Oct 14, 2016

Dia yang Dicari_part 1


“A.. Ain..” Dalam kepayahan dia bersuara kerana tekak yang terasa kering. Disentuh tangan sahabat yang setia menemaninya sebelum masuk ke bilik pembedahan semalam. Sesekali dahi berkerut menahan sakit di bahagian bawah perut. Ubat bius yang kian menghilang menyebabkan kesan pembedahan mula terasa.

“A..Ain..” Dipanggil lagi sahabatnya yang terlena di tepi katil. Berusaha menggoncang bahu gadis itu pula.

Ain terpisat-pisat membuka mata. “Dee.. Sorry. Aku mengantuk sangat.” Diraup wajahnya beberapa kali. Cuba membuang sisa kantuk yang masih terasa.

Sorry aku dah susahkan kau, Ain..” ucap Deena perlahan.

“Jangan cakap macam tu, Dee.. Masa ni la aku nak balas budi kau. Kau dah banyak tolong family aku sebelum ni. Apalah sangat yang aku buat ni.” Ain genggam tangan Deena yang terasa dingin.

“Terima kasih, Ain..” Lirih. Ada air jernih yang bertakung di tubir matanya.

“Sama-sama.. Kau ada nak apa ke? Awal lagi ni.” Ain kerling jam di pergelangan tangannya. Baru 2 pagi.

“Aku haus…”

Ain senyum segaris. Tangan terus mencapai gelas kosong tersedia di tepi katil dan diisikan dengan air suam.

“Kan doktor suruh kau baring aje. Luka tu baru lagi..” Ain menahan saat Deena cuba untuk menegakkan tubuh.

Deena mengalah. Dia terbaring semula. Ain terus suakan gelas bersama sebatang straw.

“Dee..”

Deena pandang wajah Ain dalam samar cahaya bilik wad yang ditempah khas itu.

“Er.. Kau memang tak nak bagi tahu mummy dengan abah kau ke?” Sambung Ain serba tidak kena.

Deena lepas helaan berat. Pandangan dihalakan ke arah siling putih tidak bercorak.

“Aku tak nak mummy dengan abah aku risau, Ain. Lagipun, aku cuma buat minor operation. Tak serius mana.” jawabnya setenang mungkin walaupun keadaan sebenar sebaliknya. Ada risiko yang ditanggung seumur hidup.

“Tak serius kau kata? Kau tahu apa kesannya kan?”

Terlepas lagi helaan berat. Dan kali ini, hujung matanya kembali hangat.

“Dee..” Tubuh Deena didakap. Cuba meredakan kesedihan yang ada.

******

“Kenapa mummy rasa badan Dee sekarang makin kurus? Sebelum pergi holiday, elok aje. Ni dengan muka pucat macam orang tak sihat. Mak Dah kata, Dee ada mintak dia buatkan sup ikan haruan hari ni. Dee tak sihat ke? Pati ikan haruan yang berbotol-botol dekat dapur tu, Dee yang minum?”

Semua mata yang ada di meja makan sudah terhala ke arah Deena. Senyum berusaha diukir buat tatapan semua ahli keluarganya.

Er… Kan ikan haruan elok untuk kesihatan, mummy,” jawabnya sedikit tergagap-gagap. Tak mampu nak dipandang muka si ibu. Risau akan penipuan yang dicipta dapat dibaca. Dia tak mahu ahli keluarganya tahu akan keadaan diri yang masih melalui proses pemulihan.

“Erm.. bukan ikan haruan ni untuk orang dalam pantang atau yang ada operation aje ke mummy?” Nazirah mencelah sambil melirik ke wajah kakak sulungnya yang agak cengkung. Dia perasan seperti ada sesuatu yang disembunyikan daripada pengetahuan mereka sekeluarga apabila tingkah gadis itu sedikit pelik di matanya sejak pulang bercuti selama seminggu.

“Memanglah.. Tapi yang sihat pun boleh makan. Memang elok untuk kesihatan..” sahut Puan Hasyimah tanpa syak.

Deena tabur senyum. Sempat matanya menghadiahkan jelingan tajam ke wajah adiknya itu.

“Dee jadi nak tumpang abah pergi kerja tak ni?” Haji Zainal tiba-tiba bersuara.

“Er.. jadi..”

“Balik nanti macam mana?”

“Er.. nanti mintak Ain hantarkan.”

“Kalau lambat lagi kereta Dee siap, Dee bawalah kereta abah. Nanti abah boleh bawak kereta lama.” Haji Zainal pandang wajah anak sulungnya yang sedikit pucat itu.

“Er.. tak apa bah. Esok lusa siap kut. Tapi kalau abah rasa susah nak hantar Dee, Dee tumpang abah sampai stesen komuter. Dee naik komuter aje, bah.” Deena lempar senyum.

“Tak payahlah susahkan diri nak berebut naik komuter. Dee tu, abah tengok macam tak sihat sangat lepas balik bercuti. Kalau Dee rasa tak boleh bawak kereta, abah boleh hantar. Jangan drive kalau rasa tak sihat. Buat risau abah aje nanti.” Tegas Haji Zainal.

“Er.. iyelah.. Terima kasih bah..”

“Hm.. Kalau dah siap, jom. Nanti lambat sampai ofis. Tahu ajelah jalan pagi-pagi ni.” Haji Zainal bingkas sebaik menghirup habis air kopi daripada cawannya.

Puan Hasyimah turut bingkas. Mengiringi langkah suami ke ruang hadapan. Manakala Deena perlahan-lahan bangun sambil memegang bawah perutnya seketika.

“Kaklong, kau sakit ya sebenarnya?” Tegur Nazirah dengan riak curiga.

“Tak payahlah sibuk!” Tukas Deena sebelum terus meninggalkan ruang makan itu.

*******

“Ain…”

Ain angkat wajah. Tunak memandang sahabatnya itu seraya menyedut jus epal di hadapannya.

“Kau rasa, bila masa yang sesuai untuk aku kahwin?” ujar Deena tanpa rasa bersalah.

Tetapi sebaliknya pula yang berlaku pada sahabatnya itu. Tersedak! Mujur tak tersembur air ke muka Deena.

“Kau serius ke?” Ain lap mulutnya dengan sehelai tisu.

“Kau ada nampak aku main-main ke?” balas Deena dengan wajah yang serius.

Ain lepas nafas. “Nikah kahwin bukan macam main pondok-pondok Dee..” Dia mengingatkan.

“Tu aku tahulah.. Cuma masalahnya sekarang ni, aku langsung tak ada calon yang sesuai.” Berkerut-kerut wajah Deena memikirkan masalah yang dihadapi. Dia mahu segera bernikah hanya kerana tak mahu kempunan melalui detik-detik manis sebagai seorang ibu. Cukuplah walaupun hanya sekali. Ia sudah memadai.

“Selama ni, kau bukan banyak kawan lelaki ke, Dee? Sampaikan ada yang kau reject mentah-mentah bila dia orang nak masuk meminang.”

“Kawan memang ramai, Ain.. Tapi, tu semua tak janjikan apa-apa pun. Yang masuk meminang dulu pun, sebab aku tak sedia nak ada komitmen lagi..” Luah Deena bersama helaan panjang. Ada penyesalan mencuit hati apabila mengenangkan riak kecewa yang terpamer pada wajah lelaki yang pernah begitu mengharapkan balasan cintanya.

“Aku tak tahu nak cakap macam mana, Dee.. Kau nak kahwin semata-mata ikut kata doktor? Doktor cuma cadangkan aje. Dia tak kata pun kau kena kahwin cepat-cepat, tergesa-gesa sampai terdesak macam ni. Aku risau, kalau ada lelaki yang cuba nak ambil kesempatan nanti..”

“Tu belakang kira, Ain.. Yang penting sekarang ni, aku ada peluang lagi untuk ada anak sendiri, jadi ibu.. Aku takut kalau jadi lagi macam hari tu. Dan masa tu, aku nak menyesal pun dah tak guna. Sebab tu sekarang ni, kalau ada mana-mana lelaki yang sanggup nikah dengan aku, then nak tinggalkan aku lepas aku ada baby pun, aku tak kisah..” Tanpa berfikir panjang Deena menjawab dan jelas benar dia terdesak hanya kerana keadaan rahimnya dah tak sempurna dulu. Ketumbuhan cyst di kawasan sebelah kiri rahim menyebabkan sebahagiannya terpaksa dibuang. Itu pun dia masih bernasib baik kerana ia bukan ovarian cancer yang boleh meragut nyawanya. Namun ketumbuhan yang dialami tidak mustahil akan berulang.

“Astaghfirullahal aazim.. Cuba bawak mengucap, Dee. Kau ingat, kita tengah buat skrip drama ke? Kau dah kahwin, dah ada anak… Lepas tu, senang-senang nak biar suami kau blaah macam tu aje? Kau gila ke apa Dee? Aku tak setuju kalau kau nak kahwin semata-mata sebab tu. Kau ingat, kau boleh beli amanah besar tu dari Tuhan semudah kau petik jari? Kau jangan haraplah Dee. Dia pun takkan izinkan walaupun kau dapat cari lelaki yang sanggup nikah dengan kau. Kalau Dia tak nak bagi, kau takkan dapat pun Dee…” jawab Ain panjang lebar.

“Habis tu, kau nak aku buat apa lagi? Nak tunggu sampai ada orang masuk meminang? Aku tak ada masa nak tunggu tahu tak?” Tingkah Deena tegas.

Ain hela nafas panjang lagi. Dia sendiri buntu untuk membantu sahabatnya itu.

“Macam ni la Dee.. Aku rasa, elok luka operation kau tu sembuh betul-betul baru kau fikir hal ni semula..”

Deena geleng. “Luka aku dah nak sembuh. Dan aku tak ada masa nak tunggu, nak buang masa lagi.. Umur aku pun dah banyak, Ain. Bukan muda lagi..” Dia tekad.

“Habis tu, apa yang kau nak cakap pada abah dengan mummy kau kalau tiba-tiba cakap nak kahwin?”

“Aku yakin dia orang akan setuju. Sebab sebelum ni, dia orang yang beria-ia nak aku kahwin.” Tenang Deena jawab.

Ain lepas nafas lagi. Tangan urut pelipis seketika apabila memikirkan masalah yang dihadapi sahabatnya itu. “Kalau kau dah cakap macam tu, aku nak cakap apa lagi. Cuma aku tak nak kau menyesal di kemudian hari. Tu aje Dee.. Hidup berumah tangga ni, bukan untuk sehari dua. Penyatuan dua hati yang cukup ikhlas dan atas kerelaan antara satu sama lain yang mampu menjamin kebahagiaan rumah tangga kau nanti..” Nasihatnya ikhlas.

Deena capai tangan Ain di atas meja. Diramas lembut. “Ain, tolong aku.. Kau aje yang boleh tolong aku sekarang ni..” Penuh mengharap.

Ain tarik senyum segaris. Genggaman Deena dibalas seadanya. “Insya-Allah Dee.. Aku akan tolong mana yang termampu..”

Thanks Ain.. So, our first step is.. cari lelaki yang kau rasa mampu menawan hati abah dengan mummy aku.. dan paling penting sekali, dia mampu bagi aku zuriat.” Senyum lebar terhias di bibir bercalit gincu merah jambu itu.

Ain lepas keluh. Menggeleng beberapa kali. “Kau memang gilalah Dee. Kau nak aku tanya dekat lelaki tu macam ni ke? Awak subur tak? Kalau tak subur, sorry. Reject!”

Deena ketawa. “Tak adalah sampai macam tu sekali.”

“Habis tu?”

Deena sengih. “Yang tu, insya-Allah. Nanti aku google ciri-ciri lelaki subur.” tawanya bersambung. Sekadar gurauan walaupun dia sedara tindakannya berisiko tinggi.

“Aku rasa, doktor patut check dalam kepala kau sekalilah Dee. Entah wayar apa yang dah terbakar agaknya.” jawab Ain separuh geram bila sahabatnya itu masih boleh bergurau.

“Rilekslah Ain.. Aku gurau ajelah. Aku ni cuma ikhtiar mana yang mampu. Kalau dah takdir Tuhan aku memang takkan ada anak walaupun dah kahwin, aku nak cakap apa lagi? Aku reda, Ain..” Nada Deena berubah serius. “Kalau orang dengar, memang orang akan kata aku ni dah gila. Tapi, pilihan apa yang aku ada Ain? Ni aje yang terbaik untuk aku cuba.” sambungnya bertukar lirih.

Ain capai tangan Deena atas meja. “Dee, aku cuma tak nak kau menyesal. Aku pun nak kau hidup bahagia macam orang lain..”

Thanks Ain.. Insya-Allah. Kau doakan aku ya?”

Ain senyum segaris. Angguk.

So, first step for today… aku nak kau kau tolong aku, call semua nombor-nombor ni.” Deena keluarkan sehelai kertas dari dalam tas tangannya.

“Hah?” Mata Ain buntang.

Deena sengih lagi. Penuh makna!

*******

Korset yang membaluti tubuh sepanjang hari itu, dibuka perlahan-lahan dan diletakkan ke birai katil sebelum blouse longgar disarungkan. Nafas ditarik dalam-dalam dan dilepaskan sebelum punggung mencecah tilam empuknya. Perlahan-lahan tubuh direbahkan dan berbaring dengan selesa demi meredakan rasa sakit yang ada pada luka pembedahan. Mata dipejamkan. Mahu membuang lelah seharian bekerja dalam keadaan tubuh yang belum benar-benar sihat. Hanya kerana mahu menyembunyikan keadaan diri yang sebenar, terpaksa dikerah segala tenaga yang masih bersisa untuk melaksanakan segala tanggungjawab di pejabat yang dah ditinggalkan selama seminggu.

Ketukan tiba-tiba di pintu mengganggu ketenteramannya menyebabkan dia terpaksa bingkas kembali kerana pintu yang dikunci.

“Mak Dah..” Senyum kecil dilabuhkan buat pembantu rumah kesayangan semua ahli keluarganya sebaik daun pintu terkuak. “Ada apa Mak Dah?” Lembut dia menyoal.

“Maaf kalau Mak Dah ganggu, Kaklong. Mak Dah dah nak balik ni. Sup yang Kaklong nak tu, Mak Dah dah siapkan. Nanti Kaklong jangan lupa makan. Biar cepat sikit sembuh luka tu..” ujar Mak Dah seperti berbisik kerana takut didengari ahli keluarga yang lain.

Deena capai tangan Mak Dah dan dikucup sekali. Wanita itu sudah dianggap seperti ibunya sendiri. “Terima kasih Mak Dah. Sorry Kaklong dah susahkan Mak Dah..” Lembut dia menuturkan.

“Apa yang susahnya? Kan memang dah kerja Mak Dah.” Mak Dah usap pula pipi cengkung Deena. Dia sedia maklum akan keadaan anak majikannya selepas diberitahu keadaan sebenar yang menjadi rahsia antara mereka. “Kaklong jangan lupa makan ubat. Mak Dah risau tengok Kaklong tak sihat macam ni..” keluhnya pula. Ada rasa simpati dalam hatinya melihat keadaan Deena yang terpaksa merahsiakan keadaan sebenar.

“Insya-Allah Mak Dah. Mak Dah janganlah risau. Kaklong dah okey. Cuma nak tunggu luka yang dalam baik aje.” Deena senyum lagi.

“Kaklong kalau tak sihat, tak payahlah pergi kerja dulu. Kaklong kena rehat betul-betul.. Luka dekat dalam yang kita tak tahu, jangan ambil mudah aje.”

“Mak Dah ni.. Ni yang Kaklong malas nak bagi tahu. Mesti Kaklong kena bebel..” Deena dah masam muka walaupun sebenarnya senang kerana ada orang mengambil berat akan kesihatan diri.

“Hesy! Mak Dah cakap apa yang betul. Kaklong kena sayangkan diri Kaklong tu. Umur Kaklong bukan muda lagi. Lepas ni, boleh cepat-cepat cari calon.” Wajah Mak Dah bertukar serius.

Senyum Deena mengendur. Helaan berat dilepaskan. “Mak Dah, Kaklong takutlah..”

“Jangan cakap yang bukan-bukan! Insya-Allah. Janji Dia pasti. Ada jodoh Kaklong nanti.” Mak Dah terus memintas.

“Tapi Mak Dah.. Kaklong ni..” Deena gigit bibirnya sendiri.

“Kan doktor cakap Kaklong tetap ada peluang untuk ada anak. Apa yang Kaklong nak risau?”

“Kaklong risau kalau Kaklong tak sempat, Mak Dah..” Suara Deena bertukar lirih. Wajahnya keruh.

“Sudah-sudah! Jangan fikir yang bukan-bukan. Kaklong kena positif. Rezeki, jodoh, ajal.. semua dekat tangan Dia. Dia yang Maha Menentukan. Kaklong jangan risau hal tu. Yang penting, Kaklong usaha.”

Deena diam. Terpaksa menelan akan segala bait kata yang terluah walaupun terasa payah. Dia tahu akan hakikat hidup itu. Cuma, perasaan takut yang membelenggu diri, begitu sukar untuk dikawal.

“Hm.. Kalau susah sangat nanti, Mak Dah pinang ajelah Kaklong untuk Abang Nazz. Boleh tak Mak Dah?” Dia kembali bersuara. Sengaja mahu mengusik.

“Nazzri Imran? Adik bertuah Mak Dah tu?”

“Iye la.. Yang dulu duduk obersi tak nak balik tu.. Abang Nazz mana lagi..”

“Kalau ikut hati, memang dari dulu lagi Mak Dah dah pinang Kaklong untuk dia. Tapi dia tu yang banyak songeh sangat. Orang sana juga yang nak dibuat bini. Tapi sudahnya, putus tengah jalan. Apa pun tak jadi..” Mak Dah luah rasa tidak puas hati tentang satu-satunya adik yang dia ada.

“Eh, macam mana boleh putus Mak Dah?”

“Budak perempuan tu tak nak masuk Islam. Si Nazz tu yang disuruhnya masuk agama dia. Gila punya kerja! Nauzubillah! Memang kenalah dia dengan Mak Dah. Nasib baik dia tak ikut perempuan tu!”

Deena tergelak. Lucu melihat wajah bengang Mak Dah. “Tu namanya, tak ada jodoh Mak Dah. Adalah tu jodoh lain Abang Nazz.” Dipaut bahu wanita yang hampir sebaya dengan ibunya.

“Tulah.. Tuhan tu sayang lagi pada budak bertuah tu. Sekarang ni pulak, bila disuruh kahwin, Kaklong tahu dia jawab apa?”

“Apa?”

“Kunci hati Nazz dah hilang. Nazz malas nak cari. Mak Dah rasa macam nak cili aje mulut dia tu! Pandai pulak cakap kunci dah hilang. Sebelum ni, bukan main tak menyempat nak kahwin! Haih!”

Deena tekup mulut. Mahu meledak lagi tawanya bila melihat Mak Dah meniru gaya Nazzri bercakap. Dia tahu lelaki itu dan dapat dibayangkan segala gerak-gerinya bila berkata-kata. Selamba dan tenang selalu.

“Mak Dah ni, tak baik tau cili mulut orang. Maksud Abang Nazz tu, dia tak sedia lagilah… Dia tak ikut girlfriend dia duduk obersi tu pun dah cukup baik Mak Dah..”

“Tak tahulah Mak Dah nak cakap apa lagi. Umur bukannya makin kecil. Entah bila nak sedianya.” keluh Mak Dah.

“Nanti, kalau senang-senang Kaklong jumpa dia, Kaklong suruh dia kahwin cepat-cepat. Kaklong pun dah lama sangat tak jumpa dia lepas dia balik hari tu. Dah berapa tahun tak jumpa. Telefon Kaklong pun tak. Sibuk mengalahkan menteri.” balas Deena cuba mengingati kali terakhir bertemu dengan Nazzri lebih 10 tahun lalu semasa lelaki itu pulang pada cuti semester.

“Mesti best duduk tempat orang tu kan? Sampai susah sangat abang nak balik sini. Dah duduk sana tiga tahun, baru sekali ni abang balik. Lepas ni, mesti tiga tahun akan datang baru Dee boleh jumpa abang lagi. Tu pun kalau masa tu abang ingat Dee lagi. Tak pun, masa tu abang langsung dah tak ingat Dee. Dah tersangkut dengan orang sana, duduk sana sekali. Kan bang?”

Nazzri senyum. Terserlah dua lesung pipit di kiri dan kanan pipinya.

“Dee doa-doalah abang tak jumpa jodoh dekat sana.” Dia senyum lagi.

“Nanti memang Dee doakan abang tak jumpa jodoh dekat sana. Kalau jumpa pun, Dee doakan jodoh abang tak panjang. Biar padan muka abang tak dapat kahwin. Biar Deena kahwin dulu, baru abang boleh kahwin.”

Kata-kata gurauannya masih segar di ingatan hingga ke hari ini. Kata yang langsung tak memberi apa makna pada waktu itu. Dan dia tak sangka, hal tersebut benar-benar terjadi pada Nazzri.




No comments: