Nov 1, 2016

Dia yang Dicari_part 4


Part 4

Pintu yang sedia terbuka, diketuk beberapa kali. Ain kerut kening. Dicuba lagi. Tapi si pemilik bilik tetap tekun meneliti kalender. Ain terus bawa langkah ke depan. Berhenti betul-betul di depan meja Deena yang masih tak sedar kehadirannya.

“Dee!” Ditekan suaranya.

Deena tersentak. Laju dia angkat muka.

“Apa yang best sangat kalender tu sampai aku masuk kau tak sedar ni?” soal Ain pelik sebelum labuhkan duduk.

Deena senyum hambar.

“Ain, kau rasa patut ke apa yang aku buat sekarang ni?” soalan terpacul di bibirnya.

Ain hela nafas. Tubuh disandarkan ke badan kerusi.

“Aku tak tahu nak cakap macam mana Dee. Semua ni terpulang pada diri kau sendiri. Kalau kau tanya pendapat aku, aku memang dari awal tak setuju langsung sebab apa yang kau nak buat ni libatkan orang lain jugak. Paling penting sekali, diri kau sendiri. Hati perasaan kau…” nasihatnya.

“Dah dekat dua bulan ni Ain. Aku takutlah…”

“Kan hari tu Abang Nazz cakap kau sihat. Nak takut apa?”

Deena pula lepas keluh.

“Mula-mula ni memanglah sihat Ain. Akan datang, aku tak tahu...”

“Dee…” Ain capai tangan Deena atas meja.

“Tolonglah percaya pada takdir Dee. Ada rezeki tak ke mana.”

Deena geleng.

“Aku tak boleh tunggu Ain. Aku tetap kena cuba.”

Sekali lagi Ain lepas nafas panjang.

“Masalahnya sekarang ni, kau betul-betul sedia ke nak terima siapa-siapa pun yang bakal jadi suami kau nanti?” sengaja dia menduga.

“Tu hal kedua Ain. Yang penting sekarang ni…”

“No Dee! Benda tu penting. Kau sedar tak apa yang kau nak buat ni libatkan ‘hubungan tu’?” pintas Ain. Sengaja ditekan perkataan hubungan yang cuba disampaikan.

Deena kemam bibir.

“Kau jangan ingat apa yang kau nak buat ni senang ke Dee? Kau kena fikir dalam-dalam sebelum buat keputusan. Kau ingat nak dapat anak tu senang ke? Kau betul-betul dah sedia fizikal mental kau?”

“Er… Aku…” Terkedu. Dia tahu semua tu. Tapi dia tak pernah fikir sejauh itu. Apa yang dia tahu, dia tetap nak cuba.

“Tolonglah Dee. Fikir betul-betul. Kalau kau rasa terdesak sangat, tolonglah cari orang yang kenal. At least aku kenal, family kau kenal.”

Diam. Hanya helaan panjang terlepas di bibir Deena. Cuba menimbal semula apa yang terucap di bibir sahabatnya itu.

******

Jam di pergelangan dikerling lagi buat ke sekian kali. Tetamu yang dinanti, belum juga kunjung tiba. Deena buang pandang ke sekitar kafe yang sedikit lengang. Jus oren di depannya dicapai dan disedut sekali.

“Assalamualaikum.”

Mukanya terangkat.

“Er… Waalaikumussalam. Abang Nazz…” Senyum lambat-lambat dilabuhkan.

Nazzri balas senyum sebelum terus labuhkan duduk.

Deena serba salah. Tak sangka dia boleh jumpa dengan Nazzri di situ lepas dua minggu dia ikut lelaki itu pulang ke kampung. Mereka langsung tak berhubung sepanjang tempoh itu.

“Er… Abang buat apa dekat sini?” Soalnya berbasa-basi.

“Deena pulak buat apa dekat sini?” Soalan berbalas soalan. Senyum tak lekang di bibirnya sebaik ternampak susuk tubuh genit itu sebaik melangkah masuk tadi.

“Er… Deena ada..”

Date?” tebak Nazzri.

Terdiam.

“Kak Dah kata Deena nak jumpa Ikhwan. Budak yang pernah suka Deena masa sekolah dulu. Betul?”

Deena berkerut.

“Macam mana abang tahu Deena nak jumpa dekat sini?” Setahunya, dia tak bagi tahu siapa-siapa pun termasuk Mak Dah. Dia cuma bagi tahu nak jumpa Mak Dah nak jumpa Ikhwan.

“Abang datang rumah tadi. Tapi belum sempat sampai, abang nampak kereta Deena keluar.” jelas Nazzri dengan senyum.

“Abang nak buat apa datang rumah?” Ada risau mula mencuit. Risau Nazzri bagi tahu apa yang dia dah rahsiakan selama dua bulan itu.

Nazzri senyum lagi.

“Sejak bila abang tak boleh datang rumah hmm? Lagi pun abang dah lama tak jumpa abah dengan mummy Deena.”

Deena kemam bibir tahan geram. Cuba menyabarkan hati.

“Abang boleh tak terus terang aje dengan Deena apa sebenarnya tujuan abang datang sini? Deena tak sukalah abang tiba-tiba datang macam ni.” luahnya terus. Sungguh dia tak selesa dengan kemunculan Nazzri yang tiba-tiba. Dalam masa yang sama, dia tak nak Nazzri ganggu apa yang dah dirancang. Ikhwan satu-satunya pilihan terakhir yang dia ada sekarang ni.

“Abang tak nak Deena kahwin dengan Ikhwan.” jawab Nazzri tegas.

Deena tarik senyum tepi.

“Abang tak ada hak pun nak campur urusan Deena.” balasnya berani.

Nazzri lirik senyum. 

“Ikhwan baru aje bercerai bulan lepas sebab pukul bini dia. So, abang rasa tak payahlah Deena nak berangan kahwin dengan dia. Abang tak nak Deena jadi janda muda.” ujarnya terus.

Muka Deena kembali berkerut.

“Abang cakap apa ni?”

“Deena kahwin dengan abang. Abang sanggup asalkan Deena tak kahwin dengan orang lain.” ucap Nazzri lancar.

“Haa?”

Deena terkedu. Tak berkelip dia pandang Nazzri.

“Abang dah fikir masak-masak Deena. Abang dah buat keputusan nak tolong Deena. Abang tak nak lelaki lain mainkan perasaan Deena, ambil kesempatan pada Deena.”

“Err.. Apa abang cakap ni?” Tergagap-gagap. Seperti tak percaya yang baru saja mengetuk gegendang telinganya.

“Deena… Please. Pilih abang. Sekurang-kurangnya Deena boleh letak percaya pada abang.” Nazzri tayang senyum.

Deena geleng kepala. Masih tak percaya apa yang baru sahaja didengar.

“Abang jangan merepeklah!” Dia terus bingkas. Dah tak mampu nak berdepan dengan Nazzri. Lepas satu, satu hal jadi antara mereka.

“Abang tak merepek Deena. Kalau abang merepek, abang tak datang sini jumpa Deena. Abang tak merayu macam ni dengan Deena. Please… Bagi peluang pada abang, bagi peluang pada kita.” ujar Nazzri cuba meyakinkan menyebabkan Deena tak jadi melangkah. Dipandang muka mengharap Nazzri.

“Deena…” Nazzri seru lembut.

“Deena tak tahu nak cakap macam mana. Deena tak boleh fikir sekarang.” balas Deena terus berlalu. Laju langkah dibawa ke kereta. Dah tak peduli lagi temu janji yang dibuat dengan Ikhwan. Panggilan Nazzri pun dia dah tak hirau.

*****

Deena pandang lagi skrin telefon yang dipegang. Sebelah tangan memicit dahi.

Abang setia tunggu jawapan Deena.

Keluhan panjang dilepaskan seraya menyandarkan tubuh dengan selesa di kerusi kerjanya.

Beep!

Jari dilarikan di skrin 5s yang berkelip.

Abang tak ada niat lain. Abang sungguh nak tolong Deena. Please pilih abang. Bukan orang lain. Tolong jangan diam macam ni Deena.

Keluhan terlepas lagi. Dipejamkan mata rapat-rapat cuba menenangkan hati sendiri. Dah dua minggu hatinya tak tenang selepas Nazzri menawarkan diri untuk menjadi suaminya. Suatu yang tak pernah langsung terlintas dalam fikirannya. Dan dalam tempoh itu juga dia belum ada jawapan yang pasti.

“Dee…”

Wajah Ain terjengul di celah pintu. Deena buka mata.

“Ain…”

“Tak nak balik ke? Jom. Dah pukul enam ni.” ujar Ain yang tak bergerak dari pintu.

Deena kerling jam tangan.

“Kejap aje pukul enam kan? Sampai aku tak sedar.”

Ain lirik senyum.

“Mana nak sedar kalau orang tu sibuk termenung dari pagi sampai ke petang. Orang dah nak kahwinlah katakan…” usiknya.

“Kahwin apanya kalau aku tak bagi jawapan lagi.” jawab Deena dengan keluh.

“Belum? Kau tunggu apa lagi Dee? Hari tu, kau susah-susah cari. Sekarang ada yang datang offer diri, kau tak nak pulak. Abang Nazz tu kan kau dah kenal. Kau tunggu apa lagi?” tanya Ain tak faham.

“Entah la Ain. Aku tak tahulah…” Deena lepas keluh lagi.

“Dee, Abang Nazz tu dah cukup pakej. Apa lagi yang kau nak? Nasib baik hari tu kau tak jumpa Ikhwan. Kalau Ikhwan yang nakkan kau, aku tak tahulah nak cakap macam mana.”  

Diam. Deena terpaksa mengiakan dalam diam. Banyak hikmah kenapa dia tak sempat jumpa Ikhwan tempoh hari. Berita yang dibawa Nazzri memang benar belaka. Dia sendiri dapat tahu dari bekas kawan sekolahnya Ikhwan berpisah dengan isterinya kerana sikap panas baran hingga sanggup memukul.

“Dee… Aku rasa, tak salah kau pilih Abang Nazz. At least, dia tahu keadaan kau. Terang-terang dia memang sedia terima kau seadanya. Kalau orang lain, belum tentu Dee. Abang Nazz tu sendiri boleh pastikan keadaan kau nanti.” Ain cuba memujuk.

Diam lagi. Deena cuba hadam dengan baik apa yang Ain ucapkan. Dia sendiri ada cuba menimbang semuanya. Cuma dia belum cukup kuat untuk buat keputusan memandangkan dia sedia kenal Nazzri. Dia tahu hati lelaki itu dah tertutup untuk mana-mana perempuan pun selepas terpaksa meninggalkan kekasih hati yang berbeza agama dan kepercayaan.

“Dee… Fikirlah baik-baik Dee. Aku tahu ni semua libatkan hati. Hari tu, kau sendiri cakap semuanya jatuh nombor dua asalkan ada lelaki setuju nak kahwin dengan kau kan? Sekarang ni, aku tahu kau dah mula fikir pasal tu. Lebih-lebih lagi bila lelaki tu Abang Nazz kan?”

“Aku…” Tak terungkap. Tak tahu apa yang perlu dijawab. Apa yang pasti, dia memang sibuk fikirkan hati lelaki itu dan hatinya juga.

“Dee, peluang kau dah ada depan mata. Tak salah kalau cuba kan? Kau sendiri cakap kau nak cuba walau apa cara sekalipun.”

Diam lagi. Sungguh dia buntu.

“Sudahlah tu Dee. Kalau cakap pasal benda ni, sampai esok pun tak habis. Kau sendiri tak yakin nak buat keputusan kan? Lupakan sekejap hal ni. Jomlah balik.” tambah Ain kemudian. Mengalah.

Deena lepas lagi keluhan sebelum bingkas. Dikemas meja ala kadar sebelum beg tangan dicapai.

“Apa pun keputusan kau, aku sokong Dee.” ujar Ain saat mereka beriringan keluar.

“Terima kasih Ain.” Deena paksa bibirnya tarik senyum sebelum sama-sama masuk ke perut lif.

“Dee!” Ain tiba-tiba memberhentikan langkah. Dipaut lengan Deena sebaik keluar dari perut lif.

“Kenapa?”

“Tu.” Ain muncungkan bibir ke arah pintu utama bangunan pejabat. Deena hala pandang ke arah yang sama. Berdegup hebat jantungnya sebaik mata berlaga dengan sepasang mata redup di depan lobi. Dengan santai mengenakan baju-t merah cili bersama denim hitam tenang berdiri di sisi kereta.

“Err… Dee, aku rasa dia mesti datang nak ambil kau. Kau balik ajelah dengan dia ya? Aku balik dulu. Assalamualaikum.” ujar Ain sebelum terus beredar.

Deena lepas nafas berat. Salam Ain dijawab dalam hati sebelum lambat-lambat dia melangkah mendekati Nazzri.

Nazzri tayang senyum manis. Senyum yang mampu membuatkan jururawat di tempat kerjanya sengih sampai ke telinga sebelum melanggar dinding. Tapi bukan buat gadis di depannya ini. Tanpa kata, pintu kereta penumpang sebelah pemandu dibuka. Tanpa banyak soal Deena terus masuk. Nazzri melebarkan senyum.

“Deena sihat?” Lembut dia memulakan kata sebaik masuk ke ruang pemandu. Sedia untuk beredar.

“Alhamdulillah. Abang?” balas Deena tenang tanpa menoleh. Matanya sejak tadi dilemparkan ke luar tingkap.

“Alhamdulillah.” Nazzri kerling sekilas. “Deena dah tak sudi ke pandang abang.” sambungnya bila perasan riak dingin yang terlakar.

“Apa sebenarnya tujuan abang buat semua ni?” jawab Deena seraya berpaling.

Mati senyum di bibir Nazzri. Dia sedar Deena masih tak boleh terima apa yang cuba dilakukan. Dia sendiri dah fikir semasak-masaknya. Dia tak ada komitmen lain yang menghalang niatnya untuk membantu walaupun apa yang dibuat melibatkan hati dan perasaan serta masa depan mereka. Bukan itu saja, keputusan yang dibuat bakal mengubah kehidupan mereka secara total.

“Dee...”

“Abang Nazz sedar tak apa yang abang buat sekarang ni? Abang susahkan diri sebab Deena. Abang tahukan benda ni bukan main-main?”

“Tahu.” tenang Nazzri balas.

“Kalau dah tahu, kenapa abang sibuk offer diri abang?” luah Deena lagi.

“Sebab abang tak nak orang ambil kesempatan pada Deena. Kalau setakat nak bagi anak, insya-Allah abang mampu. Abang mampu nak jaga Deena, jaga anak kita. Abang tak nak lelaki yang kahwin dengan Deena cuma setakat lepaskan nafsu. Deena sanggup jadi janda? Sanggup nak besarkan anak sorang-sorang?” jawab Nazzri berasas.

 “Habis tu, abang nak kahwin dengan Deena bukan sebab nafsu?” tingkah Deena berani. Sedikit berombak dadanya menahan geram.

“Kalau sebab nafsu pun, sekurang-kurangnya abang nak terus Deena jadi tanggungjawab abang. Abang takkan tinggal Deena nak besarkan anak kita sorang-sorang.” balas Nazzri selamba.

Deena senyum sinis.

“Tanpa rasa sayang, semua tu takkan jadi bang. Bukan Deena tak tahu hati abang tu dah lama tertutup untuk mana-mana perempuan. Sama aje kalau Deena kahwin dengan lelaki lain pun.” jawabnya geram.

Nazzri tahan hati. Rasa terpukul. Tangan yang memegang stereng dah menggenggam kuat cuba menahan rasa yang ada.

“Hidup ni satu perjudian kan?” ujarnya penuh makna.

Deena menoleh.

“Abang mengaku memang tak ada pun rasa cinta dalam hati ni untuk mana-mana perempuan pun termasuk Deena. Tapi abang sayang Deena.” luah Nazzri jujur.

Deena berkerut.

“Apa abang cakap ni?” soalnya tak faham.

Nazzri terus berhentikan kereta di tepi jalan. Dipandang Deena di sebelah.

“Bagi abang peluang nak tolong Deena…” pujuknya penuh mengharap.

Deena lepas keluh. Tak tahu dia nak jawab apa dengan hatinya penuh ragu pada Nazzri. Menolak bermakna dia takkan mungkin dapat peluang lain lagi lepas ni. Terima bermakna dia bersedia menggadai seluruh hidupnya buat Nazzri.








No comments: