Sep 22, 2014

Ini last!

Assalamualaikum.

Ok. Last. Takda siaran ulangan lagi lepas ni.

Sesiapa yang berkenan nak masuk ke group di fb, PLEASE ADD ME FIRST. Sila rujuk entry PENGUMUMAN again! .

Jika nama kalian satu sahaja di dalam facebook tu, tak ada masalah untuk saya add. Jika lebih daripada satu nama, manakan saya kenal kalian. Mana satu yang saya perlu add pun saya tak tahu. Disebabkan itu, saya mohon. add saya terlebih dahulu dan saya akan masukkan ke dalam group. ok? Mudah bukan?

Kepada yang dah FRIEND tapi termasuk dalam group, boleh pm ok. Yang dah request tapi belum approve pun boleh drop komen/ pm ok?.

Kerjasama anda amatlah saya hargai bebenor. Sekian. :)

Sep 18, 2014

Pengumumuan. Again!

Assalamualaikum.

Demi mengelakkan saya menjawab soalan kalian yang sama banyak kali..

Maaf. Kebanyakannya saya tidak mengenali kalian. Bila kalian meletakkan nama agar saya ADD FRIEND DI FACEBOOK, yang bernasib baik, nama tidak ada dua tiga sepuluh yang sama, saya ADD terus. Pada yang kadang2 punya lebih daripada satu nama yang sama dalam laman sosial tu, saya mohon cuba add akaun saya Dontbe Sad yang berprofile picture seperti dibawah. Itu ajelah satu2nya akaun saya. Dah tak ada dua tiga sepuluh. Hanya FRIENDS dengan saya baru kalian akan dimasukkan ke dalam group. 

Kepada sesiapa yang sudah pun menjadi friends tetapi tidak termasuk di dalam group boleh drop komen ya.

Kepada yang saya tak add tapi dah bagi nama pada entry lepas, sila check semula komen yang saya dah balas ya. 

Kerjasama anda, amatlah saya hargai. Sekian terima kasih. :)




Sep 15, 2014

Mengharap kasih_cont 2

Assalamualaikum.

Last bab here. Dan bab terakhir akan disambung di group. Sekian. :D

Pada yang sudi nak join, drop komen tinggalkan nama fb. Insyaallah saya add. Tq.

.........

Mengharap kasih_cont 2

Wajah Ramzan berkerut apabila melihat ibunya mengeluarkan sejumlah wang.

“Ibu nak beli apa pagi-pagi ni? Nak pergi pasar?” Soalnya sebaik melabuhkan duduk di kerusi. Bersedia untuk bersarapan sebelum ke pejabat.

“Memang nak pergi pasar. Barang dapur banyak dah habis. Malam lusa kita dah kena bangun sahur. Tapi duit ni, bukan duit nak pergi pasar.” balas Ramlah seraya menolak beberapa not lima puluh ringgit ke hadapan anak bongsunya itu.

“Habis tu? Nak buat apa pulak dengan duit ni?” Bertambah kerutan di wajah Ramzan.

“Azan ingat tak kuih sarang semut yang Azan bawak balik tahun sudah?” Ramlah pulangkan soalan juga.

Kian bertambah garisan di wajah Ramzan cuba mengingati bentuk kuih yang dimaksudkan.

“Kuih sarang semut mana pulak pagi-pagi ni bu? Semut apa? Merah? Hitam?” Soalan juga yang diluahkan.

“Haish! Merah hitam pulak dia. Takkan dah lupa. Tahun lepas, Azan ada bawak balik dua balang kuih. Satu Almond London, satu sarang semut tu.”

“Oh.. kenapa dengan kuih tu?” Ramzan tarik mangkuk sambal ikan bilis di hadapannya sebaik pinggannya berisi nasi lemak.

“Tahun ni, ibu nak Azan beli banyak-banyak boleh? Kawan-kawan ibu semua suka kuih tu. Susah nak jumpa orang buat kuih tu sendiri sekarang ni. Azan pergi tempah kuih tu awal-awal ya? Kalau tak cukup duit ni, nanti ibu tambah lagi. Dapat dalam sepuluh balang ke. Sebab ibu ada nak bagi kawan ibu nanti.” jelas Ramlah teruja. Kuih sarang semut merupakan kuih kegemarannya sejak dahulu lagi.

“Ha? Awal lagi ni bu. Puasa pun belum. Mana ada orang buat kuih awal-awal ni.” Ramzan sudah tarik senyum penuh makna. Harapan beraya berempat tahun depan dirasakan mula menampakkan sinar.

“Tak apalah. Ni ibu bagi dulu. Tempah awal-awal. Takut lambat nanti, kempunan ibu nak makan kuih tu. Tahun lepas yang Azan bawak tu, sedap sangat. Kawan-kawan ibu pun suka kuih tu. Azan cakaplah dengan kawan Azan tu ya? Tempah awal-awal.” balas Ramlah penuh mengharap.

Ramzan senyum lagi. Tanpa mahu mengulas lanjut, nasi lemak yang masih belum bercuit, mula disuap dengan senang hati.

*******

“Awak janganlah main-main Azan..” ujar Azila serius. Wajah Ramzan yang tersenyum senang sejak mereka bertemu tadi, dipandang geram. Seperti tidak percaya dengan apa yang baru sahaja diberitahu oleh lelaki itu.

“Betul. Buat apa saya nak tipu. Duit pun dia dah bagi. Awak cuma tinggal buatkan aje. Awak cakap aje berapa.” balas Ramzan senang sambil menolak troli yang masih kosong. Dia sabar menuruti langkah wanita itu mencari barang keperluan untuk membuat kuih.

Azila menghadiahkan jelingan sekilas. Hati tetap kurang yakin dengan apa yang diperkatakan.

“Awak sebenarnya saja nak ambil hati saya kan? Saya tahulah kuih yang saya buat tu tak sedap mana..” Sengaja dia menduga.

“Sayang oi.. kalau tak sedap, tak adalah orang tu dapat tempahan sampai berpuluh-puluh balang kan?” usik Ramzan pula.

Azila berdecit kecil. Sempat tangannya menampar bahu lelaki itu sekali sebelum melajukan langkah ke petak yang menempatkan pelbagai jenis tepung.

“Kali ni, awak terima sampai berapa balang pulak hm? Kalau nak pakai assistant, saya free setiap malam dengan weekend.” Ramzan jongket kening beberapa kali sebaik dia berdiri di sisi Azila.

“Erm.., regular customer punya dah tujuh puluh balang. Tak campur yang order dekat tempat kerja. Saya ingat jangan lebih seratus la. Saya buat sorang-sorang. Risau tak sempat siap nanti.” balas Azila seraya mencapai beberapa kampit tepung gandum dan dimasukkan ke dalam troli.

“Kan saya kata, saya free sebelah malam dengan weekend. Tak perlu pun bayar gaji. Free aje saya tolong awak hm?” Ramzan masih mahu mengusik menyebabkan sekali lagi jelingan yang diterima.

“Amboi.. Kalau sebelah malam tu, awak nak tidur dekat mana?”

“Tidur rumah awaklah!” Ramzan tersengih-sengih.

Azila mencebik.

“Baiknya hati ayah saya izinkan awak tidur dekat rumah.” Tekannya sinis. Dia sedia maklum akan perangai ayahnya sejak dahulu lagi. Walaupun seorang terbuka dan tidak pernah menghalang dia berkawan dengan sesiapa pun, masih ada batas yang perlu dijaga.

“Manalah tahu.. kalau ayah awak bermurah hati pulak dengan bakal menantu dia ni.” Meleret senyum Ramzan yang sudah membayangkan dia hidup bahagia dengan wanita itu.

“Jangan nak perasan sangat!” Ejek Azila sebelum langkah dibawa ke petak yang menempatkan susunan gula pasir.

“Awak, saya harap tahun ni, tahun terakhir kita macam ni. Tahun depan, saya nak kita beraya berempat. Atau mungkin berlima.” ujar Ramzan penuh pengharapan.

Azila menoleh sekilas sebelum keluhan panjang dilepaskan. Tidak tahu apa yang harus diucapkan.

“Awak..”

“Insya-Allah kalau Dia izinkan, ibu awak izinkan kita bersatu..” Itu sahaja yang mampu diluahkan oleh Azila. Bukan niatnya mahu menghampakan harapan lelaki itu. Tetapi, dia lebih risau andai Ramzan akan lebih teruk kecewa jika apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan.

“Zila..”

Azila menoleh lagi.

I really love you..” ucap Ramzan perlahan.

Senyum tawar sahaja yang mampu dilemparkan sebagai balasan walaupun hati cukup tercuit dengan ungkapan cinta itu.

*******

“Adikkkk!!!”

Separuh menjerit Azila sebaik masuk ke ruang dapur apabila melihat dulang pembakar yang berisi kuih sarang semut yang sudah pun sejuk, hampir separuh kosong. Hanya mangkuk kertas kecil sahaja yang bergelimpangan.

Danish tersengih-sengih.

“Apa yang Danish buat ni..” keluh Azila sambil mengutip mangkuk kertas kecil yang kosong. Tidak pun sampai sepuluh minit dia meninggalkan ruang itu tadi untuk bersolat asar.

“Sedaplah kuih umi ni. Adik rasa aje.” jawab Danish sambil menjilat jari jemarinya yang dipenuhi sisa kuih.

“Kan semalam adik dah makan banyak. Ni semua orang punya tau. Bila nak siap kalau adik aje yang makan..” Lembut Azila menasihati. Cuba disabarkan hati dari berkeras dengan si kecil itu.

“Adik suka la umi.”

Azila mengeluh berat sambil mengemaskan meja yang sedikit bersepah dengan sisa-sisa kuih yang bertaburan.

“Umi, tadi Along dah marah. Adik tak nak dengar umi. Dah la tak puasa.” Celah Aniq yang baru melangkah masuk ke ruang itu.

Danish menjeling abangnya.

“Adik memang tak sayang umi. Adik suka tengok umi tak tidur, penat-penat, buat semua kuih ni sorang-sorang kan..” Sengaja Azila melirihkan suara. Mengharap sedikit pengertian daripada anak bongsunya itu.

Membuat kuih sarang semut merupakan proses yang agak memakan masa walaupun bahan-bahan yang diperlukan tidak pun banyak dan susah untuk dicari. Membuat kuih itu benar-benar perlukan kesabaran. Jika dulu, arwah suaminya ringan tulang untuk membantu hingga lewat subuh.

“Kesian umi.. adik tak sayang umi ke?” tambah Aniq pula.

Wajah Danish kala itu sudah berubah. Sepasang mata bulat itu mula berkaca-kaca.

Azila dan Aniq berpandangan seketika sebelum dia mendekati anak bongsunya.

“Umi.. Adik sayang umi.” sayu si kecil itu mengucapkannya sebelum tubuh Azila didakap erat dan terus menangis. “Adik tak makan lagi kuih umi. Adik kesian tengok umi penat. Adik tak nak makan lagi kuih umi..” ucap si kecil itu dalam esakan halus yang mula kedengaran.

Azila menahan sebak. Terasa bersalah pula kerana telah menyebabkan anak bongsunya itu menangis.

“Umi bukan marah adik makan.. tapi adik tahukan, kuih tu ada orang punya? Adik tahukan umi buat kuih ni sebab nak dapat duit beli baju adik, beli baju along, beli mainan adik..” Dia cuba memujuk.

“Adik tak ada makan lagi umi.. adik tak makan kuih umi..”

Azila memeluk erat tubuh si kecil itu bagi meredakan esakan yang kedengaran. Diusap wajah mungil yang sudah basah itu. “Adik baik kan? Lain kali adik dengarlah cakap umi. Umi sayang adik. Umi bukan marah adik makan..”

“Adik sayang umi..” kembali didakap tubuh Azila seerat mungkin.

“Umi.. Along pun sayang umi..” celah Aniq perlahan yang sejak tadi menjadi pemerhati.

“Ia.. umi sayang along, sayang adik. Umi sayang anak-anak umi..” Azila terus raih kedua-duanya ke dalam pelukan. Ada air jernih yang terbit di tubir mata. Sungguh, dua harta yang tidak ternilai itu, begitu bermakna baginya melebihi dari segala-galanya.

“Hah.. dah kenapa pulak ni?” Muncul Hamid di ruang dapur itu.

“Tak ada apalah yah..” Azila seka hujung matanya sebelum meleraikan pelukan.

“Hm.. tu, Cik Zan dah sampai dekat depan tu.” ujar Hamid akan tujuannya ke situ.

Azila terus sapu wajah Danish yang lembap. Dia tidak mahu Ramzan perasan yang anak bongsunya itu menangis. Yakin dia akan dimarahi kerana Ramzan tidak suka melihat wajah muram anak-anaknya. Terutama sekali Danish.

“Adik, along, jumpa Cik Zan, jangan cakap apa-apa okey?” Sempat dia berpesan sambil memegang wajah Danish dan si bongsu itu hanya mengangguk.

“Along dengan adik, pergi jumpa Cik Zan dulu. Umi nak kemas meja ni. Kejap lagi umi keluar.” sambungnya mendorong tubuh kedua-duanya dan mereka hanya akur.

“Zila..” Hamid masih di situ.

Azila menoleh.

“Apa kamu buat dengan Danish? Kamu pukul dia?” Soal Hamid ingin tahu. Sememangnya, si kecil Danish amat rapat dengannya memandangkan si kecil itu tidak sempat kenal kasih sayang seorang ayah sejak kecil lagi.

“Zila tak pukul pun ayah.. Cuma Zila tegur sikit sebab makan kuih yang dah siap ni.” jelas Azila jujur sambil menyusun baki kuih yang ada ke dalam balang.

Hamid menghela nafas. “Sudah tu. Habis kemas, cepat siap. Nanti lama si Ramzan tunggu. Orang tak ramai lagi dekat bazaar ni. Nanti dah ramai, lewat kamu sampai rumah.” ujar Hamid kemudian sebelum beredar ke hadapan semula.

“Ialah..” itu yang dibalas oleh Azila seraya cepat-cepat mengemaskan segala barang yang ada. Namun dalam pada itu, tetap ada kerisauan menjelma dalam hati kerana yakin Ramzan akan menyedari apa yang berlaku.

…………….

Cermin pandang belakang dipandang lagi buat ke sekian kali. Wajah kedua-dua anak kecil yang berada di tempat duduk penumpang, tidak seceria mana. Lebih-lebih lagi Danish. Aniq sejak tadi leka dengan tablet di tangan. Angry bird menjadi pilihan. Kebiasaannya, jika Aniq bermain game, pasti Danish akan merengek mahu main bersama. Tidak pun, mulut Danish tidak akan berhenti bertanya itu dan ini kepadanya.

Kemudian mata dihalakan pula ke sisi. Wanita di sisinya itu pun lebih banyak diam sejak mereka bertolak tadi.

“Awak..”

Azila menoleh. Beradu seketika renungan mereka.

“Ada apa-apa yang tak kena ke?” Ramzan kurang senang dengan keadaan yang sunyi sepi di dalam kereta. Selalunya, jika mereka keluar berempat, celoteh dua beradik itu memeriahkan suasana. Dan dia sendiri senang begitu.

Azila cuba memaniskan senyum walaupun terasa sedikit sukar. Wajah anak-anak di belakang, dipandang sekilas sebelum matanya kembali ke wajah Ramzan. Di mata Ramzan, dia memang tidak mampu berbohong. Tajam sahaja penglihatan lelaki itu mengesan suatu yang tidak kena.

“Er.. okey aje.” Dia cuba menyembunyikan hal yang sebenar.

No. He’s not okay.” tingkah Ramzan yakin.

Senyum di bibir Azila mengendur. Seperti yang dijangka.

“Tadi saya tegur adik makan kuih yang orang tempah tu.” jelasnya perlahan.

“Berapa banyak yang dia dah makan? Biar saya ganti balik. Patutlah mata dia berair tadi.” balas Ramzan serius.

“Awak..” Helaan berat Azila lepaskan.

“Dia budak lagi Azila.. apa yang dia faham..

“Tapi, saya tak marah pun..”

“Habis tu?”

Azila diam. Malas menjawab kerana yakin dia tetap di pihak yang salah.

Ramzan jeling sekilas. Disabarkan hatinya demi tidak mahu ada perbalahan pula di antara mereka.

“Adik..” Dia cuba menarik perhatian Danish yang mendiamkan diri sejak tadi.

“Ya.” Danish menoleh.

“Adik nak berbuka apa hari ni? Cik Zan belanja.” Ramzan cuba menceriakan suasana kerana dia rindu akan detik itu. Setelah hampir tiga minggu berpuasa, baru hari itu mereka berpeluang untuk bertemu kerana dia agak sibuk dengan kerja-kerjanya.

“Adik tak puasa la Cik Zan.” polos si kecil itu menjawab.

“Tak apa. Tapi hari ni Cik Zan nak belanja. Adik cakap aje nak makan apa, Cik Zan beli.”

“Erm.. Umi kata, orang tak puasa tak boleh makan berbuka la Cik Zan. Along aje boleh. Along puasa.”

Ramzan menoleh ke sisi bersama helaan panjang. Tersentuh hati dia mendengar jawapan Danish. Begitu mudah si kecil itu mendengar kata Azila.

“Cik Zan..” Danish mendekat. Berdiri di antara Azila dan Ramzan. Lengannya selamba didaratkan ke bahu Ramzan.

“Ada apa sayang..” senang Ramzan membalas.

“Cik Zan, mana motor Cik Zan? Kenapa Cik Zan tak naik moto? Adik nak naik motor Cik Zan.” kata Danish yang mula banyak mulut seperti selalu.

Ramzan senyum.

“Hari ni kan hujan. Macam mana Cik Zan nak bawak motor. Habislah Cik Zan basah. Nanti, Cik Zan datang lagi, Cik Zan bawak motor. Nanti Cik Zan bawak adik jalan-jalan.” jawabnya demi memuaskan hati si kecil.

“Adik, Cik Zan kan ada kerja.. Tak boleh suka-suka datang jumpa adik..” Azila mencelah. Tidak senang Ramzan menabur janji. Risau tidak tertunai menyebabkan anaknya ternanti-nanti pula.

“Okey.” sahut si kecil itu sebelum kembali duduk di sisi Aniq.

Ramzan menoleh sekilas ke sisi. Dalam diam, dia tidak senang dengan kata-kata wanita itu. Seperti tidak suka dia bertemu dengan si kecil.

……………

Dua puluh balang kuih sarang semut yang ditempah oleh rakan-rakan pejabatnya, dimasukkan ke dalam kereta sebaik dihulurkan oleh Azila. Songkok yang tersarung, ditanggalkan dan diletakkan juga ke dalam kereta kerana bila-bila masa sahaja dia akan pulang selepas bersolat tarawih serta berbuka bersama keluarga wanita itu tadi.

“Erm.. Azan..”

“Hmm..”

“Betul ke, minggu depan awak nak berbuka dekat sini lagi?” Soal Azila serba salah. Soalannya seolah-olah tidak membenarkan lelaki itu datang ke rumahnya.

“Kenapa tanya? Awak tak suka saya datang?” Sengaja Ramzan menduga.

“Er.. bukan macam tu..” keluh Azila seraya memalingkan wajah.

Ramzan hela nafas panjang. Lengan baju Melayu yang dipakai, dilipat hingga ke siku.

“Zila..”

Azila kembali menoleh.

“Dekat tiga minggu kita tak jumpa. Awak macam tak kisah pun. Awak memang dah tak suka ke, saya datang jumpa awak, jumpa anak-anak?” Ramzan duga lagi. Mahu melihat reaksi wanita itu.

Azila geleng.

“Habis tu? Amin ganggu awak lagi? Awak dah jatuh suka pada dia?” Ramzan menggiat.

“Apa awak cakap ni Ramzan? Awak tak percayakan saya?” Tingkah Azila. Sedikit terusik akan kata-kata yang berbaur tuduhan itu.

“Bukan tak percaya. Hati manusia Zila.. bila-bila masa boleh berubah.” keluh Ramzan perlahan seraya menyandarkan tubuhnya ke kereta.

Azila menggeleng perlahan. Senyum tepi terhias di bibirnya. Cuba tahan hati.

“Kalau pun dia ganggu saya, awak tetap tak ada hak atas saya, Azan.. saya masih bebas nak berkawan dengan sesiapa pun.” jawabnya berani. Dia pula ingin menduga hati lelaki itu.
Ramzan senyum nipis.

“Saya tahu, awak tak yakin apa yang saya buat selama ni, Zila.. tak ada apa yang saya boleh buat selain terus pujuk ibu saya, dan berdoa. Tapi, kalau tu yang awak kata, apa saya boleh buat. Saya memang tak ada hak apa-apa pun pada awak. Awak bebas nak berkawan dengan siapa pun termasuklah Amin.. Cuma saya nak awak tahu, demi Allah awak masih jadi pilihan hati saya walaupun kita susah nak jumpa sekarang ni.” ucapnya setulus hati.

“Azan..” Azila kemam bibirnya perlahan. Menahan sebak yang mula bertandang.

“Kirim salam pada anak-anak. Insya-Allah kalau saya tak sibuk, saya datang minggu depan. Nak bawak budak-budak tu shopping baju raya. Itu pun, kalau awak izinkan. Kalau awak tak nak ikut pun, tak apa. Saya faham. Saya cuma nak mintak izin awak, nak bawak budak-budak tu. Boleh kan?” Terus sahaja Ramzan menukar topik kerana risau mungkin hal tersebut akan menjadi perbalahan pula.

Azila angguk perlahan. Tidak sampai hati untuk menolak memandangkan betapa terujanya anak-anaknya tadi apabila Ramzan memberitahu mahu membeli persiapan menyambut lebaran.

“Erm.. kalau tak ada apa-apa lagi, saya balik dulu. Awak pergilah masuk. Dah lewat ni. Jiran nampak, tak manis pula.” lanjut Ramzan sebelum membuka pintu kereta di tempat pemandu. Enjin dihidupkan.

“Er.. Azan.. saya..” Azila kelu lidah untuk membalas. Perasaan bersalah mula menjentik hati. Daripada kata yang terluah, dia yakin Ramzan sudah terasa hati.

Ramzan menanti. Sepi.

“Kalau awak tak ada apa-apa nak cakap, saya balik dulu. Dah lewat ni. Esok saya kerja, awak pun kerja. Nak bangun sahur lagi nanti kan?” Dia kembali bersuara apabila tiada tanda-tanda wanita itu mahu membuka mulut.

Azila hela nafas panjang.

“Awak, hati-hati. Sampai nanti call saya.” ucapnya serba tidak kena.

Ramzan senyum segaris.

“Assalamualaikum..” itu yang dibalas sebelum dia masuk ke dalam kereta. Pintu ditarik.

Azila tidak terkata. Hanya mampu memerhati dengan rasa berat hati. Pada mulanya dia yang terasa hati dengan kata-kata lelaki itu. Tetapi kini, lain pula yang jadi.

********

+ Assalamulaikum awak. Sibuk? Sorry ganggu. Pukul berapa sampai semalam? Lama saya tunggu awak call. Awak, saya mintak maaf kalau apa yang saya kata semalam, buat awak terasa. Sorry sangat.

+ Assalamualaikum awak. Awak, saya mintak maaf. Janganlah diam macam ni.

+ Assalamualaikum. Awak sihat?

+ Saya tahu awak sibuk. Tapi, bolehkan awak balas mesej saya. Sekali pun cukuplah. Jangan diam macam ni.

+ Awak..

+ Along, adik, miss you.

+ Awak, angkatlah phone..

+ Azan, sorry ganggu. Saya cuma nak tahu, awak jadi ke datang minggu ni?

+ Awak, saya dah penat awak diam macam ni. Kenapa yang susah sangat ni..

+ Azan, besar sangat ke salah saya sampai awak buat saya macam ni? Awak jangan ingat, awak sorang yang ada perasaan. Awak memang suka tengok saya yang terhegeh-hegeh macam ni kan? Puas hati awak sekarang? Kalau macam ni la perangai awak Azan, saya rasa, cukuplah.. memang patut saya bagi peluang pada Amin. Sekurang-kurangnya, dia tak buat macam ni.. arwah suami saya dulu pun tak pernah buat saya macam ni, Azan.. Saya tak pernah paksa hati awak untuk terima saya. Tapi kalau awak rasa, saya dengan anak-anak macam beban pada awak selama ni, saya mintak maaf.. mungkin saya belum cukup faham awak.. awak jaga diri. Assalamualaikum.

Keluhan berat dilepaskan. Gadget selebar tapak tangan diletakkan di atas timbunan fail yang penuh di atas mejanya. Tubuh disandarkan ke kerusi empuknya sambil melonggarkan tali leher yang tadinya terikat kemas. Terasa sesak pula saluran nafasnya sebaik habis membaca mesej yang terakhir, yang diterima lewat malam tadi.

Selepas pulang dari rumah Azila hujung minggu lepas, memang sekali pun dia tidak membalas mahupun mengangkat setiap panggilan wanita itu semata-mata mahu melihat sejauh mana kesungguhan Azila. Namun, ternyata dia silap percaturan. Baru terasa tindakannya kurang matang pula. Membawa rajuk hati yang tak ke mana, bukanlan satu tindakan yang betul buat wanita seperti Azila. Sewajarnya dia lebih awal mengalah memandangkan wanita itu bukan seperti wanita lain. Azila sudah punya dua anak dan sudah melalui pelbagai ujian yang tidak terduga. Tetapi dia, langsung tidak bertindak seperti yang sepatutnya. Tindakannya hanya menambah kedukaan di hati wanita itu lagi.

Note 3 yang diletakkan tadi, dicapai semula. Jemari kembali bermain di atas skrin. Sebaris nama sudah terpampang. Tetapi dia, berat hati untuk menghubungi. Mata masih tidak lepas memandang sebaris perkataan ‘Sayang’ yang tercatat. Hampir seminit begitu sebelum dia meletakkan kembali gadget tersebut ke atas meja. Tidak betah dia menyambung kerja dengan perasaan yang resah tidak bertepi. Meja dikemaskan seadanya sebelum dia terus mencapai barang peribadi dan keluar dari bilik berhawa dingin itu.



Sep 11, 2014

YTPK_bab 2

Assalamualaikum.

Ok. Kepada yang saya dah aprove tapi berminat untuk join group, tolong pm ya. Insya-Allah saya akan balas. TQ.

...............
Bab 2

“Piah, kau ada buat lebih tak? Aku nak tapau bagi tunang aku boleh? Dia pun suka makan marie cheese kau yang marvellous ni.” Zafiq tersengih-sengih sambil menyudu marie cheese dari dalam bekas lut sinar segi empat selebar tapak tangan.

“Kau panggil aku apa?” Sufiya yang sedang mengacau adunan cream cheese terhenti. Sebelah kening pekatnya terjongket ke arah Zafiq yang masih menayangkan barisan gigi yang tersusun.

“Piah.” Selamba Zafiq ingin mengusik.

“Memang takkan dapatlah kau tapau. Wassalam!” balas Sufiya bersama jelingan tajam. Lincah tangannya memasukkan cream cheese ke dalam piping beg untuk menghias kek red velvet bersaiz kek cawan.

“Alah.. aku gurau aje pun. Macam tak biasa. Kalau si Izhar tu, bukan main lagi kau bagi dia macam-macam.” gerutu Zafiq sedikit tidak berpuas hati dengan sepupunya yang seorang itu.

Sufiya senyum tepi. “Suka hati akulah! Ni pun, dia yang tempah tau? Ada jugak mendatangkan hasil. Yang kau tu?” sindirnya tidak mahu mengalah.

Zafiq mencebik sama. “Kau ni Piah, dengan aku pun nak kedekut.” rungutnya.

“Kedekut mak kut.. kalau nak, sila bayar. Cakap aje berapa banyak kau nak, aku boleh buatkan. Takkanlah orang bergaji besar tak mampu nak beli ya tak?” Selamba Sufiya menyindir.

Cebikan juga terbias di bibir Zafiq. “Sudahlah kau Nurul Afni Sufiya.” Sengaja dia menekan nama penuh gadis itu sebelum bingkas dari kerusi tinggi warna merah hati yang diduduki dan membawa tubuh ke peti sejuk. Muk berisi jus oren dari dalam peti terus diteguk tanpa menghiraukan si pemiliknya yang sudah menghadiahkan jelingan tajam.

“Pakai telan aje kau kan?”

Zafiq tersengih-sengih. Berkongsi minum, berkongsi makanan tidak pernah menjadi isu besar sejak dari mereka kecil lagi.

“Pia, Izhar dah sampai ni!” Terdengar suara mamanya dari ruang hadapan.

“Eh, red velvet ni dia tempah ke?” tanya Zafiq sambil mencuci tangannya.

“Bukan yang ni. Yang kau makan tadi tu, dia yang tempah semalam.” Selamba Sufiya menjawab seraya berlalu ke peti sejuk berpintu cermin lut sinar khas buat menyimpan segala jenis tempahan kek.

“Erk..” Zafiq rasa tercekik. Tadi dengan selamba dia mencapai marie cheese dari peti sejuk tersebut lalu makan seperti biasa setiap kali bertandang di rumah sepupunya itu.

“Assalamualaikum.” Syed Izhar muncul di ruang dapur itu bersama senyuman manisnya seperti selalu.

Sejak mengenali Sufiya hampir setahun lalu, rumah gadis itu sudah seperti rumah keduanya kerana boleh dikatakan begitu kerap dia datang ke situ atas urusan jual beli yang dijalankan.

“Waalaikumussalam..” Mesra Sufiya menjawab. Manakala Zafiq di situ sudah terkebil-kebil memandang sepupunya menyusun marie cheese dalam sebuah kotak.

“Er.. Har, aku tak tahu kau tempah marie cheese ni. Si Piah ni tak cakap apa-apa pun masa aku ambik tadi. Aku dah bedal dua bekas tu tadi.” ucap Zafiq serba salah sebaik dia bersalaman dengan Izhar yang sentiasa murah dengan senyuman.

“Ada aku suruh ambik? Tak ada kan?” Sufiya mencelah.

Zafiq mencebik.

No hal la.. Selalu Pia buat lebih untuk aku. Tak pernah dia bagi cukup-cukup. Kan Pia?” tambah Izhar pula.

Sufiya menghadiahkan jelingan kepada Zafiq. “Tahu menggelabah! Lain kali, pakai telan ajelah!” kutuknya selamba.

“Ialah-ialah..” Terpaksa Zafiq mengalah. Akui akan sikap lepas lakunya jika bersama Sufiya. “Erm.. Har, ni kau nak letak dekat kedai ke, atau ada orang lain tempah ni?” Lanjutnya berbasa-basi. Tidak kekok untuk berbual dengan Izhar kerana lelaki itu juga ramah dan mudah sahaja mesra.

“Separuh ada orang tempah majlis petang ni. Separuh lagi nak letak dekat kedai.” Izhar membalas senang.

“Dekat mana?”

“Dekat area rumah aku jugak.”

“Oh..” Zafiq mengerling sekilas ke arah jam tangannya. Sebaik ternampak akan jarum pendek menghampiri nombor dua belas dan jarum panjang pula hampir ke nombor sebelas, dia kalut sendiri.

“Mati aku kena bebel!” Dahi ditepuk.

“Kenapa Zaf?” Izhar memandang pelik.

“Dah terlewat nak jumpa tunang dia la tu!” Sambut Sufiya yang sengaja ambil peluang untuk mengenakan lelaki itu.

Zafiq menghadiahkan jelingan. Sempat ditarik hujung tudung bawal yang sentiasa dipakai oleh Sufiya setiap kali dia bertandang sebelum menghulur tangan ke arah Izhar.

“Aku gerak dulu bro. Next time kita borak lagi. Kau jangan layan lama sangat budak bumbum ni. Risau pulak dia ayat kau nanti. Maklumlah.. dia jealous aku ada tunang. Dia terdesak nak cari boyfriend tu.” Dia membalas serangan buat Sufiya sebelum terus sahaja meloloskan diri. Tahu yang dia akan mendapat habuan jika masih setia di situ.

Sufiya ketap bibir kuat. Telinga dapat mendengar ledakan tawa lelaki itu di ruang hadapan. Terasa mahu dilemparkan bekas-bekas marie cheese yang dipegang. Mujur sahaja Izhar ada di situ.

“Har, awak janganlah dengar cakap Zaf tu. Dia memang sewel. Saja nak kenakan saya. Macamlah saya terdesak sangat. Kalau saya nak awak pun, tak mungkin saya dapat. Gila ke apa. Memang saya tempah makan high heels tunang awak.” ujarnya cuba mengelakkan salah faham walaupun yakin Izhar sedia maklum akan perangai Zafiq yang gemar mengusiknya.

“Saya dah putus tunang bulan lepas.” Tenang Izhar melafazkannya. Senyum nipis terukir di bibir.

Sufiya yang sedang mengira bilangan marie cheese dalam kotak terakhir, terhenti. Wajah Izhar yang melabuhkan duduk di kerusi Zafiq tadi dipandang. Keningnya berkerut. Setahunya lelaki itu sudah mengikat tali pertunangan lebih dua tahun dan bakal menamatkannya hujung tahun nanti.

“Bulan lepas? Tapi, kenapa saya tengok awak macam..” Kata-katanya terhenti di situ. Risau kata-kata seterusnya akan menggores hati lelaki itu.

Izhar senyum tawar.

“Tak ada jodoh Pia. Saya dah usaha pertahankan. Kita merancang, Dia pun merancang. Apa saya boleh buat Pia..” tenang dia membalas.

“Ya.. saya faham tu. Tapi.. sorry to say.. awak macam happy. Tak macam orang putus tunang..” Terluah juga apa yang bersarang di hati Sufiya.

Hampir setiap minggu dia berurusan dan berbual mesra dengan segala jenis topik. Namun, sepanjang tempoh itu, langsung dia tidak perasan akan riak kecewa mahupun sedih pada wajah lelaki itu. Tidak terkesan semuanya atau sebenarnya dia yang buta menilai garis kesedihan ataupun kekecewaan yang terlukis?

Izhar senyum lagi.

“Allah dah janji akan bagi ganjaran pada orang yang bersabarkan?” Dia teringat akan maksud potongan ayat 153 surah Al-Baqarah. “Saya percaya pada janji Dia, Pia.” nafas dihela panjang. Senyum di bibir mengendur. “Tipulah kalau saya kata, saya tak sedih Pia. Sedih sebab ikatan yang saya pertahankan lebih dua tahun, akhirnya putus. Tapi, apa yang saya boleh buat Pia. Allah tak reda dengan hubungan tu. Mungkin ini yang terbaik untuk masing-masing. Dan mungkin dia nak hadiahkan saya orang yang lagi istimewa. Siapa tahu kan? ” Dipaksa bibirnya kembali mengoyak senyum.

Kisah bakal isteri yang curang di belakangnya, cukup memilukan hati. Namun, dia reda. Apa dayanya untuk menghalang jika itu jugalah keputusan yang dipilih oleh si tunang tanpa menghiraukan perasaannya yang terluka.

“Izhar.. sorry..”

“Tak ada hal la Pia.. Awak tengok saya okey sekarang ni kan? Business pun alhamdulillah. Allah murahkan rezeki saya Pia. Tapi rezeki tu bukan untuk saya seorang. Dia nak saya share dengan awak..” Kembali berperisa senyum Izhar.

Sufiya senyum juga. Niat mahu menyoal lanjut terpaksa dimatikan kerana risau akan menyinggung perasaan lelaki itu pula. Tambahan pula, sepanjang mereka berkawan, jarang sekali lelaki itu berbual perihal peribadi. Dia sahaja yang lebih terbuka bercerita tentang dirinya selain mereka berkongsi akan minat yang sama.

“Pia, banyak lagi ke, red velvet yang awak kena buat ni?” Izhar terus menukar topik. Tidak mahu soal peribadinya menjadi subjektif perbualan.

“Dah habis. Tinggal tunggu sejuk yang atas tray tu aje.” jawab Sufiya senang sambil menunjuk ke arah kek cawan yang tersusun dalam dulang pembakar di atas counter island itu.

Sepi seketika. Sebaik habis menyusun kotak marie cheese yang siap dikira, dia kembali menyambung kerjanya tadi.

“Pia..”

Sufiya angkat wajah seketika.

“Macam mana interview hari tu? Okey?” Izhar berbasa-basi. Terasa kekok pula apabila tiada sebarang kata di antara mereka.

“Awak rasa?” Sufiya jongket kening sebelah.

Sepanjang mengenali Izhar, mudah sahaja dia bercerita mengenai pengalaman menghadiri temu duga. Namun tiada satu pun yang pernah diraih.

“Gagal?” Teka Izhar.

“Macam biasalah..” Sufiya tersengih. Jawapan itu sedikit pun tidak terkesan di hati kerana dia memang tidak meletak harapan untuk bekerja di bawah seliaan Yusran Adief yang sangat menyakitkan hati.

Izhar senyum. “Agaknya, memang dah rezeki awak dengan sayalah Pia..”

Sufiya tergelak pula. “Tapi memang bagus jugak saya tak dapat kerja tu. Tak nak saya kerja bawah dia tu.” jelasnya walaupun tanpa dipinta.

“Dia? Siapa dia?”

“Yusran Adief, si bagus-bagus.” Sufiya tergelak-gelak sendiri hingga jelas lekuk yang begitu dalam di sebelah pipi kirinya.

“Si bagus-bagus?” Izhar tertawa kecil.

“Haah. Bukan sikit-sikit punya perasan. Ini perasan banyak punya, sampai dah tak boleh handle. Menyampah betul!” jelas Sufiya bersungguh-sungguh. Apabila teringat seraut wajah yang sentiasa memandang sinis itu, perasaan geram mudah sahaja tercetus. Sungguh dia tidak menyangka akan bertemu lagi dengan Yusran selepas masing-masing tamat belajar, kerana dia sekalipun tidak pernah bertanya perihal lelaki itu kepada Zafiq.

Izhar tergelak pula. “Benci biar berpada-pada Pia.. Nanti yang awak benci, yang awak menyampah tu la yang awak syok nanti.” Sekadar menasihati walaupun dia sendiri sebenarnya tidak mengenali lelaki yang dimaksudkan.

Sufiya mencebik. “Dari saya syok dekat dia, baik saya syok dekat awak. Mata tak sakit, hati pun tak parah.” jawabnya selamba.

“Awak jangan Pia.. saya single and available sekarang ni. Sekali saya suka, saya susah nak reverse.” Izhar sengaja mengusik.

Sememangnya sepanjang mereka berkawan, hatinya sentiasa senang berkawan dengan gadis itu. Sufiya tidak pernah berpura-pura di hadapannya dan tidak pernah juga cuba menjadi orang lain.

“Eleh.. macamlah awak nak saya. Kalau nak, tu.. cakap sendiri dengan big boss saya tu. Ada bran?” cabar Sufiya tidak mengalah sambil menunjuk ke arah mamanya yang muncul di ruang dapur itu.

Sama seperti Zafiq. Lelaki itu juga gemar bergurau. Cuma gurauan lelaki itu lebih sopan berbanding sepupunya.

“Cik, boleh ke kalau saya nak Nurul Afni Sufiya ni?” Selamba Izhar bertanya kepada Asmi.

“Hah? Sungguh nak? Makcik on aje. Susah sangat si Pia ni cari boyfriend. Ada orang nak ni, makcik okey aje Har. Tak payah tunang-tunang, nikah aje terus.” Asma sempat menjeling anak tunggalnya yang sudah tercengang. Dia yakin kedua-duanya itu hanya bergurau.

Izhar sudah tergelak-gelak apabila melihat wajah Sufiya yang hampir terlopong.

“Mama!” Sufiya memandang mamanya geram. Terasa hangat kedua-dua belah pipi gebunya saat itu.

“Apa mama-mama? Tak betul apa mama cakap? Izhar dah beria-ia tu. Mama on ajelah. Esok anak-anak ada pangkat Syed dengan Syarifah, tak teringin ke?” Terangkat-angkat kening Asmi mengusik sambil memandang ke wajah dua anak muda di hadapannya itu bersilih ganti.

“Saya okey aje Cik.. tapi tak tahulah Pia ni. Manalah tahu kalau dia tak berkenan.” sambut Izhar mahu memanjangkan usikan bersama senyuman penuh makna.

Sufiya menelan liur yang mula terasa pahit.

“Main kasarlah awak ni Har. Saya sedar diri lagilah.. Kita ni macam gagak dengan merak tahu tak? Tak mungkinlah merak nak kahwin dengan gagak..” Kenyataan yang merupakan satu fakta sahih! Tidak boleh disangkal lagi.

“Itu kes merak dengan gagak. Bukan kita Sufiya. Kita ni manusia. Kenapa? Awak ingat saya macam lelaki lain ke? Kena cari perempuan cantik, kurus, pakai high heels, baru boleh buat calon isteri hmm?” Tingkah Izhar tenang.

“Mama tak nak masuk campur.” Asmi beredar dari ruang dapur itu. Malas mencampuri hal orang-orang muda. Apa-apa pun, andai Izhar serius dengan apa yang diluahkan sebentar tadi, dia tumpang gembira. Dia sendiri akui bukan mudah untuk bertemu dengan seorang lelaki yang segak, indah paras rupa ingin menerima gadis bertubuh gempal seperti anaknya itu sebagai teman hidup. Sukar sekali untuk ditemui pada alaf ini!

Sufiya hanya memandang mamanya yang berlalu bersama sengihan mengusik sebelum mata dihalakan ke wajah Izhar yang tersenyum-senyum.

Game dah habislah Har.” ujarnya lalu menunduk. Tangan lincah menghias kek red velvet yang masih berbaki. Malas mahu melanjutkan bicara yang mula mengundang debar di hatinya itu.

“Awak tak jawab soalan saya Pia..” lembut Izhar membalas. Masih mahu melihat reaksi gadis itu akan rentak bicara yang berubah serius.

Tangan Sufiya terhenti. Wajahnya diangkat kembali. Mata dipicingkan.

“Janganlah main-main Har. Awak tak payah nak uji hati saya. Saya sedar siapa saya. Saya bergurau aje tadi. Tak mungkin saya nak dekat awak. Dan sangat mustahil awak nak saya.” balasnya cuba menenangkan diri. Sedikit resah saat membalas renungan Izhar yang sedikit berlainan kala itu.

“Kalau saya serius, boleh awak serius?” Duga Izhar lagi.

Sufiya senyum segaris. Mata dihalakan ke arah susunan kek red velvet di hadapannya.

“Tak ada ‘kalau’ Har..” jawabnya setenang mungkin. Dan sebenarnya dia berusaha untuk bertenang berhadapan dengan lelaki yang tiba-tiba berubah watak tidak seperti kebiasaannya itu.

Izhar lorek senyum penuh makna.

“Pia.. kalau awak sudi, kita..”

“Har!”

Izhar lebarkan senyum.

“Saya tak paksa. Tapi peluang sentiasa terbuka untuk awak sementara saya single and available ni...” Lanjut Izhar selamba sebelum dia mengeluarkan beberapa helai not lima puluh untuk membayar harga marie cheese yang ditempah.

Sufiya terdiam.




Sep 9, 2014

Yang tak pernah kuharapkan_bab 1

Assalamualaikum.

Adalah diharap sudi berkenalan dengan kisah baru ini. :)

p/s- kepada yang masih berminat untuk mengikut group di facebook, boleh check akaun fb saya Dontbe Sad dan pastikanlah ianya SAYA. Boleh tengok profile picture pada entry yang semalam ya. Sekian. :)

.............
Yang Tak pernah Kuharapkan_bab 1

YTPK 1

“Ni, kenapa monyok aje ni? Macam mana interview tadi? Okey?” Soal Asmi sebaik anak tunggalnya itu menghenyakkan tubuh ke sofa.

Confirm tak dapat!” jawab Sufiya separuh geram.

Masih terbayang-bayang lagi seraut wajah sinis yang memperkecil-kecilkannya yang tidak kecil tadi.

“Baru naik tingkat dua dah termengah-mengah ni, boleh ke buat kerja nanti hm?” Lelaki segak yang mengenakan blazer hitam, berpeluk tubuh merenung tajam ke arahnya.

“Er.. lama tak panjat tangga. Tu yang mengah sikit tu.” jawabnya jujur seraya menahan hati sebaik terpandang akan seraut wajah yang cukup dikenali itu. Wajah yang paling dibenci sejak zaman kampus lagi. Muka berlagak bagus-bagus!

“Ia ke? Maknanya badan awak tak fit la. Macam mana kalau saya nak suruh awak hantar dokumen ke department lain kalau naik tingkat dua dah macam nak sesak nafas ni?” Tembak lelaki itu lagi menyebabkan kian sempit ruang nafas yang sedia sempit itu. Bibir sedaya upaya memaniskan senyum tanpa mahu membalas walaupun hati mula memaki hamun lelaki segak bertali leher hitam itu. Ruang dada yang sedia berbahang bertambah perit apabila melihat senyuman mengejek yang terbias dari bibir gadis berkemeja putih di sisi lelaki itu.

“Cik Nurul Afni Sufiya, saya bercakap dengan awak ni.” Lelaki itu menegaskan suara. Wajah kacak itu berubah serius. Hilang terus senyuman sinis yang terpampang tadi.

“Er.. Insya-Allah. Saya boleh buat kalau pihak tuan beri saya peluang.” Tergagap-gagap dia membalas bersama senyuman paksa.

Lelaki itu kembali menarik senyum. Senyuman yang menyakitkan hatinya hingga kini. Kalau dia tahu Yusran Adief kerja di situ dan bertindak pula sebagai Eksekutif Sumber Manusia di syarikat penyiaran swasta itu, pasti dia tidak ke situ. Semua ini hanya kerana sepupunya, Zafiq yang beria-ia menyuruhnya memohon kekosongan jawatan penolong pegawai tadbir yang ada.

“Tak apalah. Tak ada rezeki Pia dekat sana. Pia carilah tempat lain..” pujuk Asmi lembut.

“Macam mana nak dapat kalau si bagus-bagus tu yang jadi interviewer. Memang Pia takkan dapat ma.” rungut Sufiya tidak puas hati. “Kalau Pia tahu tu tempat kerja dia, jangan harap Pia ke sana. Buang masa betul!” Hamburnya lagi sebelum bingkas. Terus sahaja dia ke bilik untuk mencari sasaran. Ingin dihamburkan kemarahan yang dipendam sejak dari dalam kereta tadi. Htc OneX dicapai dari dalam tas tangan. Segera nama Zafiq dicari.

“Kau saja nak kenakan aku ke apa!” Tempelaknya terus sebaik panggilan bersambung.

“Kenakan apa pulak ni?” balas suara garau di hujung sana tanpa rasa bersalah menyebabkan di terus mengetap bibir kuat. Kalau Zafiq di hadapannya, mungkin kepala lelaki itu sudah diketuk-ketuk untuk melepaskan geram.

“Kau tahu, aku menyampah dengan si bagus-bagus tu kan? Apasal kau suruh aku interview dekat sana?!”

Klik!

“Zafiq!!!”

Sekuat hati dia menjerit sebaik talian terputus. Sudah dijangkakan tindakan sepupu merangkap teman sejak kecilnya itu. Diketap kuat bibirnya menahan kemarahan yang tidak sempat dihamburkan.

*******
Resume di tangan, ditenung buat ke sekian kali. Bibir mengoyak senyum paling lebar. Teringat bagaimana kekalutan Sufiya saat masuk ke bilik temu duga sebaik ternampak wajahnya tadi. Merah! Itu yang mencuit hatinya sejak dahulu lagi saat kali pertama mereka bertemu. Namun, perasaan yang ada itu tidak pernah terluah dan sengaja sering disisihkan hanya kerana fizikal gadis bernama Nurul Afni Sufiya. Si bumbum! Itu gelaran yang diberi memandangkan bentuk tubuh gadis itu langsung tidak menarik atau dengan erti kata lain gemuk!

“Kenapalah kau tak kurus-kurus sampai sekarang..” keluhnya perlahan apabila teringat kembali insiden hampir sepuluh tahun lalu di saat kali pertama mereka bertemu.

Buk!

Lengannya dilanggar seseorang dari arah belakang dengan tiba-tiba menyebabkan hampir sahaja tubuhnya hilang imbangan tetapi masih sempat dikawal. Tali beg sandang yang terlurut dari bahu, ditarik semula sebelum mata dihalakan ke arah gerangan yang melanggarnya sebentar tadi.

“Buta ke apa, aku yang besar ni dia langgar!” Omelnya sedikit geram apabila gadis bertubuh gempal yang baru sahaja melanggarnya langsung tidak berpaling.

Buk!

“Adoi!”

Dia yang berkira-kira ingin mengejar langkah gadis yang melanggarnya tadi, terus tergamam melihat panorama di hadapan mata. Gadis gempal berbaju kurung cotton biru muda yang melanggarnya tadi baru sahaja tergolek di atas tangga di hadapannya. Hati mula digeletek lucu dan hampir sahaja tawa terhambur.

“Macam nangka busuk. Tu la.. langgar aku lagi. Tak fasal-fasal kena tulah!” bebelnya dalam hati. Kaki mengorak langkah ingin mendapatkan gadis itu memandangkan tiada siapa yang berhenti untuk membantu. Dan saat beberapa tapak lagi dia menghampiri, kaki terhenti. Ada seorang lelaki berkaca mata menghampiri gadis tersebut menyebabkan dia terus mematikan niat.

Gadis yang asyik menunduk sambil menggosok siku yang mungkin terasa sakit, dipandang tanpa lepas. Sabar dia menanti ingin melihat wajah yang melanggarnya sebentar tadi dan dalam masa yang sama, yakin mereka sama-sama pelajar baru yang berdaftar ke kampus induk UPM itu.

“Tu la.. yang kau gelojoh sangat kenapa? Tak adanya kaunter tu nak lari. Sekarang siapa susah? Tak fasal-fasal pulak nak hantar kau pergi hospital.”

Terdengar bebelan lelaki yang duduk bertinggung di sisi gadis itu sambil mengutip segala jenis kertas yang bertabur di atas anak tangga.

“Manalah aku tahu nak jatuh ngok!” balas gadis tersebut seraya mengangkat muka.

Dan dia yang memerhati sejak tadi, entah kenapa tidak semena-mena menahan debar halus yang mula menjalar sebaik seraut wajah yang memerah menahan sakit menggamit ruang mata. Walaupun menyeringai menahan sakit, ia sedikit pun tidak mencacatkan segala yang ada. Alis mata yang cukup cantik terbentuk, hidung sedikit mancung bersama dua ulas delima merah yang merekah itu, amat memikat hati. Saat renungan jatuh pada tubuh, mata terus dihalakan ke arah lain. Mati terus debar halus yang mengusik. Putus selera! Gemuk tambah gemuk, sama dengan gemuk kuasa dua. Persamaan itu tidak mungkin akan berlaku kerana dia berazam mahu menurunkan berat badan sebaik sahaja melangkah masuk ke kampus yang dahulu dikenali sebagai universiti pertanian.

“Sayang.. muka cantik, badan.. bumbum!” Itu kesimpulan hatinya bersama sengihan sinis sebelum kembali menyambung langkah. Gadis yang masih duduk di tepi tangga itu hanya dipandang tepi saat dia melewati.

Hari ini, selepas lima tahun mereka tamat belajar, dia bertemu lagi dengan si bumbum. Kecomelan wajah itu masih tidak berubah. Tidak menyangka wajah itu masih mampu menggetarkan hati lelakinya seperti kali pertama mereka bertemu. Perasaan yang ditanam jauh-jauh ke dasar hati agar tidak dihidu oleh sesiapa pun termasuklah sepupu gadis itu sendiri, Zafiq yang juga teman sekuliah dan sebilik ketika di kampu dulu..

Mana mungkin hal itu mahu dikongsikan kepada sesiapa memandangkan kedudukannya sebagai salah seorang ahli jawatan kuasa tertinggi Majlis Perwakilan Pelajar, mempunyai rupa paras yang sering menjadi dambaan perempuan apabila dia berjaya menurunkan berat badan dengan jayanya tetapi meminati gadis seperti si bumbum itu. Dia sendiri tidak faham dengan hatinya bagaimana si bumbum itu yang menjadi pilihan. Sering kali akal dan hati berperang menyebabkan dia sedaya upaya menanam benih benci terhadap gadis itu. Ada sahaja yang dilakukan semata-mata untuk menyakiti Sufiya walaupun sering dimarahi oleh Zafiq.

Getaran dari atas meja kerjanya menyentakkan lamunan. Sebaris nama yang terpampang di skrin 5s dipandang bersama sengihan. Sudah dapat menjangka akan panggilan itu.

What’s up?” Itu yang meniti bibir sebaik panggilan disambungkan. Senyumnya meleret.

“Kau buat apa bro?” Soalan itu menyapa gegendang telinganya menyebabkan tawa terus terhambur.

“Kau rasa?”

“Mengamuk anak orang tu dengan aku.”

Tawanya terus bersambung.

“Kau tahu aku takkan terima kan? Eloklah dia terus dengan business online dia tu.”

“Masalahnya, kau bagilah chance. Dia okey apa? Kalau tak, aku tak suruh dia mintak dekat tempat kau tu.” Suara Zafiq kedengaran lagi yang jelas menyebelahi Sufiya.

“Okey kau cakap? Baru aku test sikit, muka dah merah padam. Apa tu?”

Test apa yang kau bagi?”

“Adalah..” jawabnya dengan sengihan.

“Kau jangan main-main Ran. Profesional la sikit.” Suara Zafiq mulai serius.

Sorry bro. Bab kerja, aku memang profesional. Dah memang bukan rezeki dia kerja dekat tempat aku. Aku takkan campur hal personal dengan kerja bro. Ada candidate yang jauh lebih layak dari dia. Takkan sebab member, aku nak kena ambil dia? Nampak sangat aku tak pro.” jelasnya yang juga mulai serius.

“Tak adalah Ran. Aku tak sukalah kau main-mainkan dia. Bukan aku tak tahu kau tu. Kau dari dulu memang tak suka dia dekat dengan kau kan?”

Dia senyum. Kalaulah Zafiq tahu apa yang pernah terdetik di hatinya dahulu. Dan bukan sahaja dahulu, mungkin kini rasa itu masih berbekas lagi menyebabkan hingga kini hatinya masih tidak terisi dengan mana-mana gadis walaupun ada sahaja yang cuba mengimpitnya.

…………..
Mixer diletakkan ke tepi sebaik whipping cream siap dipukul hingga kental. Kemudian, dalam bekas yang sama, dimasukkan campuran susu pekat bersama cream cheese yang sudah dikacau sebati.

“Siapa pulak yang tempah ni?” Asmi masuk ke ruang dapur.

Semenjak anaknya itu tidak bekerja, itulah yang dilakukan. Menerima tempahan segala jenis dessert melalui dalam talian. Dan dia perasan anak tunggalnya itu cukup bersungguh-sungguh melakukan kerja tersebut dengan penuh minat.

“Tak ada siapa.” Selamba Sufiya menjawab.

Tangan lincah mematahkan biskut marie dan disusun ke dalam bekas lut sinar segi empat.

“Pia.. takkan sebab marah pada si bagus-bagus Pia tu lagi? Sudahlah tu Pia. Percaya pada rezeki. Apa yang Pia buat sekarang ni pun, rezeki kan? Banyak tempahan yang Pia dapat. Kadang-kadang sampai tak menang tangan pun.” Lembut Asmi menasihati walaupun dia sendiri tidak pernah bertemu dengan gerangan lelaki yang dimaksudkan.

Sufiya diam. Tiada hati mahu membalas. Sememangnya rasa sakit hati belum pun surut. Dengan cara memasak sahaja yang mampu dilakukan demi meredakan sakit hati yang berbuku.

“Pia..”

“Pia tahu semua tu ma. Cuma Pia geram dengan si bagus-bagus tu. Zafiq pun satu. Siap dia, kalau dia datang nanti. Memang Pia sumbat-sumbat mulut dia dengan marie cheese ni dalam mulut dia!” Hambur Sufiya akhirnya. Dalam pada itu, berhati-hati dia menaburkan serbuk coklat di atas biskut yang siap disusun tadi sebelum disapu pula dengan lapisan cream cheese dan teknik tersebut diteruskan hingga adunan habis.

“Pia, banyak hikmah apa yang jadi selama ni. Tengok Pia sekarang. Dah maju business online Pia. Lagi pun, kalau Pia buat kerja lain, mesti tinggalkan mama sorang-sorang. Mama dah tak ada siapa lagi Pia. Mama cuma ada Pia aje.” Suara Asmi berubah sayu pula apabila mengenangkan keadaan mereka. Sejak pemergian suaminya dua puluh tahun lalu, hidupnya hanya bersama anak tunggalnya itu. Cukuplah empat tahun anaknya itu tinggal di kampus, dia tidak sanggup lagi tinggal bersendirian. Tambahan pula dalam umur yang sudah menginjak senja itu.

“Mulalah mama tu..” rungut Sufiya sambil mengerling wajah keruh Asmi di sisi. Sedia maklum akan kata-kata yang mampu mengusik hatinya sendiri. “Pia tahulah ma.. sebab tu, kalau boleh Pia nak cari kerja dekat-dekat aje. Kalau boleh depan rumah tu ha.. biar Pia nampak apa yang mama buat dari sana.” luahnya pula cuba memujuk.

Asmi tersenyum tawar. “Pia ni, tak adalah sampai macam tu sekali. Tapi, sementara Pia belum kahwin ni la mama nak Pia selalu ada dengan mama. Esok-esok kalau Pia dah kahwin, dah tak merasa la..” Luahnya perlahan sambil membantu anaknya itu menyusun biskut di dalam bekas lut sinar tersedia.

“Belum tentu lagi Pia kahwin ma.” Sufiya tersengih-sengih menyebabkan timbul beberapa garis di dahi Asmi.

“Kenapa cakap macam tu? Pia bukan tahu apa yang jadi masa depan.”

Sufiya tersengih lagi.

“Pia tak fikir pun semua tu ma. Pia cuma fikir mama aje sekarang ni. Kalau ada jodoh Pia esok lusa, kalau boleh Pia nak duduk dengan mama. Pia tak nak mama duduk sorang-sorang. Sakit-sakit nanti, susah hati Pia.” ujarnya seikhlas hati.

Sungguh hal nikah kahwin menjadi matlamat terakhir dalam hidupnya. Dia percaya pada ketentuan yang Maha Esa. Lagi pula, dia sedar akan keadaan diri. Selama ini, belum ada mana-mana lelaki yang berani menyuarakan hasrat hati ingin berteman dengannya. Hanya seorang sahaja lelaki yang benar-benar ikhlas bersahabat dengannya sejak kecil iaitu Zafiq. Lelaki itulah yang banyak melindunginya dari anasir-anasir mulut jahat yang sering mengejek akan bentuk fizikalnya.

“Eh.. ada pula macam tu. Lepas Pia kahwin, Pia bukan lagi hak mama. Pia kenalah ikut kata suami Pia. Takkanlah suami Pia nak ikut cakap Pia..” balas Asmi.

“Habis tu, kesianlah mama nanti. Siapa nak jaga mama? Kalau Pia kenal dengan orang jauh macam mana?” Wajah Sufiya mula berubah keruh. Ah! Dia memang anak mak, cengeng dan memang tidak boleh berenggang. Jika tinggal di kampus dulu, hampir setiap hujung minggu dia pulang ke rumah. Mujur jarak rumah dengan kampus hanya memakan masa dua jam perjalanan.

“Kalau dah susah-susah sangat, Pia kahwin ajelah dengan Izhar. Nak kata tak handsome, sejuk dah mata mama tengok. Kaya? Insya-Allah.. Takkan berlapar anak mama ni nanti. Paling penting sekali, rumah dekat. Dekat taman belakang tu aje kan?” Asmi sengaja mengusik.

Dia sedia maklum bilangan sahabat lelaki anak tunggalnya itu. Boleh dibilang dengan jari. Yang dia tahu, si Zafiq, si bagus-bagus dan juga Syed Izhar. Zafiq sudah pasti anak saudara suaminya sendiri. Si bagus-bagus adalah rakan sekuliah dan juga teman baik Zafiq serta sebenarnya tidak termasuk pun dalam senarai sahabat lelaki anaknya itu. Dan Syed Izhar pula merupakan satu-satunya lelaki yang dirasakan cukup ikhlas berkawan dengan anaknya itu apabila mereka sering berhubung atas urusan perniagaan atas talian yang dilakukan.

Syed Izhar yang memiliki sebuah kedai kek dan pastri sering membuat tempahan daripada anaknya itu jika pihak mereka tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan. Bukan itu sahaja, anak muda itu jugalah yang banyak membantu perniagaan atas talian anaknya kepada peminat setia kek dan pastri sejak setahun yang lalu.

“Erk? Pandai-pandai aje mama ni nak orang kahwin dengan Izhar. Pia dengan dia kawan ajelah ma. Kawan business. Lagi pun, dia dah ada tunang tahu tak? Dia sikit pun tak pandang Pia ni.” nafi Sufiya bersama gelengan. Mengarut mama ni!

Bekas lut sinar yang sudah pun penuh dengan lapisan biskut dan cheese, terus ditutup dan dimasukkan ke dalam peti sejuk sebelum dia mula membuat susunan baru dalam bekas yang lain.

“Mama gurau ajelah. Mama tahu. Kan Pia dah cerita hari tu. Takkanlah Pia sanggup nak rampas hak orang kan.. Anak mama bukan perampas. Mama yakin dan percaya qadak qadar Allah. Dia jadikan semua makhluknya berteman. Cuma lambat atau cepat aje.” balas Asmi bersama senyuman. Dia faham akan perasaan anaknya yang seorang itu. Apa pun, dia hanya mampu berdoa agar Allah temukan jodoh yang baik-baik buat Sufiya. Itu doanya saban waktu agar hatinya mampu tenang sentiasa jika dia sudah tiada nanti.



.................
kepada yang masih saya belum approve, bersabar ya. sebab saya dah poningg.. haha