Nanti lambat siap.” Lembut
Awra memujuk sambil tangannya lincah memasukkan gulungan daun pisang muda ke
dalam buluh.
“Babah!” Si kecil Aqiff datang
bersama kelongsong ketupat berbentuk kerbau.
“Babah, buffalo.” Ditayangkan kelongsong tersebut di hadapan Faiq.
“Siapa buat ni?” Soalnya pula.
Bentuk kelongsong tersebut begitu menarik di matanya. Dan pernah dilihat
sebelum ini.
“Tengok tanganlah..” Awra
mencelah bersama sengihan.
Si kecil Aqiff turut
tersengih-sengih.
“Ibu buat? Bukan nenek?” Sudah
dijangkakan lebih awal. Tahu yang isterinya pakar dalam menganyam kelongsong
ketupat.
“Ibu.” Aqiff memeluk tubuh Awra
erat. “My iron lady.” Omel si kecil
itu lagi.
Faiq mencebik. “Habis tu, babah
apa?” Sengaja dia menduga si kecil.
“Babah busy man. Hari-hari Aqiff kawan dengan ibu.” Petah si kecil itu
menjawab menyebabkan Firdaus dan Awra melepaskan tawa.
Sekali lagi Faiq mencebik.
Terpaksa menelan gelaran itu kerana sememangnya dia seorang yang amat sibuk
hinggakan masa bersama keluarga begitu terhad. Sedikit sebanyak, terkesan juga di
hati.
Dia masih lagi bertugas sebagai
eksekutif chef dan pada masa yang sama tetap menguruskan restoran. Malah kini,
dia sudah menambah dua buah restoran lagi di tempat lain di samping tetap
menerima undangan sebagai selebriti chef yang kian dikenali ramai. Disebabkan
itu, anak tunggalnya lebih rapat dengan isterinya.
……………
Punggung dilabuhkan di sisi
suaminya di atas tangga. Dia perasan sejak tadi Faiq menjadi pemerhati setia di
situ. Memerhati Aqiff bersama dua anak abangnya bermain bunga api di tengah
halaman. Afza dan Alya juga tidak ketinggalan sama.
“Awak..” Dipaut lengan tegap
lelaki itu lembut. Dia perasan suaminya menjadi sedikit pendiam selepas perbualan
bersama anak tunggal mereka siang tadi.
“Awak banyak diam dari tadi..
kenapa?” Lembut dia bertanya.
Faiq menoleh. Wajah isterinya
ditatap sayang. Jemari halus yang memaut lengannya disulami kemas dengan
jemarinya.
“Terima kasih sebab dah
susah-susah jaga Aqiff, jaga makan pakai saya selama ni..” ucap Faiq dalam nada
yang sama.
Awra berkerut. “Kenapa cakap
macam tu? Kan memang dah jadi tugas wajib saya.”
“Saya kan busy man. Tak sempat nak tolong awak jaga Aqiff selama ni. Semua
saya serahkan pada awak.” Dipaut bahu isterinya erat.
Awra menarik senyum manis.
Disandarkan kepala ke bahu lelaki itu.
“Awak dah susah-susah kerja, cari
rezeki untuk jaga saya dengan Aqiff selama ni. Apalah sangat dengan apa yang
saya dah buat.. Semua untuk keluarga kita, awak..” Dilingkarkan pula tangan ke
pinggang lelaki itu erat.
Faiq senyum segaris. Didaratkan
bibirnya sekilas ke ubun-ubun Awra yang terdedah.
“Agaknya, sebab saya terlalu
sibuk sebab tu Dia tak bagi kita rezeki anak lagi kan..” Lirih dia
mengucapkannya. Sememangnya dia tahu akan keinginan isterinya yang satu itu
selepas kemalangan lalu. Terlalu mengharapkan kehadiran orang baru. Juga
sepertinya.
Awra mengangkat wajah. Sepasang
mata suaminya itu dicari.
“Dia tak bagi rezeki tu, tapi Dia
ganti dengan rezeki lain kan?” ucapnya bersama senyuman manis.
“Memanglah.. tapi, sayang tak
teringin ke? Abang Firdaus masuk tiga.” Faiq ramas lembut jemari halus Awra
dalam genggaman.
Awra senyum lagi sebelum dia
mendekatkan bibirnya ke tepi telinga lelaki itu.
“Usaha tangga kejayaan.” bisiknya
bersama lirikan nakal.
Faiq tersenyum. Dicuit hujung
hidung Awra.
“Saya rasa, badan saya dah tak fit la. Sebab tu la kut.. Kurang usaha
dan segala-galanya kurang. Lepas ni, nak kena cari suppleiment la..” ucapnya
pula bersama sengihan nakal juga.
“Kurang fit apa? Bukan awak selalu pergi gym ke?” Awra kerut dahi.
“Body aje fit, tapi
dalaman tak berapa nak fit sayang.”
Lemah Faiq menjawab bersama helaan panjang.
“Ia ke?” Tanpa segan Awra
memandang atas bawah tubuh suaminya yang berbaju-t, berkain pelekat itu.
“Bukan tu sayang.. yang dalam ni.”
Faiq membawa jemari Awra dan dilekapkan ke dada kirinya.
“Maksud?”
“Yang ni perlukan supplement lebih dari segala-galanya
sayang..” Penuh makna diluahkan. Dia sedar amalannya selama ini tidak
sesempurna mana hanya kerana terlalu sibuk dengan urusan dunia demi memastikan
kehidupan anak dan isterinya terjamin.
Awra senyum.
“Awak tu, kuat sangat kerja..”
Diusap lembut lengan Faiq.
“Saya tak nak, anak isteri saya
susah..”
“Tapi, hati saya lagi susah bila
awak selalu tak ada dengan saya, Aqiff..”
balas Awra juga penuh makna juga. Berharap agar suaminya itu faham. Hidup ini
bukan untuk mencari harta dunia semata-mata dan duit bukan penjamin
kebahagiaan.
Faiq hela nafas panjang. Sedar
akan kealpaannya selama ini.
“Sorry sayang..” ucapnya perlahan. Dibawa tubuh Awra dalam pelukan.
Awra geleng kepala. Tiada sebab
Faiq perlu meminta maaf.
“Awak tahu kan, awaklah tempat
saya dengan Aqiff bergantung selama ni. Saya reda awak.. saya tahu, awak kerja
kuat sebab nak tanggung saya dengan Aqiff..terima kasih..” lirih dia meluahkan
seraya membalas pelukan lelaki itu.
Tidak terbayang andai lelaki itu pergi
dari hidupnya. Dan dia yang bergantung harap, hanya mampu terus berdoa agar rumah
tangga yang dibina terus kekal hingga ke syurga-Nya.
Sepi seketika.
“Sayang..”
“Hmm..” Awra angkat wajah.
“Raya tahun ni, sayang nak hadiah
apa?” Faiq elus bahu isterinya itu mesra.
Awra menarik senyum lebar.
Seperti tahun-tahun sudah, Faiq pasti akan menghadiahkan sesuatu kepadanya
walaupun tidak pernah diminta.
“Selalu kan, awak yang beli.
Tahun ni, tanya pulak?” Kening sebelah dijongketkan.
“Dah tak tahu nak bagi apa
sayang. Tahun ni, sayang pilihlah pulak. Anything, insya-Allah saya cuba adakan
hm?” Balas Faiq senang.
“Anything?” Berkali-kali pula
Awra angkat kening menyebabkan Faiq menggeleng. Tahu benar dengan perangai
isterinya yang tidak pernah berubah setiap kali dia membuat tawaran.
“Betul ni?” sambungnya inginkan
kepastian.
“Ia sayang..”
“Erm… yang kali ni, awak tak
payah keluar duit pun. Saya cuma nak restu awak, as my lovely husband.. Dah tak
ada orang lain yang boleh buat, kecuali awak aje..” Hujung jarinya bermain di
lengan lelaki itu. Datang idea mahu mengusik.
“Apa dia?” Wajah Faiq mula
berkerut.
“Ermm.. Saya nak drive semula..” Awra memandang tepat
sepasang mata suaminya. Sengaja mahu melihat reaksi Faiq. Namun lelaki itu
segera melarikan wajah sebaik dia habis menuturkan kata.
Faiq menghela nafas panjang. Sumpah!
Hingga ke hari itu, dia tidak mungkin akan mengizinkan isterinya memandu lagi.
“Awak..” Awra sembunyi senyum.
Sudah dijangka reaksi suaminya.
“Kenapa awak tak nak faham saya
Awra. Susah sangat ke permintaan saya yang satu tu..” keluh Faiq perlahan.
“Awak..” Ditarik hujung dagu
Faiq. Senyuman lebar dilepaskan. Terharu dengan keresahan yang terpamer di
wajah lelaki itu.
“Sorry.. Saya gurau ajelah. Saya tahu, awak takkan bagi.” Pujuknya
cepat.
“Dah tahu, lagi nak mintak. Mintaklah benda lain.” Faiq pura-pura merajuk pula.
“Baik.. Kalau macam tu, saya nak mintak adik for Aqiff?” Awra angkat
kening lagi. Dan sengaja mahu mengusik lagi.
“Ewah! Mintak baby macam boleh beli selonggok dua
ringgit dekat pasar borong sayang ni.” Faiq menjegilkan mata menyebabkan
terhambur tawa Awra. “Kalau boleh beli, sekarang jugak saya beli selonggok
sayang.” Ditarik hujung hidung Awra. Geram. Ada sahaja usikan wanita itu yang ingin
menceriakan hari-harinya.
“Manalah tahu.. Kan awak tu banyak
duit. Senang aje beli apa yang saya nak selama ni.” Tersengih-sengih Awra.
“Kalau saya boleh beli, memang
dah beli.” jawab Faiq selamba bersama senyuman. Dalam hati, tidak henti dia
berdoa agar Allah perkenankan doanya yang satu itu. “Sayang mintaklah benda lain.” sambungnya
kemudian.
“Erm.. tak tahu nak mintak apa.
Duit raya, tiap-tiap tahun awak bagi. Yang tiap-tiap bulan tu pun, tak pernah
habis guna. Apa lagi yang saya nak mintak. Semua awak dah sediakan. Cuma satu
tu ajelah yang saya belum dapat. Dah lama tunggu..” balas Awra yang
menyandarkan kepala ke bahu lelaki itu dengan cukup selesa.
Faiq tersenyum. Dielus bahu Awra
sebelum bibirnya singgah ke dahi wanita itu.
“Yang tu, insya-Allah. Nanti kita
usaha lagi sama-sama.” ucapnya lembut.
Sepi lagi.
“Awak..” Awra kembali bersuara.
“Hm..”
Awra tarik tangan Faiq dan dibawa
sekilas ke bibir.
“Selamat hari raya awak..”
Ditatap wajah Faiq penuh kasih. “Ampunkan segala dosa-dosa saya sepanjang kita
bersama. Halalkan makan minum saya. Saya mintak
maaf dengan segala kekurangan yang ada sepanjang saya jadi isteri awak.”
ucapnya tulus.
Faiq menarik senyum segaris.
“Saya tak maafkan.” jawabnya
mengusik.
“Awak!” Hampir terjerit pula
Awra.
Faiq tergelak.
“Insya-Allah. Selagi umur saya
panjang, saya sentiasa maafkan awak sayang. Saya pun macam tu jugak. Saya
mintak maaf segala kekurangan yang ada. Sampaikan nak tambah ahli baru pun,
saya tak mampu..” ucapnya pula.
Awra tersenyum-senyum seraya
menampar manja lengan lelaki itu. “Awak ni.. tu bukan kerja kita la.. tu kan
kerja Dia..”
Faiq tersengih-sengih.
“Hoit! Tak payahlah cerita hal
kelambu dekat tangga tu haa.. Malu orang dengar oii!”
Terdengar suara Firdaus dari
dalam rumah mencelah menyebabkan kedua-duanya terus menghamburkan tawa. Hampir
terlupa di mana mereka berada kerana terlalu asyik melayan perasaan malam raya
itu.
............
maaf kalau merepek. haha ~
selamat menyambut hari raya semua.
iman kuasa dua, insya-Allah akan diusahakan. insya-Allah.