Oct 23, 2016

Dia yang Dicari_part 2


Part 2

“Aku rasa, kalau tak pergi pun tak apa kut Ain. Tengok sekarang dah pukul berapa? Ni yang aku malas kalau jumpa Jaja ni.” rungut Deena sambil mengerling jam di pergelangan. Hampir satu jam menanti di ruang menunggu itu. Waktu temu janjinya pun dah lepas.

“Tunggulah kejap. Kan dia ada kes tadi. Kejap lagi dia datanglah tu.” sabar Ain menenangkan. Dan begitulah setiap kali yang berlaku bila dia menemani Deena untuk buat pemeriksaan.

“Jaja ni pun satu hal tau! Memang semua doktor kerja mengalahkan menteri ya? Dah buat appointment pun boleh lambat-lambat macam ni. Baik aku pergi klinik biasa aje dari datang sini.” rungut Deena lagi tak puas hati dengan sahabat sendiri yang dah jadi doktor peribadinya.

“Kau sabar sikit boleh tak Dee? Macam tak faham Jaja tu macam mana. Peninglah aku dari tadi kau tak berhenti membebel. Kalau kau nak cepat sangat, kita mintak ajelah tukar doktor. Senang. Tapi kau jangan nak banyak complain kalau dapat doktor lelaki ya?” balas Ain sedikit geram.

Deena berdecit kecil. Serba salah. Tapi dia memang dah malas nak tunggu lama-lama dekat situ. Dia cuba timbal semula cadangan Ain. Mata kerling jam tangan lagi.

“Kau tunggu sini kejap. Biar aku try mintak jumpa doktor lain. Lepas lunch ni aku kena ikut bos meeting dekat PJ. Kalau tunggu lagi si Jaja, memang tak sempat nanti.” Dia bingkas.

“Ikut suka kaulah.”

Deena berlalu ke kaunter utama mendapatkan dua orang jururawat yang bertugas di situ. Berbincang seketika, dia kembali mendapatkan Ain.

“Macam mana?”

“Alaa… Ada sorang aje doktor yang tengah free. Tapi doktor lelakilah, Ain. Malu pulak aku.” ujar Deena dengan keluhan.

“Tahu pun malu. Habis tu, sabar ajelah. Sempat lagi. Lunch pun lambat lagi ni.” balas Ain dalam senyum.

“Aku risau tak sempatlah Ain.”

“Kalau dah risau sangat, pergi ajelah jumpa doktor tu. Manalah tahu kut-kut doktor tu boleh jadi calon kau ke. Senang sikit kerja aku. Bukan senang sikit. Senang B-A-N-Y-A-K! Tak payah nak tebal muka telefon list number yang kau bagi hari tu. Penat tahu tak ulang cakap benda yang sama. Tu belum campur aku kena maki dengan bini orang sebab kacau laki dia. Haihh.. Stres aku Dee…”

Deena tergelak.

Sorry la Ain. Kau tahu aku tak ada pilihan kan? Kau ajelah yang aku boleh harapkan sekarang ni.” ucapnya dalam sisa tawa.

Ain jeling.

“Aku faham kau tak ada pilihan. Tapi takkan tak ada cara lain yang lagi efisien dari call orang yang entah siapa-siapa tu. Pulak tu, ramai yang dah kahwin. Silap hari bulan, kita boleh jadi penyebab porak-peranda rumah tangga orang. Cukuplah Dee. Kita hentikan ajelah semua ni. Kita serah aje pada Dia.” Ain cuba memujuk. Dipaut bahu Deena.

Deena hela nafas halus.

“Aku memang dah serah semuanya pada Dia Ain. Tapi, takkan aku nak duduk tunggu aje. Dia suruh kita usaha kan? Ni pun satu usaha.”

“Memanglah usaha. Tapi usaha kau ni, sangat berisiko tahu tak? Dibuatnya orang yang nak kahwin dengan kau tu saja nak suka-suka macam mana? Takkan kau nak jadi janda muda?”

Deena senyum. Tapi tak semanis biasa.

“Aku dah tak ada cara lain lagi Ain. Ni ajelah satu-satu jalan yang ada.” keluhnya perlahan.

Nope! Banyak lagi cara lain. Dan cara yang paling bagus, cepat dan berkesan sekarang ni cuma ada pada abah dengan mummy kau. Tu aje.” Ain angkat-angkat kening penuh makna.

Deena berkerut.

“Maksud kau?”

“Kata orang, pilihan mak ayah ni adalah yang terbaik daripada pilihan lain.” Ain angkat-angkat kening sekali.

Deena terdiam.

“Cik Mardeena!”

Kedua-duanya berpaling ke arah kaunter. Deena terus bangun. Ain turut bangun.  

“Doktor Jaja baru call, dia kata dia ada kes lain. So, tak sempat nak jumpa Cik Mardeena. Tapi untuk appointment hari ni, dia dah refer Cik Deena ke doktor bilik 9. Cik Deena boleh masuk sekarang.” ujar jururawat bertudung biru tua di kaunter.

“Oh iye ke? Terima kasih.” balas Deena dalam senyum paksa. Dia pandang Ain.

“Jaja ni memang nak kena dengan aku tau! Haih!” rengus halus dilepaskan.

“Alah. Kau pergi ajelah. Buat check-up biasa aje kan? Tak ada check yang pelik-pelik kan?” Ain tersengih.

Deena ketap bibir. “Jomlah temankan aku.” Tangan Ain terus ditarik. Bilik nombor 9 dicari.

“Kau masuk ajelah. Aku tunggu dekat luar ni.” ujar Ain sebaik mereka tiba di depan pintu bernombor 9 yang tak bernama. Tak seperti pintu-pintu lain yang mempunyai nama doktor yang bertugas.

“Iyelah. Kau tunggu kejap. Kalau ada siapa-siapa call, cakap aje aku pergi toilet.”

Alright!” Beg tangan Deena disambut sebelum sahabatnya itu mengetuk pintu bercat kelabu di depan.

“Masuk!”

Deena dengan Ain berpandangan sebaik terdengar suara garau menyahut.

“Lelakilah Ain!” ucap Deena separa berbisik. Dia tak sangka Jaja serahkannya pada doktor lelaki.

“Habis tu, kau nak aku buat apa? Masuk ajelah. Tadi kau yang cakap nak cepat kan?” Ain juga berbisik.

“Gila ke apa? Takkan nak biar dia tengok perut aku?”

“Alah! Dalam tu mesti ada nurse sekali kan? Kau mintaklah nurse tu yang buat. Dah cepatlah masuk!” balas Ain senang seraya pegang tombol pintu.

Namun baru sahaja dia nak memulas, pintu terkuak dari dalam. Terkedu kedua-duanya di ambang pintu sebaik mata menangkap susuk tubuh tinggi lampai berkemeja biru muda.

………….

Pap!

Deena tampar kuat paha Ain yang sedang memandu. Pecah tawa Ain.

“Gelaklah puas-puas. Kalau lepas ni, kena dekat batang hidung kau, jangan salahkan aku kalau aku gelakkan kau ya.” Deena buat muka kelat. Geram bila sejak dari hospital lagi Ain tak habis-habis mengusiknya.

“Tahu tadi, aku balik aje terus. Tak payah tunggu Jaja.” rungut Deena sakit hati. Rasa malu berhadapan dengan doktor lelaki tadi sikit pun tak surut. Malah makin menggila bila teringat kembali apa yang berlaku.

“Tak sangka boleh jumpa Deena dekat sini. Lama kita tak jumpa kan?” Lelaki berkumis nipis berjambang kemas di depannya melorek senyum cukup memikat. Dah tak macam yang dia jumpa dulu. Yang di depannya ini dah boleh sebaris dengan lelaki-lelaki dambaan wanita. Cukup mengusik jiwa wanitanya.

“Orang tu kan busy mengalahkan menteri. Sampai dah lima tahun balik sini, langsung tak telefon Deena.” Mata direndahkan. Tak berani nak tentang lama muka tenang di depan. Ada getar yang begitu hebat sedang bergendang dalam dada.

“Macam mana nak telefon kalau orang tu suka sangat tukar nombor telefon.”

“Iye ke? Bukan sebab orang tu sibuk nak kahwin dengan orang sana sampai lupakan semua orang dekat sini?” jawabnya berani.

Lelaki tu lorek senyum lagi sambil menyelak fail pesakit bernama Mardeena Haji Zainal.

“Mardeena Haji Zainal. Ingatkan Mardeena lain. Rupanya Mardeena yang abang kenal.” Senyum bertambah lebar. Lirik nakal dilemparkan.

Deena angkat muka.

“Jom. Deena baring dekat sana.”

Deena telan liur. Pahit. Muka rasa dah tak berdarah.

“Kau tahu tak apa yang aku rasa sekarang ni Ain? Muka aku ni, aku tak tahu nak sorok dekat mana. Macam mana aku nak jumpa dia lepas ni?” Deena picit kepala yang terasa berdenyut.

Ain menoleh sekilas.

“Siapa yang suruh kau jumpa dia lagi? Kau kata, kau tak rapat pun dengan dia kan?” jawab Ain dengan senyum penuh makna.

Deena jeling sekilas.

“Kau tak fahamlah Ain. Aku dah anggap dia macam…”

Ain toleh lagi. Kening sebelahnya terjongket.

“Jangan cakap dengan aku kau dah T-E-R-suka dengan doktor terover kacak tu ya?”

“Bukan tu lah…”

“Habis tu?”

“Tadi dia kan dah...” Deena kemam bibir. Muka rasa macam kena salai bila teringat apa yang dah jadi tadi walaupun kulit mereka langsung tak bersentuhan.

“Dia pro la Dee. Tengok dari gaya dia tadi aje pun kita boleh tahu dia macam mana. Kau sendiri pernah kenal dia kan? Dia cuma buat kerja dia aje. Tak lebih dari tu kan? Tak bersentuh pun kulit kau dengan kulit dia. Kau tu aje yang over. Aku tengok dia sama aje macam doktor-doktor lain.” Ain menenangkan.

Deena lepas nafas panjang.

So sekarang ni kan… Kau rasa dia boleh tak jadi calon kau? Nampak macam single lagi. Aku tengok nurse-nurse yang selisih dengan dia tadi, semuanya senyum sampai telinga.”

“Ain!” Deena tepuk lagi paha Ain. Mengekek Ain mentertawakannya.

“Aku bukan apa. Dah alang-alang jumpa ‘KAWAN LAMA’ kann… Tak salah cuba kan? Daripada kau try yang entah siapa-siapa tu, baik kau pilih orang yang kau memang dah kenal. Tu lagi bagus Dee.” ujar Ain dalam sisa tawa. Dia mula serius.

“Tengoklah macam mana nanti!” jawab Deena acuh tak acuh. Kalau boleh, dia tak nak fikir pun masalahnya sekarang ni. Dan tak mungkin dia nak jumpa lagi dengan doktor terover kacak tu buat masa terdekat. Tak sanggup dia nak hadap muka tenang tu bila teringat apa yang jadi dalam bilik rawatan tadi. Mana dia nak letak muka pun dia tak tahu.

******

“Mak Dah!”

“Kuss semangat!” Mak Dah urut dadanya. Terkejut bila kena sergah tiba-tiba. Mujur tak terlepas botol sos yang dipegang. “Kaklong ni suka ya Mak Dah pendek umur? Suka sangat sergah-sergah Mak Dah macam tu.” Mak Dah cubit lembut pipi Deena. Deena sengih.

“Kaklong bagi salam dekat depan, tak ada orang jawab. Mana mummy Mak Dah? Mummy keluar ke?” Deena panjangkan leher ke halaman belakang. Biasanya petang-petang macam tu mummynya suka menghabiskan masa di kebun mini yang ada. Kata mummy, puas hati dapat bercucuk tanam walaupun ruangnya agak terhad.

“Mummy Kaklong pergi kedai depan tu kejap. Dia kata dah lama sangat tak makan jemput-jemput jagung campur udang. Semua orang dalam rumah ni suka.” jawab Mak Dah sambil menuang sos cili ke dalam mangkuk. “Yang Kaklong ni, kenapa awal sangat balik? Bukan hari ni Kaklong kata nak balik lambat?”

Deena hela nafas. Dilabuhkan punggung di kerusi tinggi tepi counter island.

Meeting dekat PJ cancel. Bos terus bagi Kaklong balik awal hari ni.” jawabnya seraya menuang air kosong dari jug tersedia.

“Tadi pergi hospital kan? Macam mana? Okey?” Mak Dah mengawal suaranya walaupun hanya mereka berdua yang ada. Dah terbiasa bila perihal kesihatan Deena meniti bibirnya. Takut diketahui ahli keluarga lain.

Deena lempar renung tajam ke arah Mak Dah.

“Kenapa pandang Mak Dah macam tu?”

“Kenapa Mak Dah tak bagi tahu Abang Nazz dah tukar tempat kerja?”

“Eh, sejak bila Mak Dah kena report dekat mana Nazz kerja hmm?” Mak Dah sembunyi senyum. Tangan tuanya ligat mengacau sos yang dicampur dengan cili kisar dan bawang putih sebelum dimasak di atas dapur.

“Mak Dahhh…” Deena tarik muka. Dia yakin Mak Dah tahu apa yang dah jadi dekat hospital tadi.

Mak Dah ketawa.

“Mak Dahhh!” bentak Deena geram bila Mak Dah terus mentertawakannya. “Malaslah kawan Mak Dah ni!” Dia terus turun daripada kerusi. Langkah dibawa keluar dari ruang dapur sebelum terus naik ke bilik. Bengkung yang sentiasa dipakai dilucutkan sebelum merebahkan tubuh ke katil. Ditarik bantal menekup muka sebelum dia menjerit sekuat hati bila bayang Nazzri Imran bergentayangan. 






No comments: