May 25, 2017

Mungkin Untuk Sekali Lagi_short

Assalamualaikum

Salam ramadhan.

Cerita sempena ramadhan dan akan bersiaran sepanjang ramadhan. Insya-Allah.

..........
PART 1

“Tak payahlah nak termenung sangat. Kau ingat rumah bapak kau ni, tempat kau termenung tiap kali patah hati?” Selamba Mak Tom menempelak anak sulungnya yang baru tiba semalam. Dia dapat baca apa yang bermain di dalam kepala Arif Adly. Dia cukup faham dan cukup ‘masak’ dengan perangai si anak setiap kali balik ke kampung. Tak perlu dia menyoal panjang. Tekaannya akan tepat mengena.

“Mak ni… Haihhh…” Keluh berat dilepaskan Arif. Dilurut rambut yang sememangnya kusut selepas mandi tadi. Lupa nak bersikat.

“Mak cakap, kau tahu marah. Tapi cakap mak kau ni, langsung kau tak nak dengar. Kali ni, dah masuk berapa? Sepuluh? Dua puluh?” Sindir Mak Tom lagi.

Arif dongak pandang maknya di atas tangga. Cebik. Malas dia nak jawab kerana tahu dia takkan menang. Tambah pula tengah jiwa kacau sekarang ni. Kalau salah jawab, memang tak sudah dia kena bahan dengan maknya itu.

“Mak bukan faham pun apa yang orang rasa…” jawabnya dalam dengar tak dengar.
Hajah Aisyah cebik.

“Tak faham kunun! Meh sini kau bagi tahu mak, apa yang mak tak faham sangat tu? Mak kau ni dah terlebih makan garam tahu tak? Umur pun dah tak panjang mana. Cuba kau cakap dengan mak apa lagi yang mak tak faham pasal masalah kau tu?” tingkahnya geram. “Kalau kau dengar cakap mak kau ni, takde kau melangut tiap kali kau kena tinggal dengan perempuan yang entah apa-apa tu.”

“Siapa kata orang kena tinggal? Orang yang tinggalkan perempuan tu!” tingkah Arif tak nak kalah. Masih nak jaga air muka walaupun itulah hakikatnya.

Mak Tom cebik.

“Kau tak payahlah nak membohong mak kau ni, Rif. Perempuan-perempuan yang nakkan kau tu semua bukannya nakkan kau sangat pun. Dorang tu semua sibukkan nakkan poket kau yang tebal tu aje.”

Arif diam. Setepek tepat kena batang hidungnya. Memang kebanyakan perempuan yang mendampinginya hanya menginginkan kemewahan yang dia ada.

“Kalau kau tak tinggalkan Si Wiya dulu, mak rasa dah berderet anak kau sekarang.” Sambung Mak Tom yang masih kesal dengan apa yang jadi pada 5 tahun lalu. Satu-satunya menantu perempuan yang dia pernah ada ditinggalkan si anak hanya kerana sikap pentingkan diri menyebabkan ikatan perkahwinan yang baru berusia 3 tahun akhirnya terkandas. Padahal masing-masing dah berkawan sejak di bangku sekolah lagi. Berkahwin pun atas suka sama suka. Tak pernah dihalang kemahuan masing-masing, malah dia sendiri berkenal baik dengan keluarga bekas menantunya itu.

Arif lepas lelah berat. Satu kenyataan yang menjadi senjata paling tajam maknya hingga ke hari ini. Dia sedar dan akui dia silap dulu. Dia terlalu ikut rasa marah dan mementingkan diri sendiri. Tapi hingga ke hari ini juga dia berhubung baik dengan mantan isterinya itu walaupun tak pernah sekali pun terbit di bibirnya untuk mereka kembali bersatu. Dia takut dia akan melukakan hati Zawiya buat kali kedua. Dan dia sendiri tak mahu merosakkan kebahagiaan Zawiya meskipun masih bersendiri hingga ke hari ini.

“Kau tahu tak, Rif… Baru minggu lepas umminya jumpa mak, dia bagi tahu ada orang masuk meminang Wiya. Datuk muda mana entah.” Mak Tom bersuara lagi sengaja mahu melihat reaksi si anak.

“Biarlah kalau ada orang masuk meminang pun. Bukan baru pertama kali ada orang masuk meminang.” Jawab Arif tak berperasaan. Sebelum ini Zawiya ada memaklumkan hal itu kepadanya. Tapi bukan Datuk muda sepertimana yang diberitahu maknya itu. Setahunya, dah lebih 5 orang masuk meminang Zawiya sejak mereka berpisah.

“Biarlah kau cakap? Kau takde rasa apa-apa ke?”

Arif geleng perlahan.

“Dia berhak dapat yang lagi baik dari orang ni mak…” Keluh panjang dilepaskan.

Mak Tom hela nafas berat. Sakit hati dengar apa yang terluah di bibir anak tunggal lelakinya itu.

“Mak dah tak tahu nak cakap macam mana lagi dengan kau ni, Rif. Pada mak, kalau nak dibandingkan Si Wiya dengan perempuan-perempuan yang kau pernah bawak balik jumpa mak sebelum ni, Wiya tetap pilihan mak.” Luahnya.

Arif hala pandang ke wajah maknya bersama senyum nipis.

“Kalau orang tetap kahwin dengan orang lain macam mana?” sengaja dia nak mengusik.

“Doa ibu ni paling mujarab kan?” jawab Mak Tom dengan sebelah keningnya terangkat. Penuh makna.

“So?”

“Kau rasa, mak doa apa untuk kau?”

Arif sengih.

“Jodoh bukan dekat tangan mak.” Balasnya senang.

“Memang. Jodoh memang bukan dekat tangan mak. Tapi…”

“Apa tapi?”

“Will see…” Mak Tom bingkas dari atas tangga. Bibir tuanya menarik senyum lebar penuh makna.
Arif dah tergeleng-geleng sendiri dengan jawapan maknya. Lepas dapat menantu duduk dekat obersi tahun lepas, dah pandai nak speaking bagai.




No comments: